Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kari Ikan Bawal Terlajak Sedap



Kalau anda yang biasa makan kari ikan di Pulau Pinang pasti akan tahu bagaimana rasanya kari di sana. Kalau Nasi Kandar Line Clear terkenal dengan kari ikan bawal. Saya pernah sekali ke sana. Lepas tu tak pergi lagi walaupun saya suka kari nya. 

Saya sediakan lauk ini untuk berbuka puasa. Ada lebihan, saya makan waktu sahur. Waktu bersahur, saya siap mencicah kuah dengan roti sebab tak ada roti canai. Kalau ada roti canai, lagi sedap. 

Saya memang suka kari yang masam masam sikit, baru lah sedap macam kari mamak. Keesokan hari, kuah akan jadi lebih sedap. Saya pernah tengok kakak ipar saya menyediakan kari, asam jawa yang digunakan segenggam gitu. Banyak.


Lagi satu nak sedap, kari mesti dimasak atas api perlahan lama lama. Kena pastikan semua bahan masak sempurna. Barulah sedap dan berbeza dengan kari orang lain. 

Jangan lupa untuk melihat video penyediaannnya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Kalau belum subscribe, boleh klik subscibe. Terima kasih kepada follower saya yang sentiasa support dengan klik like, share dan komen. 

Jom layan resipi di bawah ini. Selamat mencuba... 


Kari Ikan Bawal Yang Sedap 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 ekor ikan bawal besar - potong 3
2 sudu besar cili kering kisar/1sudu besar serbuk cili
6 sudu besar serbuk kari Babas - bancuh dengan air untuk jadikan pes
Segenggam asam jawa - bancuh dengan air 
½ sudu besar garam
½ sudu besar serbuk pati ayam
1 kotak santan kotak
8-10 kacang bendi
1 sudu besar cuka
1 biji buah tomato
2-3 biji cili hijau - patahkan 2
¾ cawan minyak masak

Bahan Tumis:
5 biji bawang merah- hiris
3 ulas bawang putih - hiris
2 inci jari halia - hiris
1 pelepah daun kari
1 sudu besar halba campur

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 cawan air

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris, daun kari sehingga berwarna keperangan, baru dimasukkan halba campur. Kacau atas api perlahan. 

Kemudian masukkan bahan kisar dan kacau lagi sehingga air sedikit menyusut. 


Masukkan cili kisar dan kacau rata sehingga agak agak cili masak. Masukkan air jika perlu.

Masukkan pes kari dan kacau rata atas api perlahan sehingga terbit minyak dan masak sempurna. Nota: akan kelihatan berbuih sekeliling. 

Boleh masukkan air dan masak lagi sehingga terbit minyak sekali lagi bagi memastikan rempah benar benar masak. 

Masukkan air asam jawa dan air secukupnya. Masak sehingga mendidih.

Masukkan santan kotak. Setelah mendidih, masukkan cuka, garam dan serbuk perasa.

Masukkan bendi dan ikan. Setelah ikan masak dan kuah terbit minyak, masukkan buah tomato dan cili hijau. Bolehlah ditutup api.



Catat Ulasan for "Kari Ikan Bawal Terlajak Sedap"