Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Asam Pedas Ikan Jenahak Azie Kitchen


Hari ini iaitu pada hari kedua pelaksanaan Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putra Jaya, saya menyediakan Asam Pedas Ikan Jenahak. Tiba tiba rasa nak makan asam pedas. Jadi terpaksalah memasak sendiri, lagi pulak lauk pauk macam ni susah nak cari yang sedap dan kena dengan selera kalau beli di restoran pun. 

Pagi pagi lagi saya dah ke dapur menyediakan bahan bahan dan perencah. Sementara menunggu Hubby balik dari kedai untuk membeli ikan jenahak, saya telah menumis bahan bahan perencah. 

Selain asam pedas, saya juga menyediakan ayam masak kicap yang sempoi sempoi jer. Tapi walaupun sempoi, masak kicap tetap sedap dan disukai oleh anak anak. 

Tanpa sedar, pukul 12.30 kami telah pun makan tengahari. Itu pun setelah kami hantar gambar kat group WhatsApp BFF, bila ada yang menegur awal lagi dah makan tengahari. Hahaha kiranya macam dua dalam satu sebab tak bersarapan, terus makan tengahari. 


Asam pedas ni nampak mudah untuk menyediakan. Memang mudah pun dan bahan pun mudah. Cuma teknik penyediaannya yang perlu diperhatikan untuk menghasilkan asam pedas yang sedap. Kalau tak kena cara, asam pedas akan terasa pahit. 

Saya ada baca yang nisbah cili mesti melebihi bahan kisar iaitu 3:1, barulah sedap kuah asam pedas. Kuah pun jangan terlebih cair. Masukkan air sedikit dahulu dan setelah mendidih, baru dimasukkan ikan dan kemudian tambah air sedikit demi sedikit supaya tidak terlebih cair. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Selamat mencuba....



Asam Pedas Ikan Jenahak Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan jenahak 
1 sudu kecil halba
1 sudu besar serbuk kunyit
6 sudu besar cili kering kisar - 1 cawan
50 gram asam jawa - 1 sudu besar pes asam jawa
1 sudu besar garam kasar
Serbuk perasa 
Daun kesum
1 kuntum bunga kantan - belah 2
10 batang kacang bendi 
1 cawan minyak masak
700 - 800 ml air

Bahan kisar: 
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak. Masukkan halba dan bahan kisar. Masukkan cili kisar dan serbuk kunyit. Nota: jika minyak lebih, boleh diceduk keluar setelah sambal garing.

Bila telah terbit minyak, masukkan sedikit air dan tumis lagi. Ulang masukkan air beberapa kali sehingga cili benar benar masak. 

Bila cili telah benar benar masak dan garing (kelihatan minyak berbuih), masukkan air asam jawa/pes asam jawa, daun kesum dan bunga kantan. 


Masukkan sedikit dulu garam dan serbuk perasa. Kacau rata.

Masukkan 400 ml air dan biarkan sehingga mendidih. Jangan masuk banyak sangat air kerana boleh tambah selepas masukkan ikan. 

Setelah mendidih, masukkan ikan. Tambah air secukupnya. Pastikan kuah hanya sekadar tenggelamkan ikan sahaja kerana tidak sedap jika kuah cair. 


Akhir sekali masukkan kacang bendi. Sesuaikan rasa dan bolehlah masukkan garam secukup rasa. Sedia untuk dihidangkan.


Catat Ulasan for "Asam Pedas Ikan Jenahak Azie Kitchen"