Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Asam Pedas Ikan Kari Yang Sangat Sedap



Hari ini adalah hari lahir cucunda saya Nur Hana Medina yang ke2 tahun. Sedih hati melihat gambar  mereka tiga beranak menyanyikan Happy Birthday dan memotong kek. Ya lah dalam lock down. Siapa pun tidak dapat menjangka yang kita berada dalam pandemik Covid 19 yang lama. 

Sehingga kita semua hidup dalam kebiasaan yang baru. Tidak lagi bersalaman, tidak lagi berdekatan, kena sentiasa memakai pelitup separuh muka. Banyak perubahan pada kebiasaan kita sebelum ini. 

Apa pun, pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Setiap manusia tidak akan lepas dari diuji, melainkan kebaikan semuanya. Hatta tecucuk duri sekali pun, kita akan diberikan pahala seandainya kita bersabar. 

OK lah setakat ini dahulu, meh kita masuk bab resepi pula. Sebelum itu, jangan lupa klik iklan di blog saya ini dan klik follow blog untuk mendapat notifikasi setiap kali ada entri baharu. 

Saya pun tak tahu asam pedas versi mana yang saya masak hari ini tapi yang saya tahu saya masak versi saya sendiri. Saya suka aroma daun limau purut, saya masukkan. 

Saya suka aroma daun kesum, masukkan juga. Suka serai, masukkan sekali. Tapi hasilnya meletop sedapnya. Sampai saya rasa macam best ever asam pedas yang pernah saya makan. 

Pergi Melaka pun, susah juga nak jumpa asam pedas yang sedap walaupun asam pedas sangat terkenal di Melaka. Saya rasa kalau makan di rumah kawan kawan di Melaka, mesti sedap berbanding dengan masakan asam pedas di restoran. 


Untuk menyediakan asam pedas sebenarnya tidak susah, kena jaga api supaya bahan yang ditumis tidak hangus, masak sempurna. selepas dimasukkan air, air asam jawa, renihkan lama lama supaya semuanya sedap dan mesra. 

Cili perlu benar benar masak supaya tak rasa mentah. Saya memang guna cili kering kisar yang direbus dan selepas dikisar, dimasak atas api perlahan lahan sehingga airnya kering. Jadi proses memasak masakan bersambal saya agak cepat dari biasa.

Ikan pula mestilah menggunakan ikan pari yang segar, barulah sedap dan manis ikan tu. Macam mana nak tahu ikan pari segar? Haa tengok badannya masih berlendir lendir dan kemerahan. 

Saya kalau makan ikan pari, memang suka bahagian kulit hitam tu. Serious suka sangat. Janganlah nak disiatkan masa siang nya.  

Jom layan resepi yang saya gunakan hari dan cara penyediaannya. Selamat mencuba... 



Asam Pedas Ikan Pari 

Bahan bahan:
500 gram ikan pari - 6 ketul
4 ulas bawang putih - ketuk
¼ sudu besar belacan (belacan Tanjong Po) 
25 gram asam jawa - bancuh dengan 1 mangkuk air
½ sudu besar garam atau secukup rasa
½ cawan minyak masak
3 batang serai - ketuk
5 helai daun limau purut
Sedikit daun kesum
3 sudu besar cili kering kisar
Kacang bendi

Bahan kisar:
6 biji Bawang merah - saiz besar
2 biji buah keras

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan sedikit belacan sehingga naik bau. Nota: Minyak kena betul betul panas dan banyak. 

Masukkan serai dan daun limau purut. Kacau rata.

Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Ulang proses terbit minyak ini beberapa kali bagi memastikan cili benar benar masak.


Masukkan air asam jawa dan garam. Masukkan ikan dan kacau rata. Nota: kalau ikan mudah hancur, masukkan selepas kuah mendidih.



Tuang air sedikit demi sedikit mengikut kepekatan kuah yang disukai. Perlahankan api dan renih lama lama. 

Masukkan daun kesum dan kacang bendi. Sesuaikan rasa asam dan garam.

Kacau sehingga kacang bendi hampir lembut, tutup api.


Nota:
Kena masak renih lama lama, baru bertambah sedap.

Sebaiknya guna jenis cili kering kisar yang jenis pedas (kerinting) dan jenis tidak pedas (berkilat).


Catat Ulasan for "Asam Pedas Ikan Kari Yang Sangat Sedap"