Khamis, 9 April 2020

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Hari ini adalah hari yang ke 23, kita berada dalam perintah kawalan pergerakan. Bila dalam PKP,  kita asyik lapar sebab stress agaknya. Stress kerana tidak dapat bergerak ke sana sini. Malahan selepas PKP pun, rasanya saya tidak berani untuk pergi ke mana mana, terutama tempat orang ramai.

Bila di rumah, mula lah teringin nak makan bermacam macam. Tengah tengah malam teringin nak makan mee goreng. Dah malam, nak order pun dah tak boleh. Terpaksa lah bertahan sehingga ke hari ini. Pagi pagi lagi minta Hubby ke kedai runcit. 

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Mee goreng memang antara makanan kegemaran saya sejak kecil kecil lagi. Ketika itu, makan mee dulang jer yang harga 50 sen sebungkus. Memang tak mampu nak makan mee goreng yang baru digoreng panas panas. Hanya sekali arwah Abang Hashim belanja mee goreng bungkus panas panas. Ketika itu, saya masih kecil lagi. Tapi tetap ingat sehingga sekarang. 

Itulah sebab sehingga sekarang saya masih teringat ingat mee goreng di pasar Bachok yang saya beli setiap hari selepas balik dari sekolah tahun 1983-1984. Ketika itu, saya menumpang rumah abang saya di Bazar Mara Bachok. 

Memang sedap sangat mee goreng kakak tu. Dia akan menggorengnya di hadapan kita. Saya menjeling jeling melihat bahan yang digunakan. Rasanya dia guna air rebusan daging dan ada bahan sos dari Thailand. Tapi masa tu, tak lah pula terbuka mulut untuk bertanya.  Mee goreng beliau berwarna kekuningan, tidak warna gelap macam mee biasa menggunakan sambal cili kisar dan kicap.

Berbalik pula pada mee goreng saya hari ini. Serious sangat sedap rasa mee goreng yang saya sediakan agak basah basah ini. Sebelah tengahari, saya ulang makan lagi. Walaupun dah sejuk, tapi masih lembut dan masih sedap. Kalau makan mee goreng, wajib ada untuk rasa lebih sedap pada saya ialah limau nipis. Perah dan kacau rata rata.

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Memasak ni seolah berkarya juga. Ikutlah apa yang kita hendak gunakan mengikut kreativiti masing masing. Begitu juga memasak. Saya akan masukkan apa bahan yang ada di dalam peti ais dan juga apa yang saya suka. Memasak untuk makan mengikut selera sendiri.  

Ada orang suka letak taugeh, silakan. Saya tak masuk kerana saya tak suka dan anak anak saya pun tak suka. Lagi pulak, bila dimasukkan taugeh, mee tidak tahan lama. 

Begitu juga bahan lain seperti daging, ayam, udang dan sotong. Masukkan lah apa yang kita suka. Yang paling sedap pada saya ialah daging dan udang. Tapi selalunya daging tak ada stock di rumah. Udang pula, saya tak boleh makan kerana masalah allergi.  Jadi pilihan lain ialah ayam, sotong dan fish cake.

Sementara masih dalam PKP ni, jom ramai ramai cuba memasak mee goreng ini. Menggoreng mee ini perlukan praktis dan praktis. Kalau jarang jarang sekali, memang ada masa tidak menjadi. Contoh mee tak lembut atau terlebih lembut. Ini contoh mee goreng yang fail.

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa, video penyediaannya di Azie Kitchen Channel di SINI. Selamat mencuba...

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 pek mee kuning - 400 gram
1 sudu kecil cili kering kisar
2 ekor sotong 
2 biji telur
2 keping fish cake
1 ikat sayur sawi
1 biji buah tomato - belah 4 atau 6
4 tangkai cili padi - ketuk
1 biji limau nipis
Kicap manis secukupnya
Sedikit garam - jika perlu

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih 

Bahan sos:
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato

Cara cara:
Mee kuning dibasuh untuk buang rasa kapur dan toskan. 

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau dan terbit minyak. Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili benar benar garing dan terbit minyak. Masukkan sedikit air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. 

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Masukkan semua bahan sos. Masukkan 1/2 mug air dan biarkan ianya mendidih dan sedikit pekat. 

Setelah mendidih, masukkan sotong, fish cake atau apa apa yang disukai. 

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Masukkan batang sawi dan kacau rata. Masukkan mee dan kacau rata. Masukkan kicap dan garam secukupnya. 

Pecahkan telur dan kacau rata. 

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Akhir sekali, masukkan daun sawi, buah tomato dan cili padi.  Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. 

Mee Goreng Basah Azie Kitchen

Tabur daun sup atau daun bawang, jika suka. Hidang dengan hirisan limau nipis. 


1 ulasan

Add your comment