Rabu, 6 Mei 2020

Puding Sagu Gula Melaka

Puding Sagu Gula Melaka

Begitu cepat masa berlalu, dah hampir separuh kita berada dalam bulan Ramadhan. Bila melihat perkembangan Medina, cucunda saya yang dah boleh berjalan sendiri pun, saya terasa betapa pantas masa berlalu. Masa akan sentiasa bergerak. Ramadhan juga akan terus meninggalkan kita jika tidak mengisi masa sebaik baiknya. Jika waktu saya masih bekerja, masa masa di dalam bulan Ramadhan lagi sangat pantas. 

Ada hikmah nya Perintah Kawalan Pergerakan dalam Ramadhan kali ini. Sekurangnya mereka yang masih bekerja dapat mengisi bulan ini di rumah sambil work from home. Ramadhan sebelum ini terutama di 10 malam akhir, saya mengambil cuti separuh hari sebelah pagi untuk malam malam ganjil. Ianya bagi membolehkan saya mengganti waktu tidur sebelum ke pejabat. 

Bulan Ramadhan tahun ini, semua yang masih bekerja boleh melakukan lebih amal ibadah di 10 malam akhir tanpa perlu mengambil cuti pun. Tanpa perlu bersara seperti saya pun. Ini juga adalah satu bonus yang Allah berikan untuk anda semua. Ini bonus yang Allah bagi. Jangan ingat duit yang dapat hujung tahun sahaja sebagai bonus. OK cukup setakat ini dahulu. 

Jika kuih sagu dengan kelapa adalah kuih kegemaran Nellisa, puding sagu gula Melaka pula adalah kegemaran Juita. Juita dah pandai menyediakannya sendiri kuih kegemaran dia ini. Telah beberapa kali dia menyediakan sendiri. 

Menyediakan kuih ini sangat mudah. Tak perlu sukatan air pun kerana akhirnya kita akan tapis dan buang lebihan air. Letak lebih pun tak apa kerana kita akan memasak sehingga sagu jernih. Ada sikit sikit masih putih pun tak apa. 

Puding Sagu Gula Melaka

Ada beberapa versi kita boleh menyediakan puding sagu gula Melaka. Satu seperti yang saya sediakan hari ini di mana sagu yang siap dimasukkan dalam bekas. Bila masa untuk dimakan, tuang santan atau susu cair dan air gula Melaka. 

Satu lagi pula, selepas sagu siap ditos, masukkan terus sagu ke dalam air gula Melaka. Kacau rata supaya sagu dan air gula Melaka sebati. Bila masa untuk dimakan, tinggal dituang sahaja susu cair atau santan. Cara ini sagu lebih terasa sebati dengan air gula Melaka. 

Cara pertama, sagu masih kekal sagu ketika disudukan ke dalam mulut. Cara ini juga, lebih presentable jika mahu dihidangkan. Dan boleh simpan lebih lama, boleh ditutup dengan plastik wrap. 

Buatlah mana mana cara pun, asal sesuai dengan selera. Atau cuba kedua dua cara supaya dapat dipelbagaikan hidangan pada famili kita. Barulah ada kelainan rasa untuk puding sagu gula Melaka. 

Jom layan resepi yang saya salin di bawah ini. Boleh klik di SINI untuk video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel. Selamat mencuba...


Puding Sagu Gula Melaka

Puding Sagu Gula Melaka 
Oleh: Azie Kitchen

Sagu:
1 cawan biji sagu 
1 liter air atau lebih
Pewarna kegemaran

Cara-cara:
Rendam biji sagu seketika dan tos. 

Puding Sagu Gula Melaka

Didihkan air bersama daun pandan. Setelah mendidih, masukkan biji sagu dan masak sehingga sagu bertukar jernih. 

Sentiasa dikacau supaya bahagian bawah tidak hangus. Tambah air jika tidak cukup air. Tutup api dan masukkan air ke dalam periuk sagu dan kacau rata.

Puding Sagu Gula Melaka

Toskan sagu dalam bekas penapis untuk buang lebihan air. Lalukan dibawah air paip yang mengalir sambil dikacau untuk buang kanji. Titiskan warna kegemaran dan kacau rata menggunakan garfu.

Puding Sagu Gula Melaka

Puding Sagu Gula Melaka

Tuangkan ke dalam acuan yang disukai. Masukkan dalam peti sejuk untuk disejukkan.  

Nota: boleh juga terus dimasukkan sagu ke dalam air gula Melaka dan kacau rata. Masukkan dalam bekas sesuai dan sejukkan. Bila hendak makan, tuang susu cair atau santan yang telah dimasak. 

Puding Sagu Gula Melaka


Untuk Manisan:
1 keping gula melaka - 100 gram
1 sudu besar gula pasir
½ cawan air
1 helai daun pandan - simpul
½ sudu besar tepung jagung - bancuh dengan air

Cara-cara:
Satukan semua bahan kecuali tepung jagung, masak hingga gula larut dan mendidih. 

Puding Sagu Gula Melaka

Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau rata. Bolehlah tutup api.

Puding Sagu Gula Melaka


Santan:
1 cawan santan
¼ sudu kecil garam

atau:
Susu cair

Santan dimasak dengan sedikit garam. Sedia untuk digunakan. 


Cara Menghidang:
Keluarkan sagu dari acuan, curahkan gula melaka dan susu cair. Letak 1 sudu jagung manis. Sedia untuk dinikmati.



Add your comment