Rabu, 4 Ogos 2021

Gulai Ikan Tongkol Nasi Dagang Terengganu Stail Tradisional



Sekarang semua menjadi lebih mudah. Samalah juga kalau hendak resipi, cuma google sahaja, terus dapat. Tapi biasanya apa yang kita dapat secara mudah, kurang nilainya, kurang dihargai. Berbeza dengan saya. Saya mendapat resipi ini bukan cara yang mudah. 

Haa jadi saya minta siapa berminat untuk mendapat resipi ini, boleh bagi satu klik iklan di atas entri ini. OK tak? Saya tak minta bayaran pun. Resipi ini juga ada dalam buku resipi kedua saya Resipi Azie Kitchen, Hebat Di Dapur yang boleh dibeli terus dengan email saya di haziahjaya@hotmail.com  atau 0197047375 klik WhatsApp di SINI

Saya mengambil masa bertahun untuk melengkapkannya kerana tidak semua orang pandai berkongsi resipi. Tanya banyak kali kan, nanti orang jemu. Terpaksa lah tanya sikit sikit. Resipi ini saya belajar dari kawan saya yang mana emak mertua beliau orang asal dari Terengganu. Kerana kesukaran ini, saya sangat sayang dan hargai resipi ini. 

Kalau yang ramai, akan cakap agak agak jer. Kalau semua nak diagak agak, rasa rasanya ada yang berjaya tak menghasilkan lauk yang hampir sama dengan orang yang mengajar. Sama 100% mungkin sukar kerana faktor air tangan dan lidah masing masing. 


Tapi kalau rasa malas dan nak masak cara mudah, boleh jer, panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan cili kering sehingga garing, masukkan santan dan lain lain bahan perasa seperti cara kita memasak kari. 

Tapi kalau rasa nak jadi wanita hebat di dapur yang pandai serba serbi, wajib lah sekali mencuba cara memasak gulai ikan tongkol nasi dagang terengganu cara tradisional ini. 

Selain dimakan dengan nasi dagang, sedap juga dimakan dengan nasi putih. Lauk ini lagi lama lagi sedap. Sekarang nasi dagang boleh dimasak bila bila masa sahaja. Tak perlu tunggu raya. Lagi lagi time PKP ni, kalau beli tak sedap, nak pergi Terengganu tak dapat merentas negeri. Jadi masak lah sendiri. 

Jom layan resipi yang saya kongsikan di bawah ini sert cara cara penyediaannya. Selamat mencuba....



Gulai Ikan Tongkol Nasi Dagang Terengganu

Bahan A:
1 ekor ikan tongkol hitam

3-4 keping asam keping

3 sudu besar garam 

1 inci kunyit hidup

½ keping gula  Melaka


Bahan B: 

4 sudu besar cili kering kisar

1 senduk rempah nasi dagang

2 cawan santan segar pekat

Air secukupnya

Gula Melaka

Garam

Gula

Sedikit ajinomoto, jika suka

15-20 biji cili padi hijau dan merah

Asam belimbing buluh - opsyenal

Telur rebus - opsyenal 


Bahan kisar:

10 biji bawang merah

4 ulas bawang putih

2 inci halia

1 inci lengkuas


Cara cara:

Ikan tongkol direbus dengan semua bahan A (serupa ikan singgang).  Asingkan ikan dan air rebusan. Nota: jika suka rebus 2 hari sebelumnya sehingga tulangnya lembut macam ikan sardin (terbaik) atau rebus menggunakan slow cooker. 




Masak santan atas api sederhana sambil dikacau sehingga terbit minyak. Sementara itu, panaskan sedikit minyak dan tumis cili kisar sehingga garing dan terbit minyak.  


Panaskan air rebusan ikan dan masukkan bahan kisar. Setelah mendidih, masukkan rempah nasi dagang, kemudian masukkan ikan, santan yang telah dimasak tadi, cili yang telah ditumis dan gula Melaka. 


Sesuaikan rasa masam dan masin kerana air rebusan telah ada garam dan asam. Jika belum cukup, baru tambah asam keping, garam dan gula. Kuahnya tu mesti ada rasa manis, pedas, lemak dan sedikit masam. 


Sekiranya dah secukup rasa, baru masukkan asam belimbing, cili padi, cili merah, telur rebus dan sedikit aji-no-moto, jika suka.



Nota:

jika rasa kurang lemak, tambah santan, jika rasa kurang pedas, tambah cili yang ditumis.


Jika hendak dimakan pagi, kuah boleh disediakan malam. Pagi hanya masukkan santan yang dimasak sehingga terbit minyak dan masukkan cili padi dan cili merah.  


Untuk sukatan beras nasi dagang Terengganu, guna 4 cawan beras siam wangi A1 + 1 cawan beras pulut rendam selama 8 jam. 




Add your comment