Selasa, 3 November 2020

Sambal Belacan


Bila setiap kali masuk IG Fasha Sanda mesti dapat tengok beliau memasak lauk yang sama jer. Namun begitu, setiap kali tengok pasti rasa terliur sebab nampak sedap sangat. Yang wajib ada ialah sambal belacan. Lauk lain yang wajib juga ialah ikan temenung goreng. 

Selain itu, ada sayur goreng bayam dengan karot dan kentang. Sekali sekala, ada sup ayam dengan kentang dan ayam masak kicap. Betul betul lauk kampung tapi nampak sangat menyelerakan. 

Di rumah saya pula jarang dibuat sambal belacan kerana saya tidak rajin, sebabnya kerana saya allergi dengan belacan. Kedua suami dan anak anak pun tak berapa suka sambal belacan. Kalau buat, memang saya seorang jer yang makan.

Sambal belacan kalau pada selera saya, mesti digandingkan dengan lauk lemak, kari ke, gulai ke atau masak lemak putih ke. Jarang saya gandingkan sambal belacan dengan lauk kuah air. Tapi citarasa masing masing kan.


Memasak lauk kampung ni, bukan mudah juga. Perlukan praktis. hatta nak goreng ikan supaya sedap dan tak melekat, garing di luar tapi masih lembut di dalam pun, ada caranya, Saya pun belajar juga. Bukan terus terus pandai kerana saya di bangku sekolah, tidaklah rajin ke dapur. 

Arwah bonda tak kisah pun jika saya tidak pandai memasak kerana dia tahu satu hari pasti kita akan ke dapur juga. Yang penting mesti belajar rajin rajin, masuk universiti dan keluar bekerja dengan gaji besar. Itu yang selalu saya dengar. Arwah mak saudara yang selalu perli tak pandai memasak, siapa yang nak. Saya akan jawab, kawin dengan orang kaya. Hahaha. 

Nak goreng ikan mesti panaskan kuali dulu dan masukkan minyak. Pastu pastikan minyak dah betul betul panas, baru masukkan ikan. Jangan lama sangat nanti ikan kering pula isinya. 

Begitu juga sambal belacan, kena belajar untuk menyediakan sambal belacan yang sedap. ketika baru baru berkahwin, saya selalu tengok arwah sepupu belah suami menumbuk sambal belacan. Kena guna belacan yang sedap. Lepas tu, tumbuk dulu cili merah, belacan dan sedikit garam. 

Lepas tu baru masuk cili hijau. Jadi nampak lah hijau hijau dalam sambal tu. jangan tumbuk hancur sangat. Akhir sekali masukkan air asam jawa pekat dan perah limau. Jangan lupa gula. Tapi tak lama pun belajar, arwah sakit dan meninggal. Arwah memang pandai memasak. 

Jom layan cara saya menyediakan sambal belacan hari ini. Guna belacan sedap yang dibuat dan dijemur di tengah laut. Guna sudu jer nak ambil belacan ni. Video juga ada di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Sambal Belacan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 tangkai cili merah
5-7 tangkai cili padi hijau - ikut pedas disukai
½ sudu kecil belacan
½ sudu kecil pes asam jawa
½ sudu besar gula
Garam - jika perlu
1 biji limau kasturi

Cara cara:
Cili dipotong kecil dan tumbuk. Jangan terlalu halus. Masukkan belacan dan tumbuk lagi. 

Masukkan cili hijau dan tumbuk kasar. Masukkan pes asam jawa, gula dan tumbuk bagi sebati. 

Akhir sekali, perah jus limau kasturi. Sesuaikan rasa masin, masam dan manis. Sedia untuk dihidangkan.




Add your comment