Rabu, 14 Oktober 2020

Masak Tempoyak Ikan Patin Temerloh Gerenti Jadi



Selamat menjalani perintah kawalan pergerakan bersyarat buat semua warga Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah. Alhamdulillah untuk hari ini, kami makan ringkas sahaja. Semoga kekal tabah dan terus berada di rumah masing masing.

Hari ini saya ingin kongsikan resepi Masak Tempoyak ikan Patin Temerloh Insya Allah gerenti jadi. Resepi ini diajar oleh Puan Faizah jaja yang memang menetap di Temerloh. Beliau telah mencuba dan mengolah sendiri sehingga dapat masakan yang menepati selera beliau. Telah lama beliau berkongsi resepi ini tapi saya tidak berkesempatan untuk mencuba. 

Terima kasih pada Puan Faizah kerana tidak lokek berkongsi ilmu. Ada orang, sangat kedekut untuk berkongsi resepi. Sayang sekali kerana ilmu tidak berkembang dan pahala pun tak dapat. Apa nak dirisau, walaupun berniaga rezeki ada bahagian masing masing.

Saya perhatikan masak tempoyak Temerloh dengan masak tempoyak Perak lain sedikit. Masih ingat arwah Bonda selalu menyediakan masak tempoyak. Macam macam ikan pun dimasak tempoyak. Selain ikan sungai, ikan laut seperti ikan kembung, ikan merah juga dimasak tempoyak. 

Rupa masak tempoyak Perak sedikit cair kemerahan kerana menggunakan cili kering atau cili merah hidup. Biasanya diletakkan sekali timun atau taugeh kepala besar. Tapi kalau masak tempoyak Temerloh lebih pekat dan berwarna kekuningan. 


Hari ini saya hanya menyediakan masak tempoyak menggunakan ½ ekor ikan patin seberat 350 gram sahaja. Jadi kalau guna 1 ekor ikan, boleh digandakan bahan bahan yang digunakan.  

Walaupun Nana order spagheti dan pizza dari Italiannies tapi Hubby memilih untuk makan nasi dengan masak tempoyak. Hubby kata jadi dan sedap. Hmm senang hati mendengar maklumbalas yang diberi. 

Jom layan resepi dan cara saya menyediakan masak tempoyak ikan patin Temerloh. Jangan lupa untuk subscribe, like dan share video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI




Masak Tempoyak Ikan Patin Temerloh

Bahan bahan:
½ ekor ikan patin buah - basuh bersih dan rendam asam jawa + garam
1-2 keping asam keping - jika tempoyak tidak cukup masam
½ sudu besar garam
½ sudu besar gula
Daun kesum
500 ml air 

Bahan kisar:
2 sudu besar penuh tempoyak - 70 gram
5-6 tangkai cili padi merah
¼ inci kunyit hidup
½ sudu kecil serbuk kunyit - warna
¾ cawan air

Cara cara:
Ikan dibasuh dengan air limau nipis atau asam jawa. Tabur tepung gandum dan biarkan seketika sebelum dibilas. 

Kisar semua bahan kisar sehingga halus dan sebati. Panaskan air sehingga mendidih. 

Masukkan bahan kisar. Kacau rata sehingga mendidih dan pekat. Kalau tidak masam, boleh masukkan asam keping. 

Setelah mengelegak kuat, masukkan sedikit gula dan garam. Sesuaikan rasa. 

Kemudian masukkan ikan dan daun kesum. Jangan kacau lagi supaya ikan tidak hancur. Kecilkan api dan biarkan selama 10-15 minit sehingga keluar minyak ikan. 


Boleh ditutup api. Sedia untuk dinikmati.


Nota:
Ikan dilumur seketika dengan tepung gandum sebelum dibilas.

Kuah jangan terlalu pekat.

Guna tempoyak baru dan belum bergas, barulah lebih sedap. Pekat dan baunya harum.

2 ulasan

  1. Salam Kak Azie
    sungguh terserlah kepekatan dan keenakan masak tempoyak tu, sampai bergenang ailio menengoknya, hahaha.

    Satu masa nanti, kalau Kak Azie ke JB, carilah Restoran Anjung Selatan yang menghidangkan Gulai Tempoyak Patin Sungai ni, mahu tak toleh kiri kanan bila menghadapnya, hihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas cadangan. Insya Allah kami akan cari sebab Hubby memang suka

      Padam

Add your comment