Ikan Bilis Goreng Cili Api Petai Yang Mudah dan Sedap
Terlebih dahulu saya memohon anda semua untuk klik iklan yang keluar di bahagian atas blog saya. Juga klik follow blog saya. Dapat juga lah saya sedikit masyyyuuk dan dapat juga membantu mereka yang memerlukan. Bolehkan? Terima kasih.
Sebak dan terharu membaca kisah kisah yang dihantar dalam group whatsApp sekarang ini. Antaranya ialah kisah orang kehilangan ahli keluarga yang ramai dalam masa yang singkat kerana jangkitan covid 19. Ada yang kehilangan seramai 6 orang ahli keluarga dalam masa sebulan.
Ada pula kes orang tidak punya duit untuk membeli barang barang keperluan asas seperti makanan seperti beras, susu bayi, pampers dan sebagainya. Kebanyakan mereka adalah orang yang bergaji hari yang sekarang kehilangan pekerjaan kerana tempat mereka bekerja ditutup kerana covid 19.
Dalam masa yang sama, masih ramai yang berbelanja mewah di musim PKPD ini dengan membeli barangan berjenama, bercuti ke luar negara dsb.
Kes kes bunuh diri yang melibatkan orang Melayu yang beragama Islam juga sangat tinggi. Bila duit untuk makan tak ada, duit untuk bayaran rumah dan kereta tak ada. Minta bantuan pihak kerajaan pula lambat dan banyak karenah birokrasi.
Ahli Parlimen mendapat peruntukan kawasan sebanyak RM4-5 juta. Apakah yang telah mereka buat dengan peruntukan tersebut. Sepatut habis dibelanjakan untuk membeli barang keperluan asas untuk mengisi perut yang lapar. Ahli politik dan pihak kerajaan pun tidak ada yang nampak mengambil tindakan segera untuk berbuat sesuatu bagi membantu mereka yang sangat memerlukan ini.
Seperti mana suri rumah lain, saya juga kena memasak. Sebelum PKP, semasa PKP atau selepas PKP pun perut kena di isi. Bila memasak dapat menjimatkan kerana boleh dimakan sehingga ke malam. Masak simple simple sahaja.
Hari ini saya memasak ikan bilis goreng cili api dengan petai. Sangat mudah dan cepat disediakan. Yang penting, sangat sedap. Semua bahan memang dah ada di rumah.
Petai pun memang yang dah lama terperap dalam freezer. Ikan bilis pun yang orang beri. Kalau tak ada petai, boleh jer gantikan dengan terung pipit atau apa apa sayuran yang kita sukai.
Jom layan resipi yang saya gunakan dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Ikan Bilis Goreng Cili Api Petai
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
50 gram ikan bilis
70 gram isi petai - ½ cawan
1-2 genggam cili api
1 keping asam keping
1 biji cili hijau - hiris
1 biji bawang besar - hiris
Garam - jika perlu
½ cawan minyak masak
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan ketepikan. Nota: ikan bilis dibasuh manja sejurus sebelum digoreng sahaja supaya cepat garing.
Menggunakan minyak yang sama, tumis cili padi yang ditumbuk atau dikisar kering sehingga wangi. Masukkan asam keping dan garam. Nota: rasakan dulu kalau ikan bilis telah masin.
Masukkan cili hijau dan bawang hiris. Kacau rata.
Masukkan petai dan kacau rata. Nota: jangan masak petai lama jika suka petai yang masih rangup.
Akhir sekali, masukkan ikan bilis tadi. Kacau rata dan boleh ditutup api. Nota: keluarkan minyak berlebihan.
Catat Ulasan for "Ikan Bilis Goreng Cili Api Petai Yang Mudah dan Sedap"
Add your comment