Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sambal Tumis Sotong



Hari hari demi hari mendengar perkhabaran rakan rakan terdekat dijangkiti Covid 19. Mungkin kerana varian Omicron mudah menjangkiti dari seorang ke seorang. Di dalam group whatsapp kawan kawan universiti, telah memberitahu mereka sekeluarga dijangkiti covid.

Apa apa pun, sama lah kita mendoakan mereka yang diuji dengan covid supaya terus bersabar dengan ujian yang diberi. Buat kita semua jaga SOP, dapatkan suntikan yang disyorkan sebagai ikhtiar untuk mengelakkan atau meringankan kesan jangkitan. Mudah mudahan.

Dalam keadaan seperti sekarang, tiada kuasa dan upaya untuk kita semua melainkan pertolongan Allah semata mata. Kita akan terus hidup dengan Covid mungkin untuk beberapa tahun lagi. OK sekarang kita masuk pula bab resipi. 


Saya menyediakan sambal tumis sotong ini atas permintaan Aween. Semasa pergi ke NSK untuk membeli barang barang dapur, dia sendiri yang membeli sotong ini. 

Memasak sambal tumis ini sangat mudah tapi cara penyediaannya yang perlu dipastikan agar bahan tumis betul betul masak dan terbit minyak. Barulah lah sedap. 

Seperti biasa, sambal tumis memang sedap dimakan dengan nasi lemak, lontong selain dari nasi putih. Jom tengok cara penyediaan video penuh di bawah ini. 


Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Sambal Tumis Sotong

Bahan bahan:
500 gram sotong
3 sudu besar cili kering kisar
½ biji bawang besar Holland
1 ½ sudu besar gula
1 sudu kecil gara
½ sudu kecil pes asam jawa
¾ cawan minyak masak

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
6 ulas bawang putih

Cara cara:
Masak sotong dalam kuali sehingga air sotong keluar. Angkat dan tos.

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak. Masukkan air sedikit demi sedikit bagi mempercepatkan cili garing.

Masukkan garam, asam jawa dan gula. Kacau rata.

Setelah sambal garing dan masak, masukkan sotong dan kacau rata. Jika terlalu kering, masukkan air sedikit demi sedikit.

Akhir sekali masukkan bawang hiris dan kacau rata. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Nota:
Sukatan gula dan garam bergantung kepada tahap kepedasan cili. Jika pedas, kuantiti perlu dilebihkan bagi seimbangkan rasa.


1 ulasan for "Sambal Tumis Sotong"

  1. wah sedapnya...saya selalu follow resipi puan..
    betul puan sana sini dengar org terdekat kena covid...semoga mereka sembuh dikurniakan kesembuhan

    BalasPadam