Ahad, 15 November 2020

Ikan Terubuk Bakar dan Sambal Kicap



Setelah beberapa bulan bersara ni, saya masih dengan kesibukan dengan aktiviti harian. Kadang kadang tanpa sedar, masa berlalu pantas. Tengok tengok dah malam. Memasak untuk blog ni pun memakan masa juga, kadang kadang sehingga setengah hari. Tidak sama dengan memasak untuk hidangan makan famili biasa. Perlu mengambil gambar, perlu edit dsb. Memang memakan masa yang panjang.

Apa yang saya buat hari ini adalah kerana minat saya. Juga kerana saya mahu mendapat manafaat perkongsian ilmu masakan. Lagi pula, saya tidak mahu lah bersara dengan duduk sahaja di depan TV, tanpa banyak menggunakan fikiran. Kita kena sentiasa berfikir supaya tidak datang masalah lupa atau malas berfikir. 

Bila dah bersara, apa yang saya fikirkan ialah tentang masa depan anak anak.  Pekerjaan dan kerjaya anak anak. Saya sendiri telah bekerja lebih 30 tahun dan telah cukuplah duit untuk kegunaan diri sendiri masa bersara. Jadi apa yang saya buat ialah untuk melihat anak anak berjaya. 

Juita sekarang baru mahu membina kerjaya setelah menamatkan pengajian ijazah dalam bidang ekonomi di University of Manchester. Di samping itu, beliau juga minat memasak dan baking. Jadi saya memberi sokongan dan minta beliau terus melakukannya sebagai hobi di samping mendapat sedikit side income. 

Orang perempuan perlu menpunyai kerjaya yang stabil. Setelah itu, barulah boleh membuat pilihan samada ingin bekerja makan gaji atau bekerja sendiri. Bekerja terutama di organisasi besar akan mengajar kita cara pengurusan dan kepimpinan, strategi dan cara kita berfikir di kala menghadapi masalah serta cara bekerja dalam kumpulan

Itu lah nilai nilai yang saya pelajari selama bekerja di bank pusat. Saya sangat bangga menjadi sebahagian dari kumpulan bank pusat di mana berpeluang untuk menerajui projek di peringkat nasional, iaitu mekanisme penggenapan harga untuk duit syiling 1 sen pada tahun 2008. 

Buat diri saya sendiri sekarang ini, saya hanya ingin memulakan pembelajaran tafsir Al Quran yang sebelum ini saya tidak berpeluang untuk melakukannya secara serious. Doakan agar saya diberikan kemudahan untuk melakukannya. OK cukup setakat ini dahulu, sekarang kita sentuh pula bab masakan iaitu ikan terubuk bakar dengan sambal kicap.  


Memang susah untuk mendapatkan ikan terubuk bersaiz besar dan bertelur. Ikan yang saya order hari ini, berat 1.6 kg ni berharga hampir RM200. Tapi serious saiznya memang besar dan gemuk. Ikan terubuk bertelur ni pun bermusim. Jadi sementara tengah musim ni, saya order lah. 

Separuh dibakar dan separuh lagi digoreng. Kedua duanya sedap. Cuma bila digoreng, tak perlulah cicah dengan sambal kicap. Yang penting jangan terlebih masak supaya ikan masih juicy. 

Jom layan resepi di bawah ini. Jangan lupa subscribe Azie Kitchen Youtube Channel di SINI untuk video penyediannya.  Selamat mencuba...



Ikan Terubuk Bakar dan Sambal Kicap
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
½ ekor ikan terubuk
1 sudu kecil serbuk kunyit
½ sudu kecil garam

Sambal kicap:
1/3 cawan kicap manis
2 sudu besar sos ikan
3 biji limau kasturi - ambil jus
½ biji bawang besar - dadu
2 ulas bawang putih - cincang halus
4 biji cili padi - hiris halus
1 biji cili merah - hiris

Cara cara:
Ikan dibersihkan dan tak perlu buang sisik. Lumur dengan garam dan serbuk kunyit. Lapik dengan daun pisang dan bakar dalam kuali ajaib.


Satukan semua bahan untuk sambal kicap. Cicah dengan ikan terubuk bakar.




1 ulasan

Add your comment