Ahad, 31 Januari 2021

Sambal Sotong Kembang Sebagai Lauk Nasi Lemak



Sebelum kita mula, jangan lupa klik iklan yang keluar di blog saya dulu. Alhamdulillah sejak bersara, saya memutuskan untuk menerima tawaran dari beberapa syarikat Televisyen untuk muncul dalam program terbitan mereka. 

Sebenarnya sejak dulu juga saya banyak menerima tawaran dari penerbit rancangan TV dan juga youtube tetapi semua saya terpaksa menolak kerana saya masih bekerja. Saya mahu menjaga penampilan saya selaras dengan tugas professional saya sebagai pegawai bank pusat.  

Namun begitu, saya tidak akan menerima sebarang tawaran dan akan menolak mana mana tawaran yang tidak sesuai dengan saya atau yang saya rasa tidak mampu melakukanya dengan terbaik. Saya mahu kemunculan yang terpilih sahaja. Kemunculan yang memberi manafaat kepada semua pihak. 

Tidak dapat dinafikan seperti kata Fahrin Ahmad dalam program Wanita Hari Ini TV3, kemunculan ramai Instafamous masakan yang bermula dengan memasak, merakam dan share dalam Instagram sehingga diikuti oleh ramai follower. Anak anak muda  juga berlumba lumba membuat video masakan yang berbagai gaya dan cara. 

Alhamdulillah satu perubahan yang baik di mana tiada lagi orang yang berahsia tentang resepi. Mahu disimpan untuk keluarga sendiri sahaja. Saya pernah menawar untuk membayar resepi membuat pencicah keropok. Namun mereka tidak mahu berkongsi. Tetapi itu hak mereka. Kita perlu menghormatinya. 


Buat saya sendiri, saya akan tetap dengan cara saya. Video dengan cara saya, tak sesuai untuk terikut ikut dengan cara orang lain. Saya menpunyai imej dan penampilan saya tersendiri. Saya tak perlu menonjolkan diri sehingga saya menjadi seorang yang lain. Itu lah ketetapan saya, cuma saya akan cuba memperbaiki dan memperelokkan lagi blog dan youtube saya. 

Anak saya Juita berpesan, mama jangan lah panjang sangat menulis, terus jer pada resepi. Jawapan saya, kan mereka boleh skip untuk terus ke resepi jika tidak ingin membaca apa yang ditulis. Haa anak saya pun tak senang membaca mereka yang komen mengenai perkara ini. Ya lah apa yang nak dikecohkan, ada opsyen untuk terus ke resepi. Tak ada masalah pun. 


Jadi jom kita masuk sedikit bab resepi sambal tumis sotong kembang. Sotong ini pada saya, memang tak sedap. Itu pada tekak saya lah. Isinya tawar dan rasa macam getah pula. Tapi jika dimasak sambal yang sedap, akan menghasilkan lauk sambal tumis sotong kembang yang sedap. Betul tak? 

Itu yang tiba tiba bila nampak ada 2 ekor sotong kembang di Jaya Grocer, saya terus beli. Tak lah besar sangat tapi harga bolehlah tahan. Kalau tak silap, RM22 untuk 2 ekor yang beratnya dalam 480 gram sahaja.  Tapi berbaloi baloi kerana terasa sedap sangat sambal sotong kembang hari ini sehingga Alain menanya kalau ada lebih, untuk dibawa balik pada Nana.   

Nak tahu macam mana nak buat sambal yang sedap, jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Tak perlu direbus terlebih dahulu, tak perlu direndam rendam pun. Elok jer lembutnya. Jangan lupa untuk follow blog dan subscribe Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Sambal Tumis Sotong Kembang

Bahan bahan:
3 ekor sotong kembang - 750 gram
5 sudu besar cili kering kisar - boleh tambah
1 helai daun pandan
2-3 keping asam keping
1 keping gula Melaka - 90 gram
I sudu besar gula atau secukupnya
Sedikit kicap manis - opsyenal
1 sudu besar sos cili - opsyenal
1 sudu besar garam
¾ cawan minyak masak

Bahan Hiris:
1 biji bawang besar - hiris
7 ulas bawang putih - hiris

Bahan Kisar:
8 biji bawang merah 
½ inci halia

Cara cara;
Panaskan minyak dan tumis bawang bawang hiris sehingga wangi. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga terbit minyak. 


Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili garing sehingga hilang bau cili dan terbit minyak. 

Masukkan gula Melaka dan terus masukkan sotong kembang. Kacau rata dan masukkan 1 liter air dan biarkan masak dengan api sederhana sehingga sotong lembut. 


Masukkan asam keping dan daun pandan. Masak lagi sehingga air sotong kering dan sambal terbit minyak. 

Akhir sekali, masukkan sos cili, gula pasir dan garam. Kacau rata dan sedia untuk ditutup api. 


Nota;
Tak perlu rebus atau rendam sotong terlebih dahulu. 

Jika suka, boleh letak segenggam kacang tanah tumbuk dan segenggam ikan bilis sebab sotong ini tawar. 

Kuantiti sambal ini sesuai untuk 3 ekor sotong kembang.


1 ulasan

  1. Betul, kalau tak berminat utk membaca, boleh terus ke resipi, tapi sya suka cara puan, kadNg2 ada tazkirah utk renungan. Terima kasih.

    BalasPadam

Add your comment