Nasi Goreng Majerin Yang Sedap
Hari ini adalah hari kedua dalam fasa kedua perintah kawalan pergerakan bagi memutuskan rangkaian covid 19. Dari malam tadi saya tengok topik hebat diperbahaskan adalah berkenaan permintaan SENIMAN agar kerajaan mempertimbangkan bantuan khas untuk para seniman. Kedua berkenaan dengan desakan agar Datin Vivy Yusoff digugurkan dari lembaga pengarah UiTM kerana dikatakan memberi komen berkenaan bantuan kerajaan kepada golongan B40.
Untuk isu pertama, saya berpendapat dalam keadaan sekarang semua orang terutama yang tidak menpunyai pekerjaan tetap atau mereka yang menjalankan perniagaan akan terjejas. Mungkin sebab saya makan gaji dan bekerja di organisasi yang besar, saya tidak terasa kesannya secara langsung walaupun terasa dengan kenaikan harga barang sahaja.
Tapi yang lain semua terkesan tak kiralah perniagaan kecil atau besar. Besan saya sendiri yang menpunyai firma guaman juga terjejas kerana staf tidak dapat datang bekerja dan kedua tiada kes yang didengar di mahkamah. Sedangkan gaji kakitangan tetap harus dibayar.
Begitu juga dengan mereka yang menjalankan perniagaan kecil kecilan, mereka juga terkesan. Jadi dalam keadaan sekarang ramai yang terkesan kerana tidak dapat keluar menjalani pekerjaan seperti biasa. Tidak kira lah mereka seniman atau orang biasa. Jadi jika para seniman perlukan bantuan, ikutlah prosedur yang ditetapkan untuk memohon bantuan.
Berkenaan dengan Vivy Yusof pula, saya tidak mendengar sendiri facebook live yang dikaitkan. Tapi saya hanya mendengar dari apa yang dijelaskan oleh beliau di video yang dimuatnaik di Instagram beliau. Vivy dah pun memohon maaf.
Sebenarnya memohon maaf tidak semesti beliau membuat salah. Tapi apa yang diutarakan berkenaan SMEs yang terjejas sehingga menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan juga adalah betul.
Apa yang saya mahu komen di sini ialah berkenaan netizen. Semua orang berhak bersuara dan semua orang berhak menpunyai rasa marah dalam apa sahaja perkara. Tetapi kita menpunyai adab dalam berbicara dan dalam menulis komen.
Jagalah adab adab tersebut. Jangan menggunakan bahasa kesat, apa lagi memaki hamun. Social media bukan tempat untuk kita menambah dosa. Jangan sesekali kerana dosa sesama manusia, hanya manusia yang dapat menghapuskannya.
Jangan kerana jari jemari yang menulis, kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jadi elakkan diri kita dari membuat sesuatu yang boleh mempalitkan dosa. Sekadar itu, pendapat dan pesanan saya supaya masing masing bertabah dengan ujian yang menimpa sekarang ini.
Ianya bukan hanya kita tetapi di seluruh dunia. Kita berdepan dengan musuh yang tidak kelihatan di mata kasar, yang menimbulkan ketakutan pada semua. Covid 19 akan mendatangi sesiapa sahaja tanpa mengenali pangkat dan keturunan, tanpa mengenal bangsa dan warna kulit. Ianya bukan fenomena biasa tapi fenomena yang perlu ditangani di seluruh dunia.
Masuk sedikit bab masakan saya pagi ini iaitu nasi goreng majerin. Hari hari asyik nasi goreng ikan bilis, hari ini saya tukar pula dengan nasi goreng majerin.
Pagi pagi lagi kami berzooming dengan sahabat sahabat se fakulti di universiti dulu. Selepas itu, baru saya mula ke dapur. Tengok ada satu periuk kecil nasi putih baki dari nasi masa makan malam tadi.
Serious nasi goreng ini sangat sedap di tekak saya dengan rasa lemak lemak majerin dan rasa serbuk lada sulah. Seperti yang pernah saya share sebelum ini, kalau di bulan Ramadhan, saya suka bersahur dengan nasi goreng. Jadi ini adalah antara nasi goreng mudah dan sedap yang boleh kita sediakan untuk bersahur nanti.
Jom layan resepi mudah yang saya gunakan dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Nasi Goreng Majerin
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
600-700 gram nasi putih - 2 pot beras Basmathi
3 biji bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
½ batang karot
3 biji telur
Sedikit serbuk kunyit
Serbuk lada putih
Garam
Minyak
1 sudu besar majerin
Cara cara:
Tabur sedikit garam dalam nasi dan gaul rata. Ketepikan.
Panaskan minyak masak dan 1 sudu besar majerin. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.
Masukkan karot dan sedikit serbuk kunyit. Kacau rata sehingga karot hampir lembut. Tuang telur dan biarkan hampir mengeras, baru dikacau.
Masukkan nasi dan kacau rata rata. Masukkan pula serbuk lada putih secukupnya. Kacau rata dan sesuaikan rasa. Jika, belum cukup garam, boleh masukkan garam. Tutup api.
Akhir sekali, masukkan 1 sudu besar majerin atas nasi dan gaul rata. Tutup api.
Nota: untuk menambah rasa dan wangi nasi goreng. Jika tak suka, boleh abaikan step yang ini.
Suka dengan resepi dan post dari Azie Kitchen. Dah banyak resepi sy cuba, alhamdulillah sedap. Thanks alot. Keep updating and i love reading your story and recipes❤️
BalasPadam