Khamis, 21 Oktober 2021

Asam Pedas Ikan Pari



Alhamdulillah saya baru balik dari Muar untuk Jalan Jalan Cari Makan. Kami pergi bersama sahabat kami Tuan Shahrol dan Puan Mariam tapi mereka balik hari. Kami bermalam satu malam dan keesokannya explore lagi makanan menarik di Muar. Antaranya ialah asam pedas. 

Asam pedas Melaka dan asam pedas Muar sedikit berbeza dari segi rasa walaupun bahan yang digunakan hampir sama. Asam pedas Muar menggunakan daun kesum dan bunga kantan. Kalau asam pedas Melaka, guna serai dan daun limau purut.

Pada saya dua dua pun sedap. Kita tak boleh hanya nak makan sejenis sahaja masakan, nanti rasa jemu pulak. Satu lagi asam pedas di Muar yang lebih cair, seakan asam pedas rebus sahaja. Tapi rasanya memang sedap juga walaupun kuahnya cair. 


Hari ini saya kongsikan resipi asam pedas ikan pari. Tak tahu lah versi mana. Dah jadi versi Malaysia kot. Atau mungkin resipi Melaka sebab saya guna daun limau purut.

Kalau masak asam pedas, yang wajib ada ialah kacang bendi sebab saya sangat suka dengan kacang bendi. Saya boleh makan berpuluh batang. Haa kalau tak ada idea nak masak apa, boleh masak asam pedas. Cepat dan mudah kan. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...



Asam Pedas Ikan Pari 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
700 gram ikan pari
4 ulas bawang putih - ketuk
25 gram asam jawa - bancuh dengan 1 mangkuk air
½ sudu besar garam atau secukup rasa
½ - ¾ cawan minyak masak
3 batang serai - ketu
5 helai daun limau purut
Sedikit daun kesum
3-4 sudu besar cili kering kisar
Kacang bendi
400 ml air atau secukupnya

Bahan kisar:
6-7 biji bawang merah - saiz besar
2 biji buah keras
¼ sudu besar belacan

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan sedikit belacan sehingga naik bau. Nota: Minyak kena betul betul panas dan banyak.

Masukkan serai dan daun limau purut. Kacau rata.

Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Ulang proses terbit minyak ini beberapa kali bagi memastikan cili benar benar masak.

Masukkan air asam jawa dan garam. Masukkan ikan dan kacau rata. Nota: kalau ikan mudah hancur, masukkan selepas kuah mendidih.


Tuang air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan kuah yang disukai. Perlahankan api dan renih lama lama.

Masukkan daun kesum dan kacang bendi. Sesuaikan rasa asam dan garam.


Masak sehingga kacang bendi hampir lembut, tutup api.




1 ulasan

  1. Kak Azie, mak mertua saya Melaka. dia tambah lada hitam dlm asam pedas. Suami saya kata sedap tapi kalau suami saya masak asam pedas, dia ikut style Johor - guna daun kesum.

    BalasPadam

Add your comment