Selasa, 2 November 2021

Puding Jagung Mudah dan Sedap



Alhamdulillah lama saya tak update blog kerana kesibukan saya dan suami bercuti sambil jalan jalan cari makan sebaik rentas negeri dibenarkan. Kami ke Kuala Selangor bersama geng alumni, selepas itu kami ke Muar dengan bekas roomate suami masa di Kolej dan ke Kuala Terengganu dan Kelantan, hanya kami berdua. 

Saya ingin luangkan masa bersama Hubby setelah saya bersara. Sambil sambil itu, saya berhubungan dengan follower saya yang sangat sporting untuk kongsikan tempat tempat makan dan tempat menarik sepanjang perjalanan saya.

Sebetulnya rakan rakan kita adalah penting terutama bila kita telah berusia. Masuk umur 50 dan 60 tahun, kita tak boleh lagi berkawan dengan semua orang. Kita mesti memilih siapa kawan kawan kita. Kita tak boleh berkawan dengan semua orang, kerana kawan ini menentukan agama kita dan menentukan kesibukan kita pada usia akhir kita. 

Bila silap pilih sahabat nanti kita akan sibuk dengan perkara membinasakan akhirat kita. Pilih sahabat lebih hebat dari memilih mana mana harta dunia. Kita pilih lokasi paling strategik nak buat rumah. Pilih saham bagus yang ada kemungkinan bawa keuntungan paling tinggi. Jadi dalam memilih sahabat, kita harus lebih hebat lagi, sebab ini lah saham akhirat kita dan keuntungan akhirat kita. Khususnya pada umur kita yang menuju ke arah kematian.

Antara tanda suul Khatimah bila kita berubah kepada kawan yang baik. Bila Allah nak bagi husnul khatimah, Allah hadirkan kita seorang kawan yang baik. Kita mula cenderung untuk berkawan dengan kawan yang baik. Inilah Husnul khatimah. 

Hati hati dengan kawan kerana kawan adalah kesibukan kita. Kalau kawan baik maka kesibukan kita kepada perkara baik. Jika kawan tak baik akan sibuk dengan urusan duniawi yang melalaikan dan menyesatkan. OK sekarang kita masuk pula bab resipi.


Saya menyediakan puding jagung ini kerana nak menghabiskan baki jagung berkrim yang masih ada dalam peti ais. Sebelum ianya dah tak elok dan membazir, sedap dimasak puding. Kiranya kuih bidan terjun lah.

Saya sangat puas hati kerana puding jagung ini sangat sedap dan secukup rasa sahaja. Masya Allah memang sedap makan puding sejuk sejuk macam ni. 

Untuk mendapat permukaan puding yang licin dan cantik, kena tutup api sebaik nampak mendidih dan cepat cepat tuang ke dalam loyang. Saya agak terlewat kerana sibuk merakam video. Itulah kalau buat dua tiga kerja dalam satu masa, memang akan ada ketidak sempurnaan dan fokus. Jadi anda semua jangan pula, terlewat ya.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Saya juga ada menyediakan video di Azie Kitchen Youtube channel di SINI. Selamat mencuba....



Puding Jagung Sedap

Bahan bahan:
1 tin jagung manis berkrim
1 tin susu cair
½ cawan gula
½ cawan tepung kastard
3 cawan air
Sedikit garam

Cara cara:
Satukan air, tepung kastard dan gula. Kacau rata. 

Masukkan susu cair, jagung,  gula dan garam. Kacau rata. Setelah rata, baru dinyalakan api. 


Masak sehingga ianya pekat dan kelihatan keluar gelembung gelembung. Bolehlah tutup api dan tuang ke dalam loyang. 

Nota: sebaik mendidih terus tutup api dan cepat cepat tuang dalam loyang untuk mendapatkan permukaan puding yang licin dan cantik. (Permukaan puding saya tak cantik kerana saya dah terlewat kerana sibuk mengambil video). 



Sejukkan sebelum dipotong. Sedia untuk dinikmati.
 

1 ulasan

  1. Sedapnya,lama tak buat puding jagung ni.Alang2 bahan semua dah ada dekat rumah, bolehlah Syu cuba. Terima kasih kongsi resepi yer kak azie.

    BalasPadam

Add your comment