Khamis, 7 Januari 2021

Percutian Singkat Ke Johor Bahru Akhir Tahun 2020



Sehari sebelum cuti hari Krismas kami bercuti ke Johor Bahru. Yang ikut hanyalah Nana dan keluarga serta Aween sahaja. Yang lain tak nak ikut. Percutian singkat ini sebenarnya untuk berehat rehat. 

Oleh kerana kami bertolak dari rumah agak awal, jadi hampir waktu makan tengahari kami telah berada di Melaka. Jadi apa lagi, kami singgah dulu makan nasi berlaukkan asam pedas di Asam Pedas Hajah Rahmah. Pada saya, makan di sini sedap lah juga cuma kata Hubby, harga makanannya dah terlebih mahal. Tidak seperti dulu dulu.  


Kami menginap di Golf Hotel di Forest City. Kata Hubby, untuk cari kelainan. Kedudukan hotel ini agak jauh ke dalam. Waktu malam, tidak banyak lampu jalan dengan kiri kanan penuh dengan hutan pokok bakau. Oleh kerana masih Covid, kolam renang masih ditutup. Jadi tak dapatlah Ammar Yahya mandi di kolam renang. 


Selepas check in, kami berehat seketika sebelum keluar untuk makan malam di Mana Cafe di Puteri Harbour. Makan ringkas ringkas jer tapi kenyang sangat sangat. Yang pasti bila ke sini, kami akan order Mantau goreng yang dicicah dengan kuah kari. 

Hari kedua, selepas bersarapan ringkas kami keluar dengan Haji Khairi dan Puan Mai zatul untuk melihat tempat pendaratan ikan di Jeti Kampung Pendas Laut. Semasa dalam perjalanan ke sana, kami melalui kawasan di mana kapal terbang terhempas di Tanjung Kupang tahun 1976. 


Seronok tengok ikan segar segar dengan ketam dan siput yang masih bergerak gerak. Aduhaai teringin nak beli bawa balik tapi apakan daya kerana kami belum lagi mahu balik ke KL. 



Di situ juga ada orang orang kampung menjual pelbagai sayuran kampung dan buah buahan. Saya beli buah salak madu. Hmm memang sedap sangat. Makan tak berhenti henti sehingga habis. 

Puan Mai pula beli satar yang sangat sedap dengan rasa ikan segar yang manis. Sampai ke hari ini, teringat ingat keenakannya.



Selepas hampir 1 jam meronda ronda di sini, kami kemudian beredar mencari gerai untuk minum. Singgah di gerai Roti Canai Maman. Makan roti canai dicicah dengan asam pedas kepala ikan sembilang yang sangat sedap. 

Kesedapannya buat saya teringat ingat sehingga ke hari ini. Ya lah masakan orang kampung yang dimasak untuk sedap lainlah hasilnya dengan masakan untuk keuntungan. 



Kami balik ke hotel dan bersiap siap untuk check out kerana malam kedua kami akan menginap di Hotel Thistle di Johor Bahru. Selepas check out, kami terus ke JPO. Seperti biasa bila di sini, saya jarang membeli pakaian untuk diri sendiri. Dah masuk cuba pun, saya tak jadi beli. Beratur agak panjang untuk masuk ke kedai Levis. Tapi berbaloi kerana harga agak murah selepas diberikan diskaun. Saya belanja Hubby, Nana dan Alain di kedai Levis. 

Selepas itu, kami hanya masuk di kedai yang tidak ramai orang sahaja. Senang kerana tak perlu beratur. Hubby membeli baju di Brooks Brothers yang merupakan antara kedai yang mesti kami singgah setiap kali ke sini. Ingat nak beli kemeja untuk Juita pakai ke pejabat tapi risau juga jika tak muat saiz. Dah beli mahal mahal dan kalau tak muat, sayang dan membazir lah pulak. 

Selepas penat berjalan saya dan Aween singgah minum di kedai coklat Godiva sambil membeli coklat untuk dibawa balik. Selepas keluar dari JPO kami mencari nasi Ambeng di The Dulang Kafe. Ini adalah kali kedua kami ke sini. Yang pertama dulu bersama geng alumni di SINI

Selepas itu, kami terus ke hotel untuk check in. Selepas solat Maghrib kami ke Restoran Todak (orang asli) di Masai untuk makan malam. Nana yang mencadangkan di sini. Masakan mereka sedap sedap tapi sebab dah kekenyangan, saya makan sedikit sahaja. Balik terus berehat. 


Pagi pagi hari ketiga, kami terus check out dari hotel dan keluar mencari sarapan. Destinasi kami adalah Restoran Sup Tulang ZZ yang menjual mee rebus tulang. Dah lama tak ke sini, jadi saya memesan mee rebus tulang. 

Sedap sangat mee rebusnya. Agaknya sebab dah lama tak makan mee rebus di Johor. Makan mee rebus Johor di Kota Damansara tak sama rasanya dengan asli di Johor. Tengok warna pun dah nampak perbezaannya.


Selepas makan kami terus balik kerana tidak mahu kesesakan jalan raya. Lagi pula Nana mahu ke rumah mertua di Putra Jaya. Sebelum balik, kami singgah solat di R&R Dengkil sambil mahu singgah makan sate kajang di situ. 

Selepas makan, terus balik ke rumah. Alhamdulillah tamat percutian kami ke Johor Bahru bersama anak anak dan cucu. Pendek tapi menyeronokkan. 



Add your comment