Rabu, 18 Mac 2020

Solok Lada Kelantan Kegemaran Saya

Solok Lada Kelantan

Hari ini 18 Mac 2020 adalah hari pertama, negara kita telah melaksanakan perintah sekatan pergerakan di mana hanya beberapa perkhidmatan penting sahaja yang dibuka. Yang lain ditutup atau dilaksanakan program bekerja dari rumah sehingga 31 Mac 2020. 

Tidak susah sebenarnya kerana apa yang perlu dilakukan adalah berada di rumah. Ianya bagi menyekat penularan virus covid 19 yang sehingga setakat ini belum ada penawar. Seriousnya sehingga surau surau diarah tutup dan tidak diadakan solat jumaat. Bukan sahaja aktiviti sosial tapi aktiviti keagamaan.  

Tapi ada yang mengambil mudah dengan tetap pergi ke pejabat walaupun tiada keperluan mendesak. Begitu juga ada majikan yang gagal akur dengan arahan ini dengan tetap mengarah staf bekerja seperti biasa walaupun ianya bukan perkhidmatan kritikal. Lagi teruk ada yang beranggapan mereka yang mahu bekerja dari rumah sebagai pemalas dan ambil peluang untuk curi tulang. Masya Allah. Gelap dan hitam hati orang seperti ini.

Selain itu, ramai yang mula membuat pembelian barang barang dapur. Saya tidak pasti samada ianya pembelian panik atau tidak. Tapi yang pasti beli barangan dapur. Tidak semua orang membeli barang dapur setiap hari. Jadi kami yang kebetulan hari Isnin 16 Mac 2020 dalam perjalanan balik Kota Bharu dari program JJCM Pantai Timur singgah makan di Restoran Matahari sebelah Pasaraya Giant Kuala Terengganu. 

Selepas makan, kami terus masuk ke Giant untuk membeli barang dapur yang memang telah kehabisan. Ketika itu, belum hebuh berkenaan akan ada arahan kawalan pergerakan. Masing masing mengatakan ianya adalah berita palsu. Tapi kami decide untuk beli kerana kalau sampai di KL, pasti orang lagi ramai. Di Giant KT, orang pun tak ramai yang membeli belah ketika itu. Memang pasaraya dibuka seperti biasa tapi banyak barangan kehabisan dan beratur untuk membayar pun sangat panjang. 


Kami bernasib baik kerana sehari selepas balik, kerajaan membuat pengumuman langkah sekatan pergerakan. Tapi sepanjang program JJCM, kami memang menjaga kebersihan. Kami tidak bersalam sesama sendiri. Kami mengelap tempat duduk dalam bas dengan cecair dettol. Kami mencuci tangan dengan hand sanitizer setiap kali turun dan naik bas. Di tempat orang ramai, kami memakai topeng muka. OK sekarang kita masuk bab resepi pula.

Hari ini saya ingin kongsikan resepi solok lada menggunakan isi ikan mentah yang disediakan oleh sahabat saya Puan Maznah. Saya menempah makanan untuk makan tengahari kami ketika di rumah Prof Dr Mohd Anizu. Alhamdulillah kawan kawan suka dengan masakan yang saya pilih iaitu daging kerutuk, teresek jantung pisang, ikan goreng, ulam ulaman dan solok lada. 

Jadi kalau ada sesiapa di Kelantan yang ingin menempah masakan untuk jamuan makan boleh order dengan sahabat saya Puan Maznah di nombor telefon: +60 18-577 7037. 

Solok lada mesti dibuat menggunakan lada hijau muda yang dipanggil lada solok dan sangat terkenal di Kelantan. Resepi tradisi ialah menggunakan isi ikan rebus. Jadi selain bahan bahan di bawah, digunakan juga sebiji telur untuk melekatkan isi ikan dengan kelapa parut dan bahan lain. 

Tapi resepi hari ini menggunakan isi ikan mentah. Serious sangat sedap. Memang saya makan dengan sangat berselera. Saya meratah 3 biji solok yang memang agak panjang. Sepanjang program JJCM, makan tengahari ini lah yang benar benar kena dengan selera saya. OK sekarang kita semak resepi di bawah ini. Selamat mencuba. 

Solok Lada Kelantan

Solok Lada Yang Sangat Sedap

Bahan bahan:
1 kg cili hijau solok
1 kg ikan 
½ kg kelapa putih muda 
5 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih 
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
Gula
Garam
½ cawan santan segar pekat

Cara cara:
Lada solok dibelah dan dicungkil keluar biji lada. Ketepikan. 

Ikan diambil isi dan dikisar hancur. Bawang merah, bawang putih dan lada hitam dikisar halus. 

Satukan semua bahan kisar di atas dengan kelapa parut. Gaul rata. Masukkan garam dan gula secukup rasa. 

Masukkan bahan inti ikan ke dalam cili dan susun di dalam periuk. Buat sehingga habis. 

Renjis renjiskan santan atas solok yang telah siap disumbat isi ikan. 

Kukus selama 15-20 minit atau sehingga masak. Angkat dan sedia untuk dihidangkan. 

Solok Lada Kelantan


Add your comment