Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Talam Gula Merah


Selamat menyambut Tahun Baru Cina buat semua warga yang berbangsa Cina. Sempena hari cuti ini yang juga jatuh pada cuti Hari Wilayah. Teringat masa bekerja dulu, saya memang ternanti nanti hari cuti atau kelepasan kerana ingin berehat.

Maklum selepas menamatkan pengajian, saya terus bekerja kerana terikat dengan perjanjian biasiswa Bank Negara Malaysia. Hari cuti memang terasa sangat seronok, terasa dunia ini anna yang punya. Hahaha. Sekarang bila dah bersara, hari hari pun hari cuti. Jadi tarikh dan hari pun tak ingat lagi. Yang saya pasti check ialah waktu sahaja. Itu sebab jam adalah teman setia saya.

Saya cuba sedaya upaya untuk berblogging dan kekal cergas fizikal dan minda. Satu yang saya perasan ialah bila dah tak bekerja, kadang kadang ada nama atau terms yang biasa digunakan, kita jadi tak ingat dan lupa. 

Nak sebut fasal flash, gi sebut spotlight. Dah berhari hari baru ingat. Aduhai begini lah hakikat kehidupan, yang muda akan tua, jadi sebelum kita mencapai detik itu, jangan guna usia muda untuk berbuat perkara yang tidak berfaedah.

Dengan terus ber blog diharap supaya blog saya tidak bersawang dan terus hilang seperti mana ramai rakan rakan blogger lain. Supaya blog saya terus aktif dan tidak sendu.

Saya sedar ramai sekarang yang tidak suka lagi membaca, ramai hanya suka menonton/mendengar video sahaja. Saya pula percaya kita tetap kena terus membaca, kerana dengan membaca kita akan mendapat ilmu dan lebih fokus tidak seperti mana kalau kita hanya mendengar sahaja. 

Kita juga akan terus mengasah minda supaya kekal cergas. Minda jika tidak diasah kita akan menjadi mudah pelupa. Apa pun, saya akan terus ber blog selagi masih ada yang sudi membaca. OK sekarang kita masuk pula, bab masakan. 


Hari ini saya menyediakan kuih talam gula merah. Saya memang suka menalam ni. Menalam tak apa, asal jangan jadi talam dua muka dah lah kan. Sebenarnya kuih macam ni, dapat makan sepotong dua pun dah cukup. Itu. sebab saya menggunakan separuh sahaja dari sukatan di resipi.

Maklumlah anak anak zaman sekarang bukan suka makan kuih tradisional seperti kuih talam ni. Mereka lebih suk akuih moden yang berkeju bagai. Itu sebab agaknya lah ramai budak budak muda sekarang ni overweight sebab pemakanan yang kaya kalori dan lemak.

Adalah menjadi harapan saya agar kuih kuih tradisional yang lama seperti. kuih talam gula merah ini akan kekal diminati kerana sayanglah kalau satu hari ianya pupus dan tidak lagi. dikenali. 

Saya memang suka kuih muih seperti kuih talam yang menpunyai lapisan santan yang lemak masin begini. Sedap dan lembut jer. Yang bahagian bawah pula terpulang kepada talam jenis apa yang kita sediakan, gula merah ke, pandan ke, ubi kayu ke. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Video penyediaannya ada di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI.


Selamat mencuba…


Kuih Talam Gula Merah

Lapisan bawah:
Bahan A:
1 ½ cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung ubi
1 cawan santan cair
Sedikit garam

Bahan B:
1 cawan gula merah
4 sudu besar gula putih
2 cawan air

Masak bahan B sekadar gula larut. Sejukkan. Tuang air gula ke dalam bahan A. Kacau rata dan tapis ke dalam kuali.

Masak sekadar keluar wap. Tuang dalam loyang. Kukus selama 20 minit atau sehingga masak.

Lapisan Atas:
1 cawan tepung beras
Sedikit garam
2 cawan air
1 cawan santan pekat

Satukan semua bahan dan kacau rata. Tapis ke dalam loyang saiz 6"x6". Masak sehingga terbit wap sahaja.

Tuang atas lapisan gula merah.  Boleh tuang lapik dengan sudu supaya lapisan gula merah yang masih lembut tidak pecah dan bercampur dengan lapisan santan. 

Kukus selama 25-30 minit atau sehingga masak. Setelah benar benar sejuk, baru dipotong.



Catat Ulasan for "Kuih Talam Gula Merah "