Selasa, 3 Ogos 2021

Sotong Goreng Kicap Simple



Saat pandemik seperti ini, seseorang boleh dijangkiti Covid dan boleh memberi maut bila bila masa sahaja. Ramai yang kehilangan ibubapa. Ramai yang kehilangan pasangan, anak anak dsb. Semua berlaku dalam masa yang singkat. 

Tiada daya dan kekuatan kita melainkan pertolongan Allah semata. Selain memperbanyakkan berdoa agar covid 19 diangkat dari muka bumi ini, kita juga perlu banyakkan amal ibadah. Banyakkkan solat sunat, zikir dan berdoa. Persiapkan diri andainya kita ditimpa musibah.

Kadang kadang terasa juga bila melihat negara jiran kita, Brunei yang mana mereka walaupun mengadakan majlis dan perhimpunan besar besaran, tidak lagi memakai pelitup muka. Begitu juga di United Kingdom dan Peranchis berdasarkan video video yang dikongsikan oleh Instafamous Malaysia yang sedang bercuti di sana.

Sedang di negara kita pemerintah dan ahli berpolitik bercakaran bab kuasa tanpa sama sama mahu berganding mahu memikirkan kaedah untuk membantu rakyat semasa covid 19 ini. 

Jika ada kaedahnya, pasti rakyat tidak kisah untuk sama sama lock down selama 2-3 minggu. Ini nama perintah lockdown yang tak macam lockdown. Sepatutnya masa lock down semua tutup. Bagi masa untuk menyimpan stock bahan makanan untuk 2 minggu. 

Cukup lah setakat ini, semoga pihak pemerintah dan mereka yang diberi tanggungjawab, akan melakukan amanah ke atas mereka dengan betul. Takut mereka disiksa selepas mati kerana kegagalan dan penipuan yang dibuat. Jika menipu, mereka menipu berapa juta rakyat, macam mana nak minta maaf. Sedang Allah menyebut berdosa dengan manusia, hanya boleh diselesaikan dengan manusia.


Sekarang kita masuk sedikit bab resipi hari ini. Saya tak pasti dengan orang lain. Tapi kalau saya, bila bab sotong saya akan masak yang paling ringkas. Kalau rebus rebus pun OK, baru terasa sedap dan manisnya. 

Bila kita dah masak lemak, masak kari, rasa sotong dah tenggelam dengan rasa kari. Begitu juga dengan sambal tumis tapi sambal tumis ok lagi kerana kita masak sotong sekejap sahaja. Golek golek dalam sambal dan tutup api. 

Jadi kalau sotong, saya suka masakan yang dimasak simple seperti sotong goreng kicap atau sotong goreng garam kunyit sahaja. Memasaknya cepat, bahannya mudah dan rasanya sangat sedap. Betul tak?

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...



Sotong Goreng Kicap Mudah dan Sedap

Bahan A:
500 gram sotong
Sedikit garam
Sedikit serbuk kunyit
½ sudu kecil serbuk cukup rasa Knorr

Bahan B:
Sedikit air asam jawa
Kicap masin secukupnya
Gula secukup rasa

Bahan C:
1 biji bawang besar Holland - hiris bulat
3 tangkai cili merah - hiris serong
2 tangkai cili hijau - hiris serong
2 helai daun limau purut

Cara cara:
Sotong digaul dengan garam, serbuk kunyit dan serbuk perasa. Ketepikan.

Panaskan minyak dan masukkan sotong. Goreng sehingga terbit minyak. Masukkan asam jawa, kicap masin dan gula secukup rasa.

AKhir sekali masukkan cili hijau, daun limau purut dan bawang besar. Kacau rata sehingga bawang layu. Tutup api.


1 ulasan

  1. Sedap ni kak azie, saya pun suka sotong masak simple sahaja.

    BalasPadam

Add your comment