Sabtu, 17 Oktober 2020

Rendang Cili Padi Ayam Hutan dan Resepi Berbayar


Sebelum kita masuk bab resepi, saya ingin menanya anda semua? Berapa ramai yang tahu bahawa banyak kelas jarak jauh (PJJ) yang diadakan untuk resepi yang sama atau hampir sama dengan resepi yang dikongsi oleh blogger. 

Kalau ada yang belum tahu, saya kongsikan di sini, bagi 1 resepi untuk PJJ, yuran ialah antara RM80 hingga RM100. Bukan murah murah tau. Saya pernah bayar RM300 untuk satu resepi. Tanpa gambar langkah demi langkah pun. Kalau kelas masakan PJJ ni, biasanya mereka akan bagi resepi dengan cara penyediaannya melalui email dengan gambar langkah demi langkah seperti di blog saya juga.

Tapi bila saya bukukan 101 resepi resepi saya yang memang terbukti sedap dan menjadi dengan harga yang sangat rendah, masih ada yang teragak agak. Beria ia menulis mesej untuk membeli buku tapi bila diberikan harga termasuk pos, terus senyap. Dalam hati saya terfikir, kenapa dia senyap, terasa mahal ke? 

Hahaha saya tak kisah pun sebenarnya kalau ada yang nak buat PJJ atau nak beli resepi PJJ kerana semuanya pencarian rezeki yang halal. Cuma memang betul lah, bila benda percuma, orang tidak hargai. Agaknya saya juga perlu kenakan yuran jika ada yang mahu menyalin resepi di blog ini, baru ramai akan hargai.

Sebagai full time blogger, tahukah anda bahawa sumber pendapatan blogger adalah dari iklan google yang disiarkan di blog. Dari 10 orang yang ditanya, 9 menjawab tidak tahu dan tidak pernah pun klik iklan yang keluar di blog. Hmm itulah yang saya maksudkan bila resepi percuma. Sebetulnya dalam blog saya, ada resepi yang saya bayar untuk mendapatkannya, ada resepi yang susah untuk mendapatkannya. Ada resepi yang memakan masa bertahun tahun untuk mendapatkannya.


Jadi apa kata, jika saya meminta anda yang menyalin resepi di blog saya untuk klik iklan yang keluar sebagai tanda sokongan. Tak perlu bayar pun tak apa. Cukup sekadar klik iklan. OK tak? Walaupun 1 klik bernilai 1-2 sen tapi ianya mampu memberi semangat untuk terus ber blogging. Ramai blogger yang sudah tidak lagi aktif dengan blog. Sekarang kita masuk pula bab resepi pula.

Hari ini saya ingin kongsikan rendang cili padi menggunakan ayam hutan yang diberikan oleh besan kami. Ayam hutan ni daging nya lebih liat kerana kehidupan ayam ini yang sangat aktif dan banyak menggunakan muscle. 

Ayam ini perlu terbang dan berlari untuk mencari makanan dan juga untuk mencari perlindungan dari bahaya. Bukan macam ayam bandar yang kerjanya makan dan minum sahaja. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Sekali sekala saya tukar selera. Masak rendang cili padi ni sedap juga. Pedasnya lain dengan pedas cili kering kisar. Apa apa pun, jangan lupa untuk mencuba. Video akan saya kongsikan di Azie Kitchen Youtube Channel....



Rendang Cili Api Ayam Hutan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
½ ekor ayam hutan
1 kg santan
2-3 sudu besar kerisik 
1-2 helai daun kunyit - hiris
2 batang serai - ketuk
1-2 keping asam keping
Garam

Bahan kisar:
20-30 tangkai cili api 
1 inci lengkuas - tak letak
3 inci kunyit hidup 
3 batang serai

Cara cara:
Masukkan ayam ke dalam kuali, tuang bahan kisar. Masukkan santan. Setelah mendidih, masukkan serai, asam keping, garam dan kerisik. 


Boleh masukkan dalam periuk tekanan selama 25 minit kerana ayam hutan agak keras. 


Bila hampir kering yang disukai, tabur daun kunyit. 



3 ulasan

  1. Selalu juga makan ayam hutan sebab wak bela sendiri.

    BalasPadam
  2. sedapnya kak azie, org ckp ayam jenis lagi bgus kalau kita mkn yer..done klik iklan, haha!

    BalasPadam
  3. Ok saya akan klik iklan sebagai tanda sokongan.. terima kasih dengan resepi yang enak2

    BalasPadam

Add your comment