Rabu, 28 Julai 2021

Masak Lemak Jantung Pisang dan Udang



Saya ingin kongsikan petikan dari video Ustaz Jafri berkenaan kecukupan rezeki. Cukup maknanya sempurna. Tidak lebih dan tidak kurang. Rasulullah SWA mengajar supaya kita memohon kecukupan rezeki di dalam doa kita. Jika kita bertawakal pada Allah, hati akan rasa tenang dan rasa cukup.

Harta hanya perlu secukup sahaja. Kalau lebih, akan memberi mudarat. Umpama kita menggunakan gula dalam membuat minuman. Mesti secukup sahaja. Kalau kurang rasanya tak sedap. Jika gula berlebihan, minuman tak rasa sedap dan boleh memberi mudarat pada kesihatan.

Berapa orang yang akan rasa gembira dan rasa tenang bila melihat kejayaan orang lain. Bila kita bertawakkal kepada Allah, kita tak akan rasa dengki dengan kejayaan orang lain. Kalau kita tak dapat maknanya bukan rezeki kita. Kalau kita dapat, mungkin ianya bukan baik untuk kita. Ianya akan menjadikan kita sibuk dan lupa dengan Allah dsb.

Untuk mendapat kecukupan rezeki, kita disarankan untuk melakukan 2 perkara ini iaitu jangan meninggalkan solat sunat Dhuha 4 rakaat. Kedua amalkan untuk membaca 2 ayat terakhir surah Al Baqarah kalau boleh setiap kali selepas solat solat fardhu supaya kita lebih konsisten. Insya Allah, kita akan diberi kecukupan sehingga akhir. Setakat ini dahulu, sekarang kita. masuk pula bab resipi.


Jantung pisang ialah antara lauk sayuran kegemaran saya. Macam macam boleh dimasak dengan jantung pisang. Boleh dimasak teresek, gulai lemak, masak lemak cili api atau goreng tumis dengan udang dan banyak lagi.

Hari ini saya masak lemak dengan dicampurkan dengan sedikit udang. Bukan sahaja saya tapi anak anak yang sebelum ini tak suka makan sayur jenis ulaman seperti ini pun, makan menambah nambah. Haa serious sedap jantung pisang ini. 

Jom cari jantung pisang dan bolehlah cuba resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...



Masak Lemak Jantung Pisang Dengan Udang

Bahan bahan:
1 biji jantung pisang
250 gram santan segar
Udang 
Garam
Gula - opsyenal 

Bahan kisar:
2 tangkai cili merah
4-5 tangkai cili api - ikut pedas disukai
4-5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara cara:
Jantung pisang dikupas sehingga bahagian kulit yang berwarna cerah. Kemudian dibelah 4 dan direbus sehingga lembut. Angkat dan hiris mengikut yang disukai. Basuh dan tos.

Tuang bahan kisar di dalam kuali dan masak atas api kecil seketika sehingga hampir kering. Tuang santan dan kacau rata sehingga hampir mendidih.

Masukkan udang dan kacau rata. 

Masukkan jantung pisang dan garam serta gula secukup rasa. Masak sehingga mendidih. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.


Add your comment