Khamis, 3 Jun 2021

Nasi Berlauk Kelantan Yang Sedap




Setelah lama tak dapat balik kampung, saya hari ini menyediakan nasi berlauk untuk sarapan pagi. Sehari sebelum saya telah pun merebus ikan dan menyimpannya di dalam bekas dalam peti ais. Saya terpaksa buat begini kerana saya sahaja yang suka makan ikan rebus. Nak bagi tahan lama lah. Kalau tidak, saya biarkan jer dalam periuk dengan dipanaskan setiap hari.

Saya rebus 8 ekor ikan tapi saya masukkan dalam gulai hanya 4 ekor sahaja. Kalau orang berjual nasi brlauk pun, mereka tak masukkan semua sekali. Agak agak dah nak habis, baru mereka masukkan ikan rebus ke dalam kuah gulai. Jadi ikan tak ada lah hancur terkena senduk masa menyeduk lauk atau membungkus nasi berlauk.

Gandingan serasi nasi berlauk ni mudah jer, mesti ada sambal. Bukan sambal belacan biasa tapi sambal nasi berlauk kelantan. Apa yang membezakannya? Haaa mesti ada cili kering di dalamnya. Baru jadi sambal nasi berlauk.

Untuk mendapat aroma dan rasa nasi berlauk seperti di Kelantan yang sedap, nasi dibungkus dimasukkan ikan dan sambal, wallaaa rasa dan aromanya tak sama dengan yang dihidangkan dalam pinggan. Tak caya, boleh cuba. Kalau ada daun pisang, lagi lah wangi tapi kalau tak ada pun, aroma memang berbeza.


Gulai ini memang sedap dan tak cepat muak. Tapi wajib ada ialah sayuran di dalam kuahnya baru terasa kuahnya lebih sedap. Boleh masukkan timun, kacang panjang dan paling sedap kalau ada cili solok Kelantan. Orang Kelantan kata naik bangkit maung cili. Saya pun tak tahu macam mana nak tulis kalau dalam bahasa sini. Hanya orang Kelantan jer tahu bagaimana aromanya.

Hari ini makan sangat berselera, siap menambah nambah lagi. Husband dan anak anak makan nasi lemak. Nanti saya share kan sambal nasi lemak saya hari ini. Selepas memasak dan makan, saya ke taman mencantas daun daun pisang.

Saya memang berazam untuk lebih aktif dan cergas kerana kalau lama tak aktif nanti betis jadi tak kuat dan lemah. Saya kena lawan segala kerisauan yang melanda di saat wabak dan pandemik Covid 19 yang menggila sekarang ini. Memang boleh hancur dan pupus jika ramai yang tidak mengambil endah bab bahaya covid 19 ni.

Lagi saya risau orang kampung saya yang mungkin tidak terdedah maklumat atau info akan bahaya Covid ni. Mereka tiada handphone, tiada televisyen dsb. Inilah puak puak yang satu keluarga dijangkiti virus covid dan kemudiannya menjangkitkan pula pada orang lain dengan keluar ke sana sini dek kejahilan.

Jom layan resipi yang saya gunakan hari ini dan cara penyediaannya. Selamat mencuba.



Gulai Kuning Kunyit Lengkuas

Bahan bahan:
3-4 ekor ikan pelaling rebus
¼ kg santan segar
1 keping asam keping
Garam kasar
Gula
Serbuk perasa - opsyenal

Bahan kisar:
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
½ sudu besar cili kering kisar - untuk kuah kemerahan sahaja
1 ½ inci lengkuas
1 ½ inci kunyit hidup

Bahan hiasan:
Timun/kacang panjang
Lada hijau - lada solok lagi sedap
Cili padi – jika suka

Cara cara;
Ikan direbus (8 ekor) dengan 5 keping asam, 1 sudu besar garam dan sedikit cuka dengan air sekadar tenggelam ikan. Rebus sehingga air hampir kering. Ikan rebus mesti menpunyai rasa masam dan masin, baru lebih sedap.

Masak santan dan bahan kisar sehingga mendidih. Nota: boleh cairkan separuh santan dengan memasukkan air.

Perlu selalu dikacau bagi mengelakkan santan berketul atau di rumah kami, dipanggil gulai "beku".

Setelah mendidih, masukkan cili, timun, asam keping, garam dan gula. Biarkan mendidih lagi, masukkan ikan rebus.

Akhir sekali masukkan baki santan pekat dan kacau sehingga masak atas perlahan sehingga kelihatan sedikit terbit minyak di permukaan atas.


Nota;
Ikan rebus boleh dimasukkan bila nak dimakan supaya ianya tidak hancur seperti mana orang berniaga nasi berlauk.



Sambal Nasi Berlauk Kelantan

Bahan bahan:
3 tangkai cili kering - potong dan rebus
4-5 biji cili padi - potong kecil
1 biji buah limau nipis - perahan jus
1 - 1 ½ sudu besar gula
¼ sudu besar garam
¼ sudu besar belacan

Satukan semua bahan ke dalam blender dan kisar secara 'pulse' supaya ianya tidak terlalu hancur.

Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan. Garam bergantung kepada belacan. Ada belacan yang masin, perlu kurangkan garam.


Boleh simpan dalam peti ais dan tahan untuk sebulan.




1 ulasan

  1. salam kak azie, typo tu kacang panjang bukan kacang tanah,,

    Salam dari org kampung :)

    BalasPadam

Add your comment