Khamis, 25 November 2021

Ikan Kerapu Masak Masam Manis



Assalamualaikum semua. Sebelum kita mulakan, saya ingin mohon kerjasama anda semua untuk klik iklan di bahagian atas blog saya. Tidak seperti youtube, blog tidak akan memberi sebarang income pada blogger jika anda tidak klik iklan yang keluar. Juga jangan lupa untuk klik FOLLOW Blog, bagi mengikuti update blog saya. Kerjasama anda diucapkan ribuan terima kasih.

Sekarang ini banyak kes harga makanan yang terlampau mahal yang telah diviralkan. Sebelum ini, kes ikan siakap di Langkawi yang berharga lebih dari RM1000. Yang terkini kes sotong berharga lebih RM100 untuk 2 ekor di restoran nasi kandar di Pulau Pinang. 

Walaupun pelanggan merasakan harganya berpatutan, namun ianya tidak bererti harga yang dikenakan dan dipamerkan oleh restoran berkenaan sebagai berpatutan. 

Alasan restoran telah meletakkan tanda harga juga tidak bermakna harga yang dijual sebagai berpatutan. Jadi tugasan ini yang perlu diambil oleh pihak KPDNHEP untuk membuat penilaian jika harga yang dipamerkan sebagai munasabah. 

Semasa kunjungan saya ke Pulau Pinang baru baru ini, memang saya faham kalau pelanggan redha dengan harga yang dikenakan selepas terpaksa beratur berjam jam. Dah sampai giliran, kita pun dah kepenatan. 

Saya tidak sanggup beratur selepas melihat barisan yang terlalu panjang. Kami terus ke restoran lain tanpa perlu beratur dan rasa nasi kandar pun sedap. 

Banyak lagi restoran nasi kandar yang sedap. Tapi ramai orang mengunjungi restoran terkenal berdasarkan viral dalam social media. Bila ke Pulau Pinang sahaja, orang luar akan cari dua tiga restoran ini sahaja. Pada saya, terkenal tidak semestinya sedap.

Sedangkan pada penduduk setempat, banyak lagi restoran yang lebih sedap dengan harga yang tak mencekik darah. Atas syor mereka, saya pergi ke restoran nasi kandar yang lain dari yang disebut sebut oleh orang luar Pulau Pinang. 

Semasa di Pulau Pinang juga, saya makan ikan siakap bakar di Teluk Tempoyak dengan harga yang sangat berpatutan di mana harga RM40 sahaja untuk sekilo. Jadi seekor ikan dimakan bertiga, memang sangat berpatutan pada saya.

Nasihat saya, kena guna hak kita sebagai pengguna. Jika dirasakan restoran menjual harga terlalu mahal, kita cari restoran lain. Percaya lah kesedapan nasi kandar tidak jauh beza antara satu restoran dengan restoran yang lain. Jadi jangan takut untuk mencuba di restoran kecil seperti Restoran Shah Maju di Jelutong yang saya pergi hari itu. OK cukup setakat ini dahulu.




Hari ini saya ingin kongsikan resipi ikan kerapu masak masam manis. Selain ikan kerapu, boleh juga guna ikan siakap atau ikan jenahak. Cuma ikan siakap, isinya lebih lembut. Harga ikan kerapu harimau saya yang dibela di laut Langkawi ini berharga RM50 sekilo. Satu ekor ikan ini, boleh dimakan untuk kami sekeluarga. 

Jadi kalau anda ada membeli ikan kerapu atau siakap, boleh lah memasak masam manis atau lebih dikenali sebagai sweet sour. Haa gitu. Tak susah pun untuk memasaknya.  

Bahan sayuran tu, bolehlah letak apa sahaja yang disukai. Nak ada warna hijau sedikit, boleh letak timun, batang saderi atau lada capsicum. Baru cantik warna warni. Kalau dimakan di kedai, harga mahal tapi rasanya belum tentu menepati selera kita kan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Ikan Kerapu Masam Manis
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan kerapu - saiz sederhana
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili 
1 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil gula
2 sudu kecil jus lemon

Bahan kisar:
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan sayuran - dadu:
¼ batang timun
¼ batang carrot
½ biji tomato
1 biji bawang besar
Sedikit nenas - dadu
Daun limau purut

Cara-cara
Ikan dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Sebelum digoreng, tabur ikan dengan tepung jagung dan goreng hingga masak dan permukaan ikan agak garing, angkat dan ketepikan.


Panaskan minyak dan tumis cili kisar serta bahan yang telah ditumbuk tadi, sehingga terbit minyak. Masukkan jus lemon dan semua sos.

Jika kuah terlalu pekat, masukkan sedikit air, sesuaikan rasa, masukkan garam dan sedikit gula.

Akhir sekali masukkan bahan sayuran dan masak sehingga sayuran tadi agak layu, angkat dan curahkan di atas ikan yang siap digoreng tadi. Sedia untuk dihidangkan panas-panas. Selamat Mencuba.


Nota: Sangat sesuai dijadikan menu masakan pengantin.


Add your comment