Jumaat, 1 Mei 2020

Kek Pisang Lembap dan Gebu


Saya membawa anak benih pokok pisang renik yang dibawa dari rumah lama. Saya masih ingat lagi saya ke Klang untuk mendapatkan benih anak pisang ini dengan bantuan seorang pembantu rumah di USJ. 

Asalnya saya hanya menjadikan sebagai pokok hiasan kerana pokoknya yang renik. Pokok pisang ini cukup senang dijaga, sebaik ditebang akan tumbuh anak baru. Tidak pernah berhenti berbuah dan ketinggiannya hanya lebih kurang ketinggian saya sahaja. 

Pisangnya lembut dan jika masak akan cepat luruh dari sikatnya. Baunya wangi sahaja dan isinya berwarna putih. Kalau mahu dibuat cekodok, tak perlu untuk lenyek sangat sangat. Patah patahkan dengan tangan jer pun dah OK.

Setiap kali masak, memang sangat banyak pisangnya. Jadi untuk elakkan pembaziran, saya membuat kek pisang dengan resepi baru. Cuma menggunakan 4-5 biji pisang yang seberat 600 gram untuk satu adunan. Saya terus sediakan untuk 3 adunan.  Lagi pun sangat mudah kerana hanya perlu dikisar menggunakan blender sahaja.


Sebelum berbuka saya meminta Hubby menghantar kek dan pisang ke beberapa rumah jiran dan sebahagian lagi saya hantar pada Boy di Seksyen U12 Shah Alam untuk dikongsikan dengan besan kami dan juga anak menantu. Semoga mereka dapat menikmatinya sebagai juadah berbuka puasa. 

Kek ini sangat lembap, gebu dan wangi walaupun saya tidak menggunakan esen vanilla langsung. Mungkin pisang ini yang menyebabkan keknya berbau dan rasa wangi. 

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Kek Pisang Lembap dan Gebu

Bahan A ayak:
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbanat

Bahan B kisar: 
4 biji pisang Jepun - 600 gram
1 cawan minyak
½ cawan gula kaster
½ cawan gula perang
3 biji telur

Cara cara:
Tuang bahan A ke dalam B sedikit demi sedikit sambil dikacau rata secara kaup balik supaya tepung tidak berketul. 


Tuang adunan ke dalam loyang saiz 10''x7'' yang telah dialaskan dengan baking paper. 


Susun pisang yang dihiris mengikut yang disukai.


Bakar pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga masak atau sehingga ianya tidak melekat pada lidi. Nota: boleh juga dikukus selama 45 minit. 


Angkat dan sejukkan sebelum dipotong. 

Nota: 
Kek pisang ini moist dan gebu. Jika menpunyai lebihan, boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan dimasukkan dalam freezer. Sebelum dimakan, keluarkan dari freezer dan biarkan pada suhu bilik dan kemudian dipanaskan dalam microvave oven. Hasilnya kek akan kekal enak dan tahan lama. 

1 ulasan

  1. Semalam pun berbuka puasa dengan kek pisang.
    Tapi pakai pisang kapas.

    BalasPadam

Add your comment