Sabtu, 8 Mei 2021

Sambal Tumis Udang Azie Kitchen



Ramadhan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Memang terasa sangat sedih kerana Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Namun kena gagahkan kerana kita masih berpeluang untuk mendapat malam Lailatul Qadr yang merupakan raja segala hari.  

Segala amalan yang kita buat pada malam tersebut mendapat ganjaran pahala yang melebihi 1000 bulan atau 83 tahun. Sedangkan umur kita sendiri pun belum tentu dapat mencapai umur 83 tahun. Ini adalah anugerah yang Allah kurniakan untuk umat Rasulullah yang merupakan Nabi akhir zaman.

Insya Allah malam ini malam ke 27 Ramadhan. Teringat semasa menunaikan umrah beberapa tahun lepas. Saya tidak balik ke hotel tapi saya keluar dari masjid untuk ke tandas. Sebaik hendak menaiki escalator saya meilihat polis telah menghalang jemaah dari memasukinya. 

Saya berdoa supaya dipermudahkan, maklum bukan mudah kerana kita tidak pandai berbahasa Arab kan. Macam mana nak beritahu yang barang barang kita ada di dalam masjid. Itu lah kenangan malam ke 27 di Masjidil Haram.

Ada satu lagi pula, kenangan yang sangat menyedihkan kerana mahu mendapat tempat solat yang lebih selesa, akhirnya saya dan seorang jemaah dari Indonesia tercampak ke ruang solat di roof top. 

Asalnya kami mahu berpindah ke ruang solat lain untuk tempat yang lebih selesa kerana mak arab ni kalau ambil wudhu di tempat solat sehingga membasahi carpet dan berbau hapak. Tapi malam ke27, memang susah nak cari keselesaan kerana malam itu, bukan kita sahaja, tapi semua orang lain juga mencari lailatul qadr.  OK setakat ini dahulu..



Hari ini saya ingin kongsikan resipi Sambal Tumis Udang versi saya sendiri. Versi original yang tak dimasukkan sos cili. Haa gambar nampak kering tapi saya memang suka sambal seperti ini, tidak basah dan tidak kering. Tengok gambar akhir yang dalam kuali. Kira ngam lah tu.  

Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa klik follow blog untuk dapat notifikasi update terbaharu tau. Selamat mencuba.... 




Sambal Tumis Udang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
700 gram udang
5 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar gula
1 sudu besar gula perang
1 sudu kecil garam halus
1 sudu kecil pes asam jawa
1 ½ cawan minyak

Bahan kisar:
4 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
½ sudu kecil belacan - tak letak

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang sehingga hampir masak. Angkat dan ketepikan.


Menggunakan minyak yang sama, tumis cili kering kisar sehingga terbit minyak.


Masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga garing dan terbit minyak.

Setelah terbit minyak, masukkan garam dan air asam jawa. Kacau rata. Masukkan gula dan gula perang.

Kemudian masukkan udang. Kacau rata. Bolehlah ditutup api.



Nota:
Jika suka, boleh masukkan bawang besar hiris dan masak sehingga bawang layu sebelum ditutup api.



Add your comment