Jumaat, 24 April 2020

Paru Sambal Yang Sedap Untuk Berbuka Puasa

Paru Sambal Yang Sedap

Hari pertama Ramadhan dan juga hari pertama saya tidak lagi bekerja di bulan Ramadhan. Saya bercadang untuk menghabiskan masa dengan bersolat setiap waktu secara berjemaah di surau. Namun manusia hanya merancang tapi hanya Allah juga yang menentukan. Bila Ramadhan pertama selepas saya bersara, saya juga terkurung di rumah. 


Hari pertama Ramadhan saya masuk agak lewat ke dapur. Selepas solat Zohor, saya mengaji beberapa helai sebagai mendisiplinkan diri. Setelah selesai baru saya masuk ke dapur. Itu pun memasak secara slow and steady sahaja. Tak ada nak cepat cepat, takut penat. Malam nanti nak mengerjakan solat terawih dan solat malam pula. 

Bila teringat, sambil mengupas bawang atau mengacau lauk di kuali, saya berzikir. Bila hadir kuliah agama di surau tempat saya bekerja, itu yang selalu dipesan oleh ustaz dan ustazah. Satu zikir yang kita ucapkan akan digandakan pahalanya. Dah sekarang dok di dapur, saya cubalah amalkan apa apa yang diajar. Manusia kan mudah leka, begitu juga saya. Yang penting, bila ingat, cepat cepat kita lakukan.

Paru Sambal Yang Sedap

Hari ini saya menyediakan paru sambal, ayam masak lemak kuning, udang dan kacang buncis goreng dan ketupat sotong. Telah lama nak makan ketupat sotong tapi asyik tak jumpa sotong. Kebetulan hari ini, Hubby ke Jaya Grocer, jadi bila ada sotong, dia terus membelinya. Insya Allah saya akan buat entri untuk ketupat sotong di masa akan datang. 

Paru sambal adalah antara lauk kegemaran anak anak saya terutama Nelly, Juita dan Aween. Kalau tahun tahun sebelum ini, bila ke bazar Ramadhan, lauk ini lah yang mesti mereka beli. Jadi itulah sebabnya lauk hari pertama Ramadhan yang saya sediakan ialah paru sambal. 

Untuk hari ini, saya ingin kongsikan resepi paru sambal yang saya belajar dari pembantu gerai Indonesia yang membantu mak cik yang berniaga di gerai belakang Shell di seksyen 7 Kota Damansara. Setiap kali ke gerai, memang lauk ini yang dipilih. Oleh kerana Mak cik telah meninggal baru baru ini, jadi dia sekarang telah bekerja di restoran lain. 

Resepi ini saya minta ketika dia masih berjualan di gerai tersebut. Saya memang lah kalau rasa sedap jer, mesti nak menanya resepi. Ketika itu, mak cik tuan punya gerai sedang sakit. Cuma yang dipesan, sambal mesti dimasak lama lama, jadi ianya tahan lama. Sambal ini juga boleh disiram atas ikan keli goreng atau telur rebus goreng untuk dijadikan lauk berlado.

Masa berbuka, saya tidak habis habis menyebut sedapnya paru sambal ini. Secukup jer rasanya walaupun memasak di bulan Ramadhan ni, bukan boleh merasa. Memang sangat sedap pada selera. Hubby dan anak anak juga makan paru sambal dengan begitu berselera. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Jangam lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...

Paru Sambal Yang Sedap

Paru Sambal Yang Sangat Sedap

Bahan bahan:
1 kg paru
6 tangkai cili merah - saiz besar
8 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1- 2 batang serai - ketuk
½ sudu kecil garam atau secukupnya
1 sudu besar gula perang

Cara cara:
Paru direbus dengan asam keping, halia dan serai serta sedikit garam sehingga empuk. Pastikan benar benar empuk. Angkat, tos, sejukkan dan dihiris nipis. Lumur dengan garam dan serbuk kunyit.

Paru Sambal Yang Sedap

Goreng hingga garing tapi jangan terlalu garing. Nak tahu garing, kena tengok minyak tidak lagi berbuih besar.

Paru Sambal Yang Sedap

Tumis bahan kisar dan serai dengan api perlahan sehingga terbit minyak. Yang ini sangat penting, mesti dimasak lama.

Paru Sambal Yang Sedap

Masukkan sedikit air dan kacau lagi. Masukkan asam keping, gula dan garam secukupnya. Masukkan paru yang telah digoreng dan gaul rata.

Paru Sambal Yang Sedap

Paru Sambal Yang Sedap

Nota:
Sambal ini boleh disimpan dan disiram atas ikan yang digoreng juga untuk menjadi seperti ikan keli berlada atau telur berlada.


Add your comment