Isnin, 12 Julai 2021

Nasi Ayam Versi Azie Kitchen



Sehari dua ini saya banyak menerima mesej dari kawan kawan berkenaan kematian orang yang mereka kenali. Seorang bekas rakan sekerja saya juga meninggal dunia disebabkan Covid dua hari lepas. Isterinya pula sedang dirawat di ICU Hospital Sg Buloh. Manakala anak anak yang juga positive Covid kini menjalani kuarantin di rumah. 

Covid 19 adalah sesuatu yang benar. Tapi sedih bila melihat masih ramai yang mengambil mudah pematuhan pada SOP. SOP yang perlu dipatuhi adalah mudah sahaja memakai pelitup separuh muka, sanitize dan kerap basuh tangan, penjarakan sosial dan mendapatkan vaksinasi.  

Juga jangan keluar rumah melainkan jika benar benar perlu.  Patuhi pada yang ni sahaja. Yang lain tu, berkenaan pemakanan vitamin dsb adalah perkara kedua.  OK cukup setakat ini dahulu. Sekarang kita masuk pula bab masakan iaitu nasi ayam. 

Nasi ayam adalah makanan yang cukup popular di negara kita. Saya bila tak tahu nak makan apa, suka jer makan nasi ayam. Senang tak perlu nak fikir fikir lauk apa. Ada nasi, ada ayam, ada sup dan sambal serta kicap, dah cukup menyelerakan.  

Ada pelbagai versi nasi ayam. Pendek kata tak ada nasi ayam yang sama. Kalau ditanya, pasti ianya ada berbeza samada bahan yang digunakan atau pun teknik penyediaannya. 


Hari ini saya kongsikan versi nasi ayam yang telah saya cuba, saya olah dan telah banyak kali saya sediakan. Kelainan pada nasi ayam ini ialah penggunaan lemak ayam. 

Apa yang saya pelajari dari owner  gerai nasi ayam yang sangat terkenal ialah bila nasi sejuk, dikatakan akan terasa sedikit hanyir jika kita menggunakan air rebusan ayam.  

Ada ketika dan versi lain, saya juga menggunakan air rebusan ayam. Sekali masak dan sekali makan, terus habis. Jadi tak sempat nak rasa kalau nasi ada rasa hanyir bila sejuk. 

Jom layan resepi yang saya guna dan olah serta cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...



Nasi Ayam Versi Azie Kitchen

Bahan untuk Nasi
5 cawan beras
1 biji bawang putih - kisar
1-2 inci halia - kisar
3 helai daun pandan
1 sudu kecil garam
½ sudu kecil serbuk kunyit
5 ½ cawan air atau secukupnya
7 sudu besar minyak masak – atau guna majerin
Minyak lemak ayam

Cara cara:
Beras dibasuh dan rendam selama 20 minit. Bilas dan tos. Ketepikan.

Panaskan minyak masak dan masukkan daun pandan, halia dan bawang putih kisar. Tumis sehingga naik bau, masukkan garam, serbuk kunyit dan air yang disukat mengikut paras beras dan dilebihkan sedikit. Gaul rata.

Masukkan beras dan tuang minyak lemak ayam dan kacau rata. Kemudian tutup periuk nasi dan masak seperti biasa.


Bahan untuk Sos 
5 tangkai cili merah
2 ulas bawang putih
½ inci halia
½ cawan jus limau kasturi
2 – 2 ½ sudu kecil garam
½ cawan gula – 7 sudu besar gula

Cara cara:
Kisar cili merah, bawang putih dan halia bersama jus limau kasturi. Masukkan garam dan gula secukup rasa.


Bahan untuk Ayam Goreng Madu 
1 ekor ayam - bersih dan tos
3 sudu besar madu
3 sudu besar kicap cap Gajah
Sedikit garam
Sedikit gula, jika suka
Sedikit serbuk lada sulah

Bahan kisar;
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Bersihkan ayam dan kalau boleh, jangan dipotong atau dipotong 2 sahaja. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk berisi air. Panaskan sehingga mendidih. 

Kemudian masukkan ayam, kaki serta leher ayam dan direbus hingga ayam masak. Nota: Tiada darah bila dicucuk bahagian peha. Angkat dan tos.


Satukan madu, kicap, gula, garam dan lada sulah. Sapukan rata pada ayam yang telah direbus itu. Gantung selama 1 – 2 jam.  


Panaskan minyak secukupnya dan goreng ayam sekadar kulitnya garing sahaja. Angkat dan toskan.  Nota: Itulah rahsia ayam yang isinya lembut di dalam dan mendapat kulit yang garing.


Sup Nasi Ayam
Air rebusan ayam
Garam
Serbuk perasa, jika suka
Daun sup
Bawang goreng

Cara-cara
Panaskan air rebusan ayam. Tambah garam dan serbuk perasa secukup rasa. Taburkan daun sup dan bawang goreng. 


Bahan Untuk Kicap
Kicap cap gajah
Gula
Garam
Serbuk lada sulah
Air

Cara cara:
Masak kicap dengan air lebihan memerap ayam, gula, garam dan lada sulah sehingga mendidih.


Add your comment