Ahad, 8 Ogos 2021

Nasi Goreng Daging Mudah Dan Sedap



Alhamdulillah dan tahniah atas kemenangan Dato Azizul Hasni Awang yang memenangi pingat Perak dalam sukan Olimpik Tokyo. Tahniah dan seluruh rakyat Malaysia bergembira dengan kemenangan ini.

Sebelum masuk bab masakan saya ingin kongsikan sedikit antara petikan dari Kuliah Zoom Ustaz Shamsul Debat dengan tajuk nak beristighfar tak perlu menunggu dosa.

Sebagai hamba Allah tak lengkap jika kita tidak beristihfar memohon keampunan kerana manusia tidak akan lepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Rasulullah yang maksum pun tetap beristighfar sebanyak 70 kali sehari. Apa hikmah Nabi beristighfar? Hikmahnya ialah kerana baginda ingin bagi contoh kepada manusia supaya minta ampun dari Allah atas segala dosa yang disengaja atau tak disengaja atas dosa yang diketahui atau tidak diketahui.

Kelebihan beristighfar ialah pertama kita akan dijauhkan dari bala dan musibah. Kedua dengan beristighfar akan dilapangkan segala kesempitan dan akhir sekali, akan didatangkan rezeki yang tak disangka sangka.  

Sekiranya dosa banyak sehingga mencapai ke langit sekali pun, jangan putus asa kerana Allah pasti akan memberi keampunan. Keampunan Allah tidak ada batasnya. Kita kena berusaha jauhkan diri dari berbuat kejahatan.

Namun jika berdosa dengan manusia, kita kena minta ampun dengan manusia. Kalau orang itu telah meninggal dunia, kita boleh bersedekah untuk membayar dosa pada orang tersebut. Kita pasti sedar kalau kita ada membuat dosa pada orang lain.

Apa beza taubat dan istighfar. Istighfar adalah meminta ampun. Sesiapa sahaja boleh beristighfar. Manakala taubat adalah lebih khusus. Kita tahu kita telah melakukan dosa, jadi kita mesti berikrar dan menyesal untuk tidak buat lagi. Sebelum taubat, kita lakukan dulu solat sunat taubat terutama di waktu malam. 

Manusia akan buat dosa lagi dan lagi. Setiap kali buat dosa, kita kena minta ampun. Jadikan zikir istighfar sebagai zikir yang sentiasa lazim di bibir kita. Selesai solat, ucapkan istighfar sekurangnya 3 kali. Kalau tak istighfar itu tandanya orang yang sombong. Seolah aku tak ada dosa. 

Selepas istighfar, bacalah doa yang ringkas sekali pun seperti doa yang biasa dibaca sebelum makan. Allaahumma Baariik lanaa, Fii maa razaqtanaa, Waqinaa Adzaabannaar. Ini bukan doa untuk makan sahaja tapi boleh untuk semua kerana ianya adalah bermaksud, Ya Allah barakahkanlah kepada kami apa apa apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari api neraka. Cukup setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab masakan.


Saya suka makan nasi goreng, terutama yang simple simple macam ini. Bila dimasukkan daging, nasi goreng menjadi lebih sedap dengan rasa kemanisan daging.  Jika suka, daging boleh direbus dahulu sehingga empuk. Simpan air rebusan untuk dimasukkan semasa menumis, jadi kemanisan air daging akan masih terasa.

Haa masa PKP ni, kita boleh mencuba mempelbagaikan cara memasak nasi goreng. Kalau dulu suami keluar bekerja, anak ke sekolah. Tapi kini mereka di rumah. Jadi supaya mereka tidak merasa jemu makan nasi goreng yang sama, boleh cuba versi nasi goreng. daging pula. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...



Nasi Goreng Daging

Bahan bahan:
800 gram nasi putih
1 mangkuk daging - hiris nipis
3 keping fish cake
1 ½ sudu besar cili kering kisar
1 mangkuk sayur kubis
5 tangkai cili padi
3 biji telur
2 sudu besar sos ikan
1 kiub pati ayam
½ sudu besar garam
¼ cawan minyak masak

Bahan hiris:
5 biji bawang merah
5 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris sehingga wangi. Masukkan cili kering kisar. Tumis sehingga terbit minyak.

Masukkan daging dan kacau rata. Kemudian masukkan 1 mangkuk air atau secukupnya untuk daging empuk. Masukkan kiub pati ayam.

Setelah daging empuk dan terbit minyak, masukkan fish cake. Kacau rata. Nota: daging boleh juga direbus terlebih dahulu sehingga empuk. 


Masukkan sos ikan dan sayur kubis serta cili padi. Kacau rata. Ketepikan bahan, tuang telur. Setelah telur separuh masak, kacau dan masukkan nasi.


Kacau rata atas api besar sehingga berasap. Sesuaikan rasa. Tambahkan garam jika belum cukup rasa. Bolehlah tutup api.



1 ulasan

Add your comment