Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tumis Sotong Lock Down



Hari pertama lock down 1 Jun 2021, saya menyediakan nasi goreng ikan bilis untuk sarapan dan kari ayam, sambal sotong serta ikan kering untuk hidangan makan tengahari.

Selepas masak, saya sembat chatting dengan rakan rakan sefakulti di Universiti Malaya. Ramai antara kami yang telah bersara. Hanya ada beberapa orang sahaja lagi yang masih bekerja.

Rupanya saya tidak keseorangan. Masa nak bersara, risau kalau tak cukup duit. Mereka risau kerana pencen dah tinggal separuh dari gaji asal. Sedang saya pula langsung tak ada pencen. Dah biasa pegang duit gaji sendiri. Risau lah juga. Biasa dapat RM20k tiba tiba jadi zero. Siapa tak kecut perut.

Namun Allah yang menetapkan semua rezeki hambaNya. Walaupun tiada lagi gaji, saya masih diberi pendapatan melalui cara lain. Saya masih mampu beli kain dan jahit baju dengan tailor saya. Masih boleh bersedekah. Masih boleh belanja anak anak.

Dulu sebelum bersara, selalu bersembang dengan Shamsul, rakan sekerja macam mana saya perlu menurunkan standard of living bila dah bersara. Kena cari tailor lain yang lebih murah, kena pakai barangan yang lebih murah dsb. 

Kenapa tailor yang saya risaukan kerana saya memang cerewet bab tailor. Sejak di universiti ketika berusia 20 tahun saya dah hantar baju ke tailor China di Jalan Maarof Bangsar dengan upah RM35. Sedangkan ketika itu, upah tailor biasa hanya sekitar RM15 sahaja.

Tapi percaya lah bila dah bersara semua itu dah tak ada makna. Saya menpunyai berbelas pasang kain yang belum dijahit tapi saya tidak ada keinginan untuk menghantarnya untuk dijahit. Tak rasa lagi nak pakai berlawa lawa. Dah bersara pun, hanya perlu baju cantik untuk menghadiri majlis perkahwinan sahaja. Lagi lagi pulak sekarang dengan pandemik Covid 19, lagi lah tak ada event untuk dihadiri.

Jadi kepada yang masih bekerja, jangan risau untuk bersara. Jangan bimbang dengan rezeki. Allah menjaganya. Duit kalau dikira cukup memang tak akan pernah cukup. Kalau rasa dah tak larat, bersara sahaja. Bagi peluang pada orang muda muda pula.

Bila dah bersara, rasa kasihan pada orang yang masih bekerja. Dah berusia masih berhempas pulas dengan urusan kerja. Syukur kerana dapat merasa fasa persaraan. Sedang ramai yang tidak sempat merasainya kerana terlebih dahulu dipanggil mengadap Illahi sebelum sempat menikmati alam persaraan. OK lah sekarang kita masuk sedikit bab masakan.


Hari ini saya ingin kongsikan lauk pertama masa lock down 2021. Yang dipanggil total lock down. Apa apa pun harap kita berada lah di rumah jika tiada urusan mustahak. Sama sama kita putuskan rantaian covid 19.

Jangan lupa untuk mendapatkan vaksin kerana di negara luar telah terbukti vaksin dapat membantu menyelesaikan masalah penularan wabak covid. Di UK, mereka tidak lagi memakai pelitup separuh muka walaupun ada yang memakainya.

Lauk hari ini adalah lauk simple yang biasa biasa jer. Cuma biasanya saya akan masak sotong sekejap di dalam kuali untuk mengeluarkan air supaya sambal tidak berkuah.

Tapi hari ini saya masukkan sotong terus. Tapi pastikan sambal telah cukup rasa dan telah terbit minyak dengan cantik sebelum dimasukkan sotong. Masukkan sekejap dan kacau dengan api besar agak agak sotong masak, terus tutup api. Ini kiranya cara kedua lah jika tak mahu keluarkan air sotong.

Jom kita layan resipi yang saya gunakan dan cara cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....



Sambal Tumis Sotong LockDown

Bahan bahan:
3 ekor sotong - saiz panjang
2 sudu besar cili kering kisar
1 - 1 ½ sudu besar gula
½ sudu kecil garam
Sedikit air asam jawa
½ biji bawang besar kuning - hiris
¼ cawan minyak masak - tambah sikit lagi

Bahan kisar:
½ biji bawang besar
4-5 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan cili kering kisar dan tumis lagi sehingga cili masak dan terbit minyak. Masukkan sedikit air dan masak lagi sehingga terbit minyak.

Masukkan gula dan kacau rata. Sambal akan bertukar warna gelap. Masukkan air asam jawa dan garam. Kacau sehingga terbit minyak.


Setelah terbit minyak, masukkan sotong dan kacau rata. Besarkan api dan masukkan bawang hiris. Kacau rata dan setelah sotong masak bolehlah tutup api.


Nota;
Sotong jangan dimasak lama nanti akan jadi liat.

Sotong boleh juga dimasak dulu dalam kuali tanpa minyak untuk mengeluarkan airnya. Airnya dimasukkan dalam sambal semasa menumis.



Catat Ulasan for "Sambal Tumis Sotong Lock Down "