Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Bawal Masak Sweet Sour dan Pahala Membaca Al Quran



Agak terkejut mendengar berita kemangkatan anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Haji Abdul Azim pada 24 Oktober 2020 di usia yang masih muda. Mungkin sebab saya tidak pernah mendengar yang almarhum sakit, cuma perasan jarang ada dalam majlis majlis diraja Brunei. Namun kita yang masih hidup, masih ada peluang untuk berbuat kebaikan. Muda tidak semesti lama lagi mati, kaya juga bukan boleh melambatkan kematian. 

Hari ini saya ingin kongsikan petikan pilihan dari buku yang saya baca iaitu Perjalanan Ku Bersama Al Quran. Seperti mana kita tahu setiap huruf al Quran yang kita baca, kita akan dapat pahala. 

Hadis Riwayat Tirmizi, sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu bersamaan 10 kebaikan yang seumpamanya. Aku tidak maksudkan Alim Lam Mim itu satu huruf tapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Min satu huruf. 

Bermakna membaca Alim Lam Mim kita mendapat 30 kebaikan dan ganjaran pahala. Cuba kita fikir, mencari pahala dengan berpuasa sunat, bertahajjud dan bersedekah tidak begitu mudah. Berapa hari kita berpuasa sunat dalam seminggu? Berapa banyak sedekah kita?

Namun dengan hanya membaca satu huruf daripada Al Quran dengan mudah kita mendapat pahala. Tapi sayangnya walaupun tawaran ini cukup istimewa, kebanyakan manusia tidak berminat. 

Kalau lah Allah menukar pahala jadi duit, sebagai jika baca ya sin, dapat 20 pahala yang kemudian Allah tukarkan menjadi 20 ganjaran ini kepada RM20, pasti ramai akan berebut rebut untuk menghafaz Al Quran kerana ianya sangat mudah. 

Tetapi tidak begitu, kerana Allah mahu memberi manusia pahala yang nilainya jauh lebih tinggi daripada wang. Tapi sayang kerana kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. 

Jadi jom kita semua amalkan membaca Al Quran setiap hari. Jadikan ianya rutin hidup kita dari sekarang selagi kita masih bernyawa supaya kita tidak menyesal. Orang yang tidak berbuat kebaikan di dunia, akan menyesal apabila mati. Orang yang berbuat kebaikan juga akan menyesal kerana sepatutnya dibuat lebih banyak lagi kebaikan. 


Ikan bawal sweet sour adalah lauk kegemaran Nana. Semasa dia masih menuntut di University Alexandria Egypt, setiap kali balik bercuti dia akan menghantar mesej supaya disediakan ikan bawal sweet sour. Sampai di rumah, nak terus makan katanya. 

Hari ni pun Nana dan Alain pergi shopping barang runcit di Giant. Ammar ditinggalkan dengan kami. Saya memesan supaya dibelikan ikan, bawang bawang dan sayuran. Bila dia nampak ada ikan bawal segar terus menghantar mesej supaya dimasak sweet sour sebagai lauk makan tengahari. 

Sebelum kita masuk bab resepi, jangan lupa klik butang FOLLOW di bawah dan juga klik iklan yang keluar di blog saya sebagai tanda sokongan. Terima kasih.

Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba... 


Ikan Bawal Sweet Sour
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal - lumur garam kunyit 
2 sudu besar cili kisar 
½ cawan sos tomato - 6-7 sudu besar
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos ikan
2 sudu besar gula atau secukupnya
Garam

Bahan kisar:
½ biji bawang besar
5 biji bawang merah
5 ulas bawang putih 
1-2 inci halia 

Bahan lain:
1 biji tomato buah - hiris
1 biji bawang besar - hiris
1 biji cili capsicum - hiris
Daun sup

Cara cara:
Ikan dilumur garam dan serbuk kunyit. Sebelum digoreng, tabur tepung jagung rata rata dan goreng dalam minyak yang banyak sehingga garing. Angkat dan ketepikan.


Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau dan sedikit keperangan. Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak. Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Ulang beberapa kali. 

Selepas itu, masukkan pula sos tomato, sos cili, sos ikan, garam, gula dan sedikit air. Sesuaikan rasa dan kepekatan. 

Akhir sekali, masukkan bawang besar, buah tomato dan cili capsicum. Biarkan sehingga bawang layu. Tutup api.


Sebelum dihidangkan, tuang kuah sweet sour ke atas ikan dan hias dengan daun sup. 

1 ulasan for "Ikan Bawal Masak Sweet Sour dan Pahala Membaca Al Quran"