Selasa, 29 Jun 2021

Nasi Goreng Kampung Azie Kitchen



Hahaha pesan lagi, jangan lupa klik iklan google yang keluar di blog saya dan jangan lupa klik Follow Blog tau. Terima kasih dan sangat menghargainya. 

Saya mendapat idea untuk memasak nasi goreng kampung selepas melihat sahabat di Instagram yang menyediakan nasi goreng kampung sebagai sarapan. Bukan tak pernah menggoreng nasi goreng kampung sebelum ini. Tapi macam buntu dan tak keluar idea apa yang nak dimasak. 

Bila dah nampak, barulah ahhaaa timbul idea untuk masak nasi goreng kampung. Banyak saya sediakan hari ini untuk habiskan nasi yang ada. Makan sampai petang lah. Tambah lauk lauk jer. Saya kalau nasi goreng, boleh makan pagi sampai malam pun OK. Tak pernah jemu. 

Bila disebut nasi goreng kampung, pada saya mesti nak kena ada adalah ikan bilis goreng dan sayur kangkung. Saya tak akan letak sayur lain kerana pada saya sayur lain dah tak kena walaupun sedap. 

Begitu juga dengan lauk pauk lain, paling saya akan letak pun hanya fish cake, saya tak suka isi ayam atau seafood semua. Saya mahu nasi goreng yang berperisa pedas cili padi dan menpunyai rasa ikan bilis. Selain itu, telur juga adalah wajib ada dalam masakan nasi goreng dan mee hoon goreng saya. Itu adalah pilihan saya. 


Tidak ada salah atau benar pun dalam memasak. Pilihan masing masing. Asal rasa sedap di tekak dan kegemaran keluarga, campaklah apa pun, tak jadi masalah. 

Wallaa rasa sangat sedap nasi goreng saya hari ini. Nasi goreng ini, kena ada rasa pedas, barulah meletop. Saya letak sedikit belacan. Belacan ini sebenarnya penyedap tapi saya tak boleh makan banyak kerana allergy. Jadi letak sedikit sahaja. 

Jom layan resipi cara saya dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba... 


Nasi Goreng Kampung Azie Kitchen

Bahan bahan
1.1 kg nasi putih
1 mangkuk ikan bilis
1 ikat sayur kangkung
5-6 tangkai cili padi - hiasan
4 keping fish cake
2 sudu besar sos ikan
4-5 biji telur
1 kiub ikan bilis
½ sudu besar garam
½ sudu kecil gula
1 cawan minyak masak

Bahan kisar kasar:
4-5 ulas bawang putih - saiz besar
6-7 biji bawang merah - saiz besar
3 sudu besar ikan bilis
½ sudu kecil belacan
10 tangkai cili padi merah
10 tangkai cili padi hijau

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan ketepikan.

Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan tumbuk sehingga terbit minyak.



Masukkan sos ikan, kiub ikan bilis dan gula. Kacau rata. Masukkan fish cake dan kacau rata. Masukkan telur dan biarkan seketika sehingga telur separuh masak, baru dikacau.





Masukkan batang kangkung dan kacau rata. Masukkan nasi putih.


Akhir sekali masukkan daun sayur kangkung dan cili padi. Sesuaikan rasa. Jika belum cukup garam, masukkan garam secukup rasa. Tutup api. Nota: ikan bilis, sos ikan dan kiub ikan bilis ada rasa masin, jadi kena rasa masin dulu sebelum dimasukkan garam.  


Kemudian tabur ikan bilis goreng. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.




Add your comment