Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kek Marble Pandan Gebu



Kuliah Zoom Ustaz Mat Esa Deraman, Tokku Pasir Gudang bab Wali wali Allah dari Kitab Ibnu Qudamah ada disentuh bab salah satu buruan para wali Allah ialah qiyam. Kalau nak tahu buruan para wali yang lain, boleh baca di SINI. Entah kenapa saya sangat suka dengan kuliah dan huraian oleh Tokku. Setiap patah ayat yang digunakannya, saya ingin tulis kerana ianya adalah jawapan kepada banyak perkara yang saya sangat ingin belajar dan dahagakan. 

Saya cuma ingin menulis sedikit sahaja dari bab qiyam di mana Nabi qiyam dan tidur sekejap selepas qabliah subuh. Bila penat sangat sehingga boleh mengganggu solat subuh, kita tidur sekejap. Untuk membantu kita menjadi lebih kuat bagi melakukan ibadah yang lebih aula iaitu solat subuh. Kalau tidur dan dikuatiri tak bangun, jangan tidur.

Nabi tidur di atas tangan yang diletak di pipi supaya bila mengantuk akan terjaga bila dekat waktu solat. Tidur untuk kuatkan tenaga dan kekuatan dalam beribadah adalah sunat. Begitu juga, kalau sebelum solat Zohor, rasa mengantuk, tidur sekejap. 

Qiyam bukan khusus untuk solat dan baca Al Quran semata tetapi zikir dan doa juga adalah qiyam. Qiyam adalah menghidupkan malam. Bila tersedar, baca, 

Laa ilaaha illallaah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku wa lahul hamd, wa huwa 'alaa kulli syai-in qodiir, 

Subhaanallaah, walhamdulillaah laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, 

Wa laa haula wa laa quwwata illaa billaah. 

Rabbirfirli.

Telah tercatat pahala qiyam atau bila tersedar dan berdoa "Ya Allah ampunkan lah dosa aku dan ibubapa ku". Maka dia telah mendapat pahala qiyam.

Atau bila bangun baca buku, study atau dengar ceramah, dia dah dapat pahala qiyam. qiyam adalah hidupkan malam dengan mengingati Allah dengan apa cara sekali pun. 

Uzur bukan lesen untuk bangun lewat dan mengingati Allah dengan apa sahaja. Perempuan uzur bangun pukul 9 pagi yang menutup pintu ibadat. Bangun awal adalah yang paling baik. Bangun awal dan qiyam dengan doa dan zikir. Kita telah mendapat pahala qiyam asalkan malam kita hidupkan dengan mengingati Allah. Sekarang kita masuk pula bab resipi. Semoga apa yang dikongsikan memberi manafaat kepada semua. 


Saya suka sangat dengan kek simple macam ni. Kek mentega atau kek marble yang menggunakan sedikit serbuk koko atau perisa pandan. Kalau kek coklat sepenuhnya, saya kuranglah sikit. 

Teringat masa abang sulung belajar di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor dulu di mana arwah Bonda saya akan meminta kakak sepupu untuk menyediakan kek untuk dipos ke sana. Kek itu dimasukkan ke dalam bekas tin. Jadi nak memuatkan bekas tin, dapat lah saya merasa kek yang dipotong sikit tu. Saya sendiri tak pernah makan kek sebiji macam tu. 

Hahaha arwah Bonda saya kiranya walaupun orang kampung, ada juga lah ingat nak menghantar kek kepada anaknya. Sedangkan kek adalah makanan mewah pada kami kerana kami tak pernah makan kek kecuali kek potong yang memang dijual atas meja di kedai kedai makan. 

Bila saya dah cukup duit, kek lah masakan pertama yang saya cuba masak. Masak atas dapur kayu menggunakan sabut kelapa yang diletak di atas tudung periuk. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Kek Marble Pandan Gebu

Bahan bahan:
1 cawan mentega - 200 gram
1 cawan gula kaster - 200 gram
3 biji telur
2 cawan tepung gandum     } - 220 gram
1 sudu kecil baking powder }
1 sudu kecil ovallete
1 sudu kecil esen vanilla
3 sudu besar susu pekat manis
2 sudu besar pes pandan + pewarna hijau - saya guna ½ sudu besar pes

Cara cara:
Putar mentega dan gula sehingga kembang. Masukkan telur satu demi satu sambil terus diputar.

Masukkan ovalette, essen vanila dan susu pekat manis. Putar hingga sebati.

Masukkan tepung gandum dan kacau dengan spatula secara kaup balik adunan.

Bahagikan adunan kepada 2 bahagian (414 gram) dan masukkan pes pandan + pewarna hijau. Satu bahagian lagi biarkan dalam warna asal.

Panaskan oven pada suhu 170C. Alas loyang saiz 8”x8” dan masukkan adunan secara berselang seli. Kemudian lorek mengikut yang disukai.


Tuang adunan berselang seli sehingga habis. Bakar selama 45 minit atau sehingga kek masak. Nota: jangan terlebih masak kerana kek akan kurang moist kalau terlebih bakar. 




1 ulasan for "Kek Marble Pandan Gebu"

  1. yer..saya pun suka kek biasa macam ni... kek butter..kek planta... kek yang tak terlampau berat

    BalasPadam