Isnin, 13 April 2020

Sambal Ayam Sahor

Sambal Ayam Sahor

Insya Allah hari ini adalah minggu terakhir saya dalam perkhidmatan. Saya akan bersara dari rumah. Kata sahabat saya retire from home. Ada lagi dua tiga orang rakan sekerja yang juga akan bersara dari rumah. Maksudnya tak dapat clock out dari office. 

Selepas ini saya akan memulakan kehidupan sebagai seorang pesara. Hahaha. Alhamdulillah saya bekerja dari tamat pengajian sehinggalah akhirnya saya tamat perkhidmatan. Sampai masanya untuk saya berehat dan membanyakkan masa untuk membuat amal ibadah. 

Masa perintah kawalan pergerakan ini saya bekerja dari rumah. Ketika ini jugalah saya berada dalam fasa persediaan persaraan. Saya membuat kerja kerja dapur. Saya bangun pagi dan terus turun ke bawah tanpa bermalas malas dengan baju tidur. Saya membiasakan diri untuk tidak berada dalam aircond sepanjang masa. 

Insya Allah saya akan terus aktif menulis di blog sebagai blogger sepenuh masa. Jadi diharapkan pembaca blog  semua untuk terus memberi sokongan pada blog saya supaya saya bersemangat untuk terus menulis. Jangan lupa juga untuk klik iklan google di blog kerana ramai yang tak klik kerana tidak tahu. Iklan iklan tersebut yang memberi income kepada blogger. OK sekarang kita tengok pula resepi yang saya ingin kongsikan hari ini. 


Sambal Ayam Sahor

Siapa yang pernah menginap di Kolej Ketiga Universiti Malaya atau pernah ke sana sehingga awal tahun 1990an, pasti tahu akan keenakan Nasi Lemak Sahor yang dijual sehingga pagi di musim peperiksaan. Ketika itu, siswa siswi tidak ramai yang menpunyai kenderaan sendiri. Jadi kami akan makan di sini selepas penat belajar. 


Selepas itu, Sahor tidak lagi berjual nasi lemak kerana kurang sambutan. Mungkin kerana ketika itu, ramai yang menpunyai kenderaan sendiri. Jadi mereka keluar makan di luar universiti. Langkah kaki masing masing lebih panjang. 

Saya yang ketika sedang hamil, memang mengidam untuk makan nasi lemak. Rasanya selepas tahun 1992, tidak ada lagi nasi lemak. Semuanya tinggal sejarah. Jadi saya terpaksa belajar dengan Sahor dan memasaknya sendiri di rumah.  

Bila order nasi lemak, lauk yang saya pilih mesti sama sahaja iaitu sambal ayam dan gulai lemak perut lembu. Selain itu, diletakkan juga telur dan timun.  

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Sambal Ayam Sahor

Sambal Ayam Sahor

Bahan bahan:
1 ekor ayam 
4 sudu besar cili kering kisar
2 batang serai - ketuk
1 batang kayu manis
1 keping asam keping
Garam
1 sudu besar gula atau secukupnya
2 biji bawang besar - hiris

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah 
7 ulas bawang putih 
2 inci halia 

Cara cara:
Ayam dilumur garam dan serbuk kunyit. Goreng sehingga masak. Angkat dan ketepikan. Nota: jangan garing ya. 

Sambal Ayam Sahor

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, serai dan kayu manis sehingga naik bau. Masukkan cili kisar. Tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. 

Sambal Ayam Sahor

Masukkan air dan tumis sehingga terbit minyak sekali lagi. Masukkan bawang besar hiris.

Sambal Ayam Sahor

Masukkan ayam dan kacau rata sehingga sambal bersalut dengan ayam. Masukkan garam, gula dan asam keping. 

Sambal Ayam Sahor

Biarkan sambal merenih atas dapur supaya semuanya sebati. Bolehlah ditutup api. Nota: jika kering, boleh tambahkan sedikit air.

Sambal Ayam Sahor

Hidangkan dengan nasi lemak yang sangat nostalgia ini iaitu nasi lemak Sahor.

Sambal Ayam Sahor




1 ulasan

Add your comment