Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Semalam sempena Juita balik dari kuarantine yang dijalani di Hatten Hotel Melaka, semua anak anak datang berbuka puasa di rumah. Jadi saya memasak di dapur untuk lauk pauk berbuka dan kuih muih dengan dibantu oleh Ros dan Wina. 

Oleh kerana ramai yang berbuka, maka saya membuat kuih badak berendam. Kalau hari biasa, mungkin tak rajin hendak membuatnya kerana kuih tradisional seperti ini hanya saya dan Hubby sahaja yang makan. 

Satu adunan yang disediakan hari ini telah menghasilkan 34 biji badak yang bersaiz agak besar. Lain kali kalau teringin nak makan, saya mungkin buat doh hanya 1 cawan tepung pulut sahaja. 

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Kuih badak berendam boleh disediakan secara berperingkat dengan cara menyediakan inti terlebih dahulu. Syarat utama untuk kuih ini sedap ialah intinya mesti sedap dan terasa manis. 

Inti boleh buat banyak dan disimpan dalam freezer untuk dibuat kuih lain seperti kuih koci dan kuih ketayap.

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Kuih badak berendam ini sedap dengan inti kelapa yang manis dan kuah santan yang lemak lemak masin. Resepi badak berendam ini dohnya boleh dipelbagaikan. 

Boleh digunakan labu dengan dohnya dibuat dari buah labu kuning, atau boleh juga dibuat badak berendam pulut hitam menggunakan tepung beras pulut hitam. 

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Kuih ini juga hampir sama dengan koci. Yang berbeza hanya lah kuih badak berendam tidak dibungkus di dalam daun pisang dan dikukus. Jadi lebih mudah disediakan.

Serious sangat sedap kuih badak berendam saya hari ini. Semasa berbuka, saya makan 5 biji dan Hubby juga makan 5 biji. Sangat sedap dengan rasa lemak lemak masin santan dan manis inti kelapa. 

Walaupun telah beberapa kali menyediakan kuih badak berendam sebelum ini, kuih badak yang saya sediakan hari ini yang terasa sangat sedap. Mungkin sebab memang sedap dan kedua sebab makan secara beramai ramai. Boleh klik di SINI dan di SINI untuk entri kuih badak berendam sebelum ini.

Jom layan resepi di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Kuih Badak Berendam 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
500 gram kelapa parut - 2 biji kelapa 
100 gram gula merah 
250 gram gula pasir
2 cawan air 
2 helai daun pandan 
2 sudu besar tepung gandum 
½ sudu kecil garam 

Cara cara:
Masak gula merah dan air sehingga larut. Tapis. Masukkan gula pasir, garam, daun pandan dan masak sehingga gula larut. 

Masukkan kelapa parut dan kacau sehingga kering. 

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Bila ditolak sedikit inti dengan senduk, kelihatan sedikit berbuih buih di dasar kuali, tandanya inti dah nak kering. 

Boleh masukkan tepung gandum dan kacau rata supaya inti jadi lebih kental. Tutup api dan biarkan sejuk. Boleh dimasukkan dalam freezer untuk cepat sejuk dan mudah dibentuk. 

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Ambil inti seberat 10 gram dan bulat bulatkan. Kemudian disimpan semula dalam freezer untuk mudah dimasukkan dalam doh badak berendam.

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Nota:
Lebihan inti boleh disimpan di dalam freezer.


Untuk Doh:
3 cawan tepung pulut 
2 sudu besar tepung gandum 
1 cawan air daun pandan - kisar dengan 4-5 daun pandan 
½ cawan air - guna dalam ¼ cawan
Sedikit pewarna hijau
Sedikit air kapur 

Cara cara: 
Satukan semua bahan kecuali air sehingga menjadi doh. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan. Nota: Tidak perlu dihabiskan air.

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Ambil adunan seberat 20 gram dan bentukkan dan leperkan seperti bentuk cawan. Isikan inti kelapa dan tutup semula dengan kemas. Adunan menghasilkan 34 biji doh. Nota: jika suka kecil, boleh guna 15 gram doh.

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Masak air di dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan bebola doh badak berendam. Apabila bebola doh timbul, bermakna bebola doh telah masak. Boleh diceduk keluar dan masukkan dalam mangkuk yang berisi air.

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap


Bahan untuk kuah santan:
3 cawan santan segar pekat 
1 sudu besar tepung beras 
2 helai daun pandan - simpul 
Sedikit garam

Susun doh badak berendam dalam loyang. Tuang bahan kuah santan ke dalam loyang. Kukus selama 20-25 minit. Masukkan semua bahan dan kacau rata dulu sebelum diletakkan atas api sederhana.

Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap

Nota:
Untuk kuahnya, ada dua teknik yang boleh di gunakan. Pertama bahan kuah santan dimasak dan dituang ke atas doh yang telah masak. Boleh klik di SINI.

Cara kedua ialah, tuangkan kuah yang dibancuh ke dalam loyang bersama doh dan kukus seketika di dalam pengukus seperti cara saya hari ini. 


Catat Ulasan for "Kuih Badak Berendam Yang Sangat Sedap"