Isnin, 13 September 2021

Ikan Pari Bakar dan Air Asam Pencicah



Sebelum kita masuk bab resipi, kita jamu sedikit minda kita dengan ilmu. Harap anda sudi membaca sehingga ke perenggan akhir. Ilmu yang saya pelajari dari kuliah Tokku Pasir Gudang, Ustaz Mat Esa Deraman bab akhlak. Dalam banyak banyak amalan, akhlak yang mulia adalah yang paling memberatkan timbangan. Akan membawa kepada darjat orang berpuasa dan beribadat malam. 

Dengan umur yang singkat, peluang terbatas kita perlu merebut sebanyak mungkin pahala. Sebagaimana sabda Nabi, umur umat ku antara 60-70 tahun. Sebilangan kecil umur lebih dari itu. Menjadi satu kecerdikan kita untuk mengetahui amalan yang ada kelebihan iaitu amalan yang paling Allah suka. Bukan amalan yang baik tapi yang paling baik dan memberi keutamaan padanya. 

Akhlak yang baik dalam kehidupan adalah ibadah dan mengatasi ahli ibadah. Semua ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji,  semuanya berobjektif kepada pembentukan akhlak. Belum sempurna iman seseorang, sehingga ia menpunyai akhlak yang baik. 

8 kelebihan utama akhlak yang baik iaitu:
1. kerana akhlak lah, ramai masuk syurga. Baginda bersabda, aku jadi penjamin, istana di puncak syurga bagi orang yang baik akhlaknya.
2. Akhlak yang baik adalah satu petanda Allah sayang kita. Bila Allah sayang, Allah jadikan akhlaknya baik. Allah suka orang berakhlak baik, lihat ayat 195 Surah Al Baqarah. Bagaimana kesungguhan kita membentuk akhlak.
3. Ianya adalah sebab untuk Rasul cinta pada kita. Baginda membawa akhlak, baginda dibangkit untuk membentuk akhlak yang baik. Orang yang paling baik akhlak akan paling dekat dengan baginda. 
4. Akhlak mulia bila timbang di hari akhirat, akan jadi lebih berat dari amalan lain. Sabda Nabi, tidak ada sesuatu yang lebih berat ditimbang di akhirat kelak, melainkan akhlak yang baik.
5. Amalan baik yang menyebabkan pahala bertambah. Sesungguhnya seorang lelaki dapat atasi dengan akhlak baiknya darjat orang puasa di siang hari dan qiyam di malam hari.
6. Punca umur jadi panjang dan penyebab negara harmoni.  Baik akhlak, baik kejiranan, negara aman dan umur panjang
7. Akhlak baik memberi kesempurnaan iman.
8. Akhlak baik adalah sebaik baik amalan. Amalan paling baik dengan mengira umur kita yang pendek, peluang terhad tapi kita diminta memburu syurga firdaus. Kalau memohon syurga, mohonlah syurga firdaus yang paling tinggi. Wahai Abu Dzar mahukah aku tunjukkan amalan yang paling mulia. Kamu hendaklah perelok akhlak kamu dan banyakkan diam. 

Akhlak baik datang dari hati. Bukan dari zahir. Akhlak yang baik adalah teras dalam ibadah Islam. Bukan bertunjangkan perniagaan tapi bertunjang pada keyakinan pada pahala dari Allah. Perniagaan servis seperti kaunter di hotel atau restoran atau servis dalam penerbangan, zahir nampak baik tapi kalau bertunjang pada dunia, itu bukan dikira akhlak. Orang berakhlak baik, kalau rugi pun, akan terus berakhlak baik. Seorang isteri mesti berakhlak baik dengan suami. Begitu juga dengan suami. Sebaik baik kamu, yang paling baik dengan keluarga dan anak anak juga. Kita berlumba lumba untuk jadi baik kerana Allah. Bukan untuk dipuji manusia.

Kedua, jaga silaturrahim. Silaturrahim ada 3 pendapat iaitu orang yang diharamkan berkahwin. Kedua, orang yang akan mewarisi harta pusaka kita. Silah bermaksud sambung, rahim adalah erti kerabat. Ketiga, saudara senasab melalui ibu ayah kita atau datuk nenek kita. Ini membentuk silaturahim, inilah hubungan kekeluargaan. Bila Allah ciptakan rahim, rahim ini bergantungan di arasy. Siapa hubungkan aku, maka hubungkan dia dengan mu. Siapa putus dengan ku, maka engkau putuskan hubungan dengan mu. Kita lebih rapat dengan satu alumni, satu jabatan, satu taman. Sedangkan dengan adik beradik yang masa kecil cukup akrab, kita jadi seperti orang asing. Rahim ini menuntut haknya kerana mereka orang pertama dalam hidup kita.

Memutuskan silaturrahim adalah dosa yang Allah segerakan balasannya. Pertama, zalim dan kedua, putus silaturrahim. Orang putus silarutrahim akan dilaknat dan tak masuk syurga, umur pendek dan rezeki sikit. Siapa nak rezeki banyak dan umur panjang, sambunglah silaturrahim. Jangan pandang mudah bab silaturrahim pernah membesar dengan mereka. Siapa yang benar beriman, sambunglah silaturrahim walaupun yang sana tak berminat nak sambung. Bukanlah penghubung silaturrahim itu bila mana dihubung. Tapi bila diputus, ianya dihubung. 

Orang ziarah kita, kita ziarah dia. Bukan kerana orang buat baik dengan kita, maka kita  pun buat baik. Tapi kita buat baik dengan orang yang tak baik dengan kita, kita hubung dan buat baik. Jangan buat sifat sama. Akhlak ni buat perkara berlawanan arus. Yang benar benar menyambung, dia akan memulakan setelah diputus silaturrahim. Bila nak hubung silaturrahim, apa nak buat? Cukup sekadar menelefon, telah dianggap kita sedang menghubung silaturrahim.  

Iman Nawawi bagaimana kita nak harmoni silaturrahim mengikut pada keadaan orang menyambung dan orang yang disambung. Kirim salam, ziarah, mesej atau berada dalam group WA. Jangan left group. Ini kerana kita dah letakkan satu langkah dalam menghubungkan silaturrahim dengan terus berada dalam group WA. 

Amat mendukacita adik yang pernah dalam perut sama kita lupakan. Tanda akhir zaman, kita lebih rapat dengan kawan kawan berbanding dengan ayah atau adik beradik sendiri. Rahim menuntut hak di akhirat kelak. Ini hak yang perlu kita buat. Mendoakan untuk mereka, jika  berbalah, cuba selesaikan. Bersedekah pada rahim, akan mendapat 2 pahala. Sedekah pada orang miskin 1 pahala. Begitu juga kenduri mana yang perlu diutamakan. Hebatnya silaturrahim. Ianya adalah amalan besar yang pahala  berganda. Iman Qudamah menyebut akhlak paling baik pada adik beradik kita berbanding orang luar.

Ketiga, jaga amalan yang lebih utama seperti solat di awal waktu, buat baik pada ibubapa dan berjihad ke jalan Allah. Bagaimana nak tahu amalan yang paling baik? Pandangan ulamak ada 4 cara untuk kenal amalan yang paling afhdal.  Pertama, mana mana yang paling sukar kita buat itulah paling besar. Contoh, ada orang susah senyum, muka ketat. maka itulah pahala paling besar. Kedekut, kalau kita lawan sifat kedekut kita akan dapat  pahala besar.

Pendapat kedua, Mana mana amalan yang mampu buang hawa nafsu sehingga kita jadi zuhud pada dunia kita. Sehingga kita tak lagi fikir padanya. Lihat dunia dengan nilai dunia sebenar iaitu bila mati kita akan tinggalkan dunia. Nilai sebenar dunia bersifat binasa. Orang berjaya ialah yang ada sifat zuhud, maka semua amalan dibuat adalah mulia. Ketiga, apa yang manafaat boleh dikongsi oleh orang lain. Contoh kita tahajud sorang sorang, kita jer dapat tapi kalau kongsi ilmu, manafaat lebih besar maka pahala lebih besar. 

Keempat, amalan afdhal adalah ikut waktu contoh bila kedengaran azan, maka solat adalah amalan paling mulia ketika itu. Kalau sekarang negara tengah membina jaringan pendidikan yang baik dan maju, maka ini yang lebih mulia. kita melihat waktu ini mana yang lebih mulia. 

Kita tengok manafaat untuk ramai atau untuk kita jer. Kalau masak pun kita nak semua orang rasa, jadi kita masak banyak dan bagi pada jiran jiran. Kita buat kebaikan yang banyak. Bila hadiri kuliah, kita jemput sekali kawan kawan. Manafaat untuk ramai orang atau sikit. 

Keempat, bagaimana kita membentuk hidup sayang dan benci kita semua kerana Allah. Kerana perbuatan itu yang menyempurnakan iman kita. Siapa yang suka dan benci kerana Allah, maka ia telah menyempurnakan iman. Apa kayu ukur benci dan sayang. Kita diajar sayang bila Allah perintah kita sayang. Kita diajar hormat bila Allah perintah untuk kita hormat. Saya hormat orang tua, saya sayang anak anak kecil kerana ianya perintah Allah. 

Saya sayang bukan kerana hawa nafsu tapi kerana Allah, jadi kalau buat silap kena tegur. Kalau saya buat silap, isteri kena tegur, kalau anak tidur tak solat, kena kejutkan supaya bangun solat. Latih anak puasa, suruh anak belajar Quran. Satu jenayah pendidikan bila kita biarkan anak kita membesar tanpa tanggungjawab kita mengajar agama pada mereka. Kita bentuk dia solat, mengaji dan mengikut perintah Allah. 

Kelima, sabar juga adalah kelebihan amalan. Sabar dalam taat, sabar dalam musibah dan sabar terus buat ibadah sehingga kita mati. Semua urusan tadi kuncinya bermula dengan doa. Ya, Allah mudahkan aku untuk perelokkan akhlak ku sebagaimana engkau perelokkan wajah ku. Mudahkan untuk aku buat kebaikan, berzikir, mudah untuk aku buat kebaikan, mudah untuk cintakan orang miskin. 

Doa adalah ibu pada semua urusan kita. Untuk tunjukkan bahawa hidayah datang dari Allah. Bukan kita tapi Allah yang jadikan kita baik. Tiada daya dan tiada upaya melainkan Allah. Bila ahli syurga masuk syurga, mereka kata dapat masuk syurga kerana Allah yang beri hidayah sehingga dapat masuk syurga.  Bukan kerana kita bijak kita tapi kurniaan Allah pada siapa yang dikehendaki. Kalau tidak kerana rahmat Allah, kita ikut syaitan. Alhamdulilah kita selamat walaupun syaitan menghasut. Alhamdulillah kita tahu jalan keluar.

Dalam usaha untuk dapat pahala kita mesti bermujahadah. Kami akan tunjuk jalannya. Walaupun ada tekanan, bila kita cuba buat baik, tak dapat respond, tapi kita akan tetap dapat pahala. Walaupun kita rasa tak seronok dan rasa terpaksa. Allah pasti tunjuk jalan keluar dan kebaikan itu ada kemanisannya. Kebaikan tidak boleh dihenti dengan apa apa sebab walaupun kita tak ikhlas, tak ada mood. Mudah mudahan satu hari nanti kita akan rasa kemanisannya. Allah tetap suka. Walaupun dibuat dalam suka atau kita tak suka, kebaikan yang dibuat tetap akan memberi kesan yang baik.


OK sekarang kita masuk pula bab resipi. Maaf lah kerana terpanjang sedikit coretan majlis ilmu kerana saya merasa sangat seronok untuk berkongsi. Mudah mudahan kita semua akan mendapat manafaatnya. 

Kalau biasa, bila menyediakan ikan pari bakar, saya hanya melumur ikan pari dengan garam dan serbuk kunyit sahaja. Tapi kali ini terlebih rajin sikit. Jadi lumur lah ikan pari dengan sedikit bahan bahan. Untuk mencari sedikit kelainan rasa. 

Untuk menyedapakan ikan bakar ialah air pencicah. Saya suka air asam pencicah dan kicap pencicah. Dua dua pun sedap. Hari ini saya gandingkan dengan air asam pencicah. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Ikan Pari Bakar 

Bahan bahan:
3 keping ikan pari
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk kunyit
Garam
Gula
1-2 sudu besar minyak masak

Bahan kisar:
3-4 ulas bawang putih
1 batang serai
2 inci halia

Cara cara:
Satukan semua bahan dan perap pada ikan selama 30 minit.



Panaskan kuali, lapik daun pisang. Susun ikan dan bakar sehingga masak.


Air Asam Pencicah

Bahan kisar:
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
½ sudu kecil belacan
3 tangkai cili padi merah
3 tangkai cili padi hijau
2 biji asam limau kasturi - buang biji- kisar bersama kulitnya
½ gelas air asam jawa - ½ sudu besar pes asam jawa + ½ gelas air

Bahan hiris:
2 tangkai cili padi merah
1 tangkai cili padi hijau
½ biji buah tomato - dadu
½ biji bawang besar kuning
2 biji asam limau kasturi

Cara-cara:
Satukan bahan kisar dan bahan hiris. Masukkan 3 sudu besar gula dan ¾ sudu besar garam. 

Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan.



1 ulasan

Add your comment