Khamis, 20 Mei 2021

A Keeper Recipe Lontong dan Kuah lodeh



Saya belajar resipi dari Puan Yati, kawan yang sama dengan resipi soto ayam di SINI pada tahun 1990. Saya memang ingat kerana ketika itu, saya sedang sarat mengandungkan anak yang kedua bila saya bersama beberapa rakan sepejabat lain ke rumah mereka untuk makan tengahari.  

Beliau memang pandai memasak terutama masakan Johor kerana memang orang Johor. Sahabat saya belajar laksa Johor dan nasi beriyani gam tapi saya tak pula berminat nak belajar resipi ini pada masa itu. 


Sejak itu, saya sering memasak kuah lodeh menggunakan resipi ini untuk majlis rumah terbuka di rumah saya atau untuk hidangan hari raya kami. 

Ada juga saya cuba resipi kuah lodeh yang lain tapi saya lebih suka resipi ini. Resipinya sangat mudah tapi rasanya sangat sedap. Jadi ianya adalah a keeper recipe untuk kuah lodeh saya sampai bila bila. 


Saya cuma pelbagaikan bahan dan sayuran yang digunakan sahaja. Bahan asas resipi adalah sama. Pada saya, resipi ini akan kekal selamanya sebagai resipi utama yang saya gunakan untuk kuah lodeh. 

Kali ini saya gandingkan dengan sambal kacang yang juga resipi asal Puan Yati. Selain sambal kacang, boleh juga dimakan dengan sambal sotong kembang di SINI atau sambal kacang di SINI. Semua pun sedap.  

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....



Lontong Nur Qaseh
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan: 
¼ biji kubis
¼ biji sengkuang - potong panjang - tak letak
1 batang karot - potong panjang
6 batang kacang panjang
2 biji terung panjang
1 biji kentang - potong 8 - tak letak
2 keping fucuk - rendam dan potong kecil - tak letak
1 ikat soo hoon - rendam dan potong kecil - tak letak
1 keping tempe - potong dadu besar dan goreng 
2 keping tauhu - potong kecil dan goreng
2 biji cili merah - hiris
2 batang serai - ketuk
1 cawan udang hidup
600 ml santan segar pekat
100 ml santan kotak 
½ sudu besar garam 
½ sudu besar serbuk kunyit

Bahan kisar:
8 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup
2 sudu besar udang kering - rendam dan tos

Cara cara:
Masak bahan kisar dan serai bersama air sehingga mendidih supaya bahan kisar masak sepenuhnya.

Tambahkan 1 liter air atau secukupnya ke dalam kuali dan biarkan sehingga ianya mendidih lagi.

Masukkan semua bahan dan sayur yang jenis keras sehingga sayur yang lembut.



Masukkan santan dan kacau rata supaya ianya tidak berketul. Masukkan pula udang serta sedikit serbuk kunyit bagi mencantikkan warna. Nota: Boleh tambah air jika kuah terlebih pekat atau tambah santan kotak, jika terlebih cair.  


Akhir sekali masukkan cili merah, tauhu dan tempe yang digoreng. Masukkan garam dan sesuaikan rasa dan kepekatan. Terus dikacau kuahnya selepas beberapa minit api ditutup.



Sambal Kacang
50 gram kacang tanah - goreng tanpa minyak
2 Sudu besar cili kisar
2 sudu besar gula 
1/4 sudu besar garam 
4-5 sudu besar minyak

Panaskan minyak dan tumis cili sehingga benar benar masak dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis lagi berulang kali supaya ianya benar benar masak. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Akhir sekali, masukkan kacang tanah yang telah ditumbuk. 



Petua supaya lontong tahan lama dan tidak mudah basi seperti berikut:

1. Masak Waktu Pagi
Menurut chef, jangan sesekali masak kuah lodeh di malam hari sebaliknya masaklah ketika waktu subuh atau waktu pagi raya. Cara menyediakan mudah sahaja dan tidak memerlukan masa yang lama. Apa yang anda perlu lakukan adalah memotong kesemua sayuran di waktu malam hari. Ini membantu lebih cepat proses memasak pada keesokkan harinya.

2. Didih Sayur Sahaja
Bagi memastikan kuah lodeh mampu bertahan lama, apa yang anda boleh lakukan adalah hanya mendidihkan air dengan bahan kisaran seperti bawang, cili padi, kunyit hidup, udang kering dan bahan-bahan lain sahaja tanpa santan. Buat stok ini, didih dan perasakan secukupnya.

3. Biarkan Reneh Lama
Ketika mendidihkan kuahnya, biarkan ia direneh sedikit lama sebelum dimasukkan kesemua sayuran lain. Ini bagi memastikan bahan kisaran dimasak dengan tepat. Kemudian barulah dimasukkan kesemua bahan-bahan lain seperti tempe, kacang panjang, kentang, lobak merah, tauhu, terung, tauhu kering, kobis dan sebagainya mengikut citarasa anda.

4. Asingkan Santan
Sebaik tetamu datang, didihkan semula bahan stok kisar bersama sedikit santan yang sudah diasingkan dalam periuk berasingan. Masak semula kesemua bahan ini mengikut jumlah tetamu yang datang. Perasakan secukupnya dan bolehlah dihidangkan. Cara ini bukan sahaja tidak cepat basi tetapi lebih segar rasanya untuk dihidangkan kepada tetamu.

5. Sambal & Kuah Kacang
Sambal dan kuah kacang bolehlah dimasak pada malam raya kerana ia tidak menggunakan santan dan tidak cepat basi. Namun bolehlah menumis sambal lebih lama supaya cili lebih enak dan tahan lama. Pastikan sambal dan kuah kacang cukup lengkap rasanya.


Add your comment