Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Goreng Pisang Rangup Krup Krap


Seperti biasa, jangan lupa untuk klik follow blog dan klik iklan di blog saya kerana tak ramai yang berbuat demikian. Tak pasti kenapa samada mereka tak tahu atau ada sebab sebab lain. Kerjasama anda saya dahului dengan ucapan terima kasih. 

Hati menjadi sangat sedih bila mengenangkan ujian yang menimpa mangsa mangsa banjir di Shah Alam. Terutama sekali bila melihat gambar seorang atuk yang terbaring di katil di ruang tamu yang telah mula dibasahi dengan air banjir bersama cucu cucu. 

Bukan sahaja kesejukan terbaring di tilam yang dibasahi air tapi apa perasaan menunggu bantuan yang tidak pasti bila akan tiba. Apa apa pun semoga mereka semua diberikan ganjaran yang besar dari Allah dengan ujian ini. 

Pagi ini saya menumpang besan saya mengedarkan makanan yang telah siap dimasak seperti nasi goreng dan nasi ayam penyet. Ya lah macam mana nak memasak pun jika mereka masih berada di tempat penempatan atau jika rumah mereka masih dinaiki air. Dalam kesejukan ini dapat lah mengalas perut yang mudah terasa lapar.

Berada dalam cuaca seperti ini, perut mudah terasa lapar.  Itu yang pagi pagi dah minta Hubby mencari pisang untuk digoreng. Kebetulan Boy dan Mia pun ada di rumah, jadi bolehlah makan beramai ramai. 

Kebelakangan ini, memang saya kurang berselera makan, hanya terasa nak makan makanan simple yang sekadar untuk kenyang sahaja. Saya makan pisang goreng ini, kenyangnya sampai ke malam. 


Saya belajar bab cara penyediaan air kapur dari seorang peniaga goreng pisang. Kalau biasa saya masukkan beberapa sudu air kapur jernih dan sedikit garam terus ke dalam bancuhan tepung sebelum dikacau rata. 

Tapi bila dah dapat ilmu cara orang lain menyediakan bancuhan tepung goreng pisang, terus saya mencubanya. Alhamdulillah sangat rangup dan sangat sedap. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.... 



Goreng Pisang Rangup
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 sikat pisang - 16 biji 
2 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar kelapa parut putih - ramas ramas
2 sudu besar bijan - sangai
1 biji kuning telur
1 sudu kecil serbuk kunyit
275 ml air kapur - rujuk di bawah

Cara cara:
Satukan semua bahan dan tuang air kapur sedikit demi sedikit sehingga kepekatan yang disukai. Jika menjadi air kapurnya, bancuhan tepung akan menjadi warna oren sedikit, bukan warna kuning. 


Tuang air kapur sedikit demi sedikit untuk adunan mencapai kepekatan yang disukai. Celup jari ke dalam bancuhan, kalau bersalut di jari, tandanya kepekatan dah sesuai.


Panaskan minyak dan masukkan pisang yang dibelah 3. Biarkan sehingga tepung masak melekat di pisang, baru dileraikan dan dikacau.



Setelah keperangan, dibalik balikkan. Goreng sehingga sedikit keperangan supaya nampak lebih menarik. Angkat dan tos.

Air kapur:
2 sudu besar kapur makan
3 cawan air
1 sudu besar garam kasar

Cara cara:
Pukul kapur makan menggunakan whisk dengan sedikit air sehingga kapur hancur. Masukkan semua air dan garam kasar. Kacau sebanyak 3 kali sahaja. 

Biarkan semalaman. Guna bahagian atas yang jernih. Tuang perlahan lahan supaya air kapur tidak berkeladak. 

Nota:
Masukkan pisang yang hendak digoreng sahaja dalam bancuhan tepung. Jangan dibiarkan pisang lama di dalamnya supaya ianya tidak patah.

Jika bancuhan menjadi pekat, tambahkan air kapur sedikit lagi. Jangan guna air biasa.


Catat Ulasan for "Goreng Pisang Rangup Krup Krap"