Rabu, 1 April 2020

Homemade Roti Canai

Homemade Roti Canai

Dulu dulu pernah tengok arwah Bonda Mertua membuat roti canai sendiri di kampung ketika ramai ramai balik kampung untuk makan sarapan. Mereka memang suka makan roti canai. Masa di universiti dulu, Hubby akan turun bersarapan di dewan makan kalau menu sarapan ialah roti canai. Berbeza dengan saya yang tidak suka roti canai. 

Kami biasanya bersarapan dengan pelbagai nasi samada nasi berlauk, nasi kerabu atau nasi dagang. Masa kecil kecil dulu, bila sekali sekala hendak makan roti canai, akan bawa telur ayam sendiri dari rumah. Hahaha itulah cara hidup orang kampung. Telur ayam tidak dibeli, diambil dari reban ayam sendiri. 

Homemade Roti Canai

Masa Perintah Kawalan Pergerakan pula lah, terasa nak makan roti canai. Jadi terpaksa lah membuatnya sendiri. Saya mesej dengan Pak Tehtuu untuk semak resepi. Tapi Alhamdulillah kerana beliau sudi ajar saya dengan resepi beliau sendiri. Roti canai di gerai Pak Tehtuu memang sedap. Gerainya terletak sebelah stesyen minyak Petron di Kampung Melayu Subang dekat simpang ke Subang Airport. 

Kali pertama seumur hidup, nak buat roti canai. Percubaan pertama, fail kerana saya telah terlebih masukkan air. Memang Pak Teh beritahu air untuk 1 kg tepung ialah 1 ½ gelas yang biasa diguna untuk teh tarik. Tapi tidak bermakna boleh tuang begitu semuanya kerana sukatan mug saya mungkin tak sama dengan sukatan gelas tersebut. Tadi saya sukat air sebanyak 125 ml tapi saya guna hanya 100 ml sahaja.

Tak puas hati dengan percubaan pertama, saya buat lagi sekali dan kali ini saya hanya membuat untuk 250 gram tepung gandum. Dapatlah 5 bebola roti canai. Alhamdulillah menjadi. Nampak lah gelembung udara dalam roti canai ketika ditarik atas tudung periuk. 

Tapi ini pun mungkin jadi lebih baik sekiranya saya biarkan bebola doh lebih lama dalam 1-2 jam atau lagi baik jika dibiarkan semalaman. Tapi saya dah tak sabar. Lepas 30 minit saya dah mula mencanai. 

Alhamdulillah puas hati memang puas hati. Walaupun ianya tidak lembut, tapi saya boleh katakan ianya menjadi. Kalau tidak kerana MCO ni, dua tiga hari sekali saya mesti ke gerai Pak Tehtuu untuk makan roti canai beliau yang sangat lembut. Saya makan roti canai mencicahnya dengan kari daging.

Homemade Roti Canai

Memang lepas ni nak kena belajar, kena tengok macam mana doh roti canai disediakan. Hahaha tidak semua benda yang kita boleh belajar jarak jauh ni. Ada benda yang kita kena tengok sendiri.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini...


Homemade Roti Canai

Homemade Roti Canai 

Bahan bahan:
250 gram tepung gandum
50 ml susu cair 
¼ sudu besar garam
100 ml air 

Cara cara:
Satukan semua bahan ke dalam besen. Kemudian tuang air sedikit demi sedikit dan uli sampai lembut dan tak melekat kat besen dan tangan. Nota: jangan tuang kesemua air, tengok dulu adunan. Atau jika tuang air semua sekali, kena tambah tepung gandum jika terlembik. 

Homemade Roti Canai

Biarkan 1 jam dalam bekas bertutup supaya tak masuk angin. Selepas adunan jadi bergetah dan kenyal, baru buat bebola. 

Homemade Roti Canai

Lenser bekas dengan majerin. Buat bebola seberat 70-75 gram dan kemudian lumur majerin pada bebola supaya tak melekat. 

Homemade Roti Canai

Lumur minyak pada tangan dan leperkan bebola menggunakan tapak tangan. Tarik tarik sambil digoyang sampai nipis. 

Homemade Roti Canai

Kemudian dilipat empat persegi atau dibulatkan. Kemudian dipenyet penyetkan sebelum dibakar.

Homemade Roti Canai

Sedia untuk dibakar menggunakan kuali non stick dan sedikit minyak.  

Homemade Roti Canai

Setelah masak, dikepuk kepuk roti canai dengan dua dua belah tangan.

Homemade Roti Canai

Nota:
Jika doh tersebut melawan balik maknanya perlu diuli lagi. Pastikan ianya penyet, macam gula-gula getah. 

Sebaiknya buat malam untuk ditebar keesokannya.  


Add your comment