Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Goreng Raja Permaisuri Agong


Hari ini adalah hari terakhir sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan bermula pukul 12.00 pagi ini 14 Oktober sehingga 27 Oktober 2020. Diharapkan PKPB kali ini akan dapat memutuskan rantaian Covid 19 yang masih tinggi berikutan banyak kes yang dibawa masuk dari Sabah. Kes baharu hari ini 660, antara catatan kes yang tertinggi setakat ini. Aduhai bercuti panjang lagi lah cucunda saya Ammar dari sekolah. 

Kami sempat bertemu dengan sahabat kami Raja Zul di Restoran Marhaba di Publika, kemudian singgah sekejap di The Curve. Kami pergi awal sebab nak mengelakkan dari bertembung dengan orang ramai di restoran tersebut. Tapi sehingga kami balik, hanya kami bertiga sahaja pelanggan di situ. Orang dah mula bersedia untuk menghadapi PKPB agaknya. Agaknya lah kerana saya singgah di kedai runcit, bawang semua dah kehabisan.  

Topik panas yang diperkatakan oleh semua rakyat Malaysia hari ini ialah berita di mana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar telah mengadap ke bawah DYMM Yang Dipertuan Agong bagi menyatakan bahawa beliau mendapat sokongan dan majoriti kukuh dari ahli Parlimen untuk menubuh kerajaan baru. Namun beliau tidak menyerahkan senarai nama ahli parlimen yang dikatakan menyokong beliau tapi sekadar memberikan bilangan sahaja. 

Pastinya isu ini akan terus menjadi topik bualan untuk mengetahui apa kesudahannya. Lebih lebih menimbulkan tandatanya lagi bila YB Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga diperkenankan mengadap pada pukul 2.00 petang hari yang sama. Cuma kita berharap YDP Agong akan menggunakan kebijaksanaan baginda untuk menangani isu ini. 

Hari ini saya ingin kongsikan resepi nasi goreng yang dikongsikan oleh baginda Raja Permaisuri Agong yang sangat mudah tapi nampak macam sangat sedap. Resepi ini dikongsikan di Instagram baginda. 


Bahan yang digunakan sangat ringkas hanya mentega, telur, cili dan garam. Bahan lain pastinya nasi putih dan lebihan ikan atau ayam atau daging goreng. Bahan tabur jika suka ialah bawang goreng dan daun bawang.

Saya sebenarnya telah terlebih menggunakan cili padi, jadi nasi goreng saya agak pedas. Tapi yang pedas ini lah sedap cuma kesian kerana pada anak anak yang tidak boleh makan pedas. 

Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini.  Jangan lupa subscribe, like dan share Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Nasi Goreng Raja Permaisuri Agong
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
650 gram nasi putih
70 gram mentega
3-4 biji telur
1 mangkuk isi ayam goreng/ikan goreng
1 sudu kecil garam

Bahan tumbuk:
8 tangkai cili padi - ikut suka pedas
1 sudu kecil garam

Cara cara:
Panaskan mentega dan tumis bahan tumbuk sehingga agak masak. Masukkan telur dan kacau perlahan lahan ala ala membuat scramble egg. Caranya ialah menolak telur dari tepi ke tengah secara berulang ulang. Jadi telur akan jadi gebu dan berketul besar.  


Masukkan nasi dan lebihan ayam goreng atau ikan goreng. Akhir sekali masukkan garam jika belum terasa garamnya. 


Tabur bawang goreng dan ikan bilis goreng. Sedia untuk dinikmati. 


2 ulasan for "Nasi Goreng Raja Permaisuri Agong"

  1. Salam Kak Azie
    semoga dipermudahkan urusan sepanjang PKPB ini.. nasi goreng tu nampak sedap, tak pedas, tak kick la kannn

    BalasPadam