Khamis, 11 Februari 2021

Lontong Dan Kuah Lodeh Azie Kitchen



Assalamualaikum dan Selamat pagi semua. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat. Aameen. Ramai orang terkesan dengan PKP yang panjang ini. Saya pun terkesan juga kerana terasa sangat kebosanan. Tak dapat untuk menghadiri kuliah agama dan sebagainya.

Ramadhan pun tak lama lagi, jadi kita dah boleh mula mengaji walaupun sebelum ini kita harus mengaji setiap hari. Saya terfikir semasa masih bekerja, kita menunggu setiap 25 haribulan untuk menerima gaji dan menunggu tarikh persaraan. 

Tapi setelah bersara, apa yang ditunggu lagi. Tidak lagi menunggu gaji kerana saya tiada pencen seperti mana orang yang bersara dengan berpencen. Hmm yang ditunggu ialah hari untuk mengadap Allah. 

Kematian memang tidak mengenal usia tua muda tapi kalau dah bersara tu, apa lagi yang nak dikejar dalam hidup ini kan?  Sementara masih bernyawa, kena sentiasa berbuat kebaikan dan mencari keredhaan Allah dalam apa jua cara yang termampu. OK hari ini saya nak kongsikan resepi Kuah Lodeh. 

Masih guna resepi sama dengan resepi saya selama ini di SINI. Cuma yang berbeza kali ini, ianya ditumis terlebih dahulu jika tak mahu tumis, boleh terus masak bahan kisar dengan air sehingga masak renih sehingga betul betul masak sebelum dimasukkan sayuran dan bila lembut, masukkan santan. Yang lain tu sama jer masukkan bahan yang digoreng, cili merah untuk menambahkan warna 


Saya pernah makan kuah lodeh sedap di rumah terbuka jiran kami yang buat saya teringat sehingga kini Saya tengok dimasukkan petai dan daun limau purut saya tak masukkan petai kerana ada orang tak suka makan petai.

Masakan ini sesuai untuk dimasak di pagi hari raya kerana ianya boleh disediakan awal cuma rancang apa yang perlu dibuat dahulu supaya di pagi raya, kita tidak lah tergesa gesa 

Entah kenapa tiba tiba teringin nak makan lontong dan kuah lodeh tang sedap dah lama sebenarnya tapi bukan senang nak cari kuah lodeh masa sarapan kalau ada pun, tak sedap tak cukup lemak dan bahan bahan sayuran pun tidak banyak.

Kalau nak makan sedap, memang kena masak sendiri. Barulah ianya kena dengan tekak dan selera kita. Jom kita layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...



Lontong Dan Kuah Lodeh Azie Kitchen

Bahan bahan:
¼ biji kubis - potong halus
¼ biji sengkuang - potong panjang - opsyenal
1 batang karot - potong panjang
6 batang kacang panjang
2 biji terung panjang 
1 biji kentang - potong 8 - opsyenal
2 keping sayur fucuk - potong kecil dan rendam semalaman
2 batang serai - ketuk
1 cawan udang hidup 
2 santan kotak 
Garam secukup rasa
Serbuk kunyit

Bahan B:
1 ikat soo hoon - rendam semalaman
1 keping tempe - potong nipis dan goreng
2 keping tauhu - potong 8 dan goreng
2 batang cili merah - hiris

Bahan kisar:
8 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup
2 sudu besar udang kering - rendam dan tos


Bahan Lain:
Nasi impit
Sambal kacang/sambal ikan bilis
Telur rebus - belah 2

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga kekuningan dan naik bau. 


Masukkan semua sayur-sayuran kecuali suhun, pucuk, tempe dan tauhu. Tumis sehingga sayur sedikit layu. 


Tambahkan air secukupnya. Setelah mendidih, masukkan udang dan pucuk kacau rata. Masukkan santan pekat nengikut kepekatan kuah yang disukai. Jika pekat, boleh tambah air. Masak sehingga mendidih. 



Akhir sekali, masukkan suuhun, tempe, tauhu dan cili merah. Masak hingga dua-dua ni empuk. Masukkan garam secukup rasa. 



Sedia untuk dihidangkan dengan nasi impit, sambal kacang/sambal ikan bilis dan telur rebus.

Nota:
Resepi ini tidak ditumis tapi kali ini saya tumis bahan kisar terlebih dahulu. 



Add your comment