Sabtu, 18 April 2020

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Hari pertama persaraan, saya cuba sibukkan diri dengan memasak di dapur. Namun dalam kesibukan tersebut, perasaan seolah tercampak ke satu dunia lain, tetap ada. Serious tak tipu. Denyutan di hati tetap terasa suatu yang berbeza. Terasa kehilangan sesuatu. Tak tahu samada perasaan saya sedih atau gembira. 

Oleh kerana ramai sekali sahabat dan follower yang memberikan ucapan sempena hari persaraan sehingga saya terlupa yang hari ini adalah hari jadi saya. Malam tadi saya terpinga pinga bila melihat Hubby naik ke bilik seketika kerana saya tahu dia sedang menonton televisyen. Hahaha rupa rupanya dia hendak mengucapkan selamat hari jadi buat saya sebelum turun semula. 

Pagi ini pun, saya terkejut bila tiba tiba Aween datang membawa birthday gift buat saya. Memang betul betul terlupa. Dalam kepala saya hanya lah bersara, bersara dan bersara sahaja. Terharu kerana mereka tetap berusaha mendapatkan gift buat saya. Ya lah bukan mudah untuk mencarinya saat Perintah kawalan pergerakan sekarang ini. Sekarang kita masuk pula bab masakan.

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Hari ini saya memasak laksam. Sebenarnya telah lama saya ingin membuat laksam. Hanya menunggu Ros ada di rumah bagi membantu saya. Tapi bila dah PKP nanti, terpaksa lah saya menyediakannnya sendiri. Semangat nak membuatnya lagi berkobar kobar bila masa PKP ni ramai yang menyediakan laksam.

Saya orang Kelantan, jadi saya boleh rasa macam mana rasa laksam yang sedap seperti di Kelantan. Ramai yang buat dan jual laksam tapi tidak ramai yang dapat membuat seperti laksam kelantan original.

Saya belajar cara menyediakan laksam Kelantan yang original dari sepupu saya yang saya panggil sebagai Kak Nik Yam. Masa saya kecil kecil dulu, Kak Nik Yam berniaga laksam. Pada tekak saya, laksam Kak Nik Yam ni lah yang paling sedap. Cuma saya menggunakan tepung gandum, tidak  tepung ubi seperti yang Kak Nik Yam guna. 

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Kalau laksam Kelantan dulu dulu, sambalnya hanya menggunakan cili kering yang direndam dengan air panas dan ditumbuk dengan garam. Manakala belacan dan hirisan limau nipis dihidangkan untuk diambil sendiri oleh orang yang makan. Saya hanya makan sambal garam sahaja. Saya tak ambil belacan dan limau nipis.

Serious kepenatan menyediakan laksam ni sorang sorang, sangat berbaloi baloi. Ianya sangat sedap dan rasa seperti laksam Kelantan yang saya rindukan. Terus menambah 2 mangkuk besar. Memang banyak resepi laksam dalam internet. Macam macam cara tapi saya kekal dengan resepi laksam original seperti yang saya makan dulu dulu. Saya tidak suka yang laksam tebal. 

Jadi jika ada yang mahu mengikut resepi saya, kena baca resepi dulu betul betul sebelum mula membuatnya. Kuah laksam mesti pekat pekat baru sedap. Kalau orang berniaga, kuahnya cair kerana mereka mesti mengira kos dan keuntungan. Tapi kalau kita hendak makan sendiri, buatlah pekat sedikit. Barulah sedap. 

Jom layan resepi di bawah ini. Video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Rugi kalau tak tengok tau. Selamat mencuba...

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Laksam Kelantan Asli

Bahan bahan:
500 gm tepung beras  
2 sudu besar tepung gandum
1000 ml air sejuk
1000 ml air panas

Cara cara:
Satukan tepung gandum dan tepung beras. Tuang air biasa dulu dan kacau sebati sebelum dituang air panas pula. Kacau sebati. 

Lenser tudung periuk dengan minyak menggunakan tisu dapur. Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Masukkan tudung periuk atau pinggan plastik tahan panas yang telah dilenser minyak, ke dalam periuk pengukus. Nota: boleh juga lapik tudung periuk dengan plastik supaya laksam tidak melekat.

Tuangkan 1 cawan adunan dan tutup tudung pengukus. Kukus selama 3-4 minit atau sehingga ianya menggelembung sedikit. Jangan sampai menggelembung banyak sebab ianya akan melekat. Nota: saya tak suka adunan yang tebal. 

Bila adunan menggelembung, bolehlah diangkat. 

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Dengan menggunakan garfu, cungkil sedikit dan gulung laksam sambil ditolak tolak sehingga bergulung dan akhirnya tolak ke dalam bekas tanpa perlu menyentuh dengan tangan. Nota: jika menpunyai banyak tudung periuk, boleh tunggu sehingga laksam sejuk sedikit sebelum digulung.

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Masukkan tudung periuk/pinggan seterusnya ke dalam periuk pengukus. Kacau adunan setiap kali hendak dikukus supaya tidak mendap.   

Setelah sejuk, bolehlah digunting laksam dan sedia untuk dimakan.

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Nota: 
Lenser minyak untuk mula mula tudung periuk sahaja. Untuk seterusnya, tak perlu lagi letak minyak. Ulang dan buat sehingga habis. 

Sepupu saya yang dulu berniaga laksam menggunakan sedikit tepung kanji. Tapi saya gunakan tepung gandum.

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Hari ini saya menggunakan separuh adunan laksam yang menghasilkan 6 gulung laksam.


Kuah Laksam Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
600 gram ikan kembung - rebus dengan 3 keping asam keping dan garam
½ kg santan segar pekat
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
2-3 keping asam keping
Garam
Gula - opsyenal
800-1000 ml air - saya guna 700 ml air

Bahan kisar:
8-10 biji bawang merah
½ inci halia

Cara cara:
Ikan direbus dengan 3 keping asam keping dan garam. Angkat dan sejukkan. Ikan rebus diasingkan tulang dan isi. Kisar isi ikan dengan sedikit santan sehingga benar benar hancur dan halus. Tuang ke dalam periuk. 

Tulang dan kepala ikan dikisar bersama air dan ditapis untuk mengambil airnya. 

Tuangkan bahan kisar, asam keping, santan dan air secukupnya. Kacau rata. 

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Setelah semua bergaul rata, baru dijerang di atas dapur. Masak dengan api sederhana sambil sentiasa di kacau supaya tidak berketul. Kacau sehingga mendidih.  

Akhir sekali, masukkan lada hitam dan garam secukupnya. Boleh tambah air panas, jika kuah kelihatan pekat.

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap

Sesuaikan rasa dan boleh ditutup api. Selepas tutup api, terus dikacau beberapa minit lagi untuk mengelakkan kuahnya berketul ketul. 


Sambal Laksam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Segenggam cili kering - rebus 
4 tangkai cili padi merah
Garam secukupnya

Cara cara:
Tumbuk cili dan garam sehingga hancur.  Nota: perlu dilebihkan garam. Nota: cili kering, boleh direbus atau direndam air panas.

Laksam Kelantan Asli Yang Sedap


Ulam ulaman Laksam
Ulam yang saya gunakan hari ini adalah seperti berikut:
Salad
Kacang panjang
Timun
Bunga kantan
Daun kesum  


2 ulasan

  1. Assalamualaikum puan azie. Nak tanya 600g ikan kembung untuk berapa orang makan yea puan?

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum puan azie. Untuk 600g ikan kembung untuk berapa orang makan?

    BalasPadam

Add your comment