Jumaat, 20 Mac 2020

Nasi Goreng Simple Masa Lock Down

Nasi Goreng Simple Masa Lock Down

Hari ini adalah hari ketiga negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan atau dipanggil juga sebagai lock down. Memang istilah lock down ini, saya hanya baru dengar ketika Wuhan dilanda dengan Covid 19. 

Ketika itu sangat menakutkan bila melihat dalam video di mana orang mati di jalanan, orang sakit yang tidak diberi rawatan di hospital kerana ketiadaan katil untuk memuatkan pesakit yang terlalu ramai. Namun kini, China telah menunjukkan kejayaan mengawal wabak ini apabila tiada lagi kes baru di China yang dilaporkan. 

Yang serious sekarang ini ialah di Itali dan Iran. Ianya berpunca dari ketidak berkesanan langkah kawalan pergerakan di mana warga negara mereka tidak mematuhi langkah tersebut. Mereka mengambil kesempatan untuk bercuti dan balik kampung yang secara tidak langsung telah menyebabkan wabak ini merebak dengan cepat di seluruh Itali. 

Pada hari pertama dan kedua, langkah ini dilaksanakan di negara kita, tahap pematuhan hanya 60%. Orang ramai masih bersuka ria. Masih berjogging di taman dan masih ke pejabat walaupun mereka bukan Recovery Team Member yang perlu bertugas di masa krisis. Pada saya, mereka adalah golongan yang memandang ringan akan langkah yang diambil oleh kerajaan. Tindakan mereka akan mendedahkan golongan lain kepada risiko jangkitan covid 19.

Saya juga risau kerana Juita yang sekarang sedang menghadapi peperiksaan pertengahan semester, juga terganggu. Kalau covid 19 berlarutan kemungkinan, majlis konvokesyen Juita juga terpaksa dibatalkan. Untuk membawa dia balik ketika ini juga, seperti tidak sesuai kerana banyak penerbangan masuk telah dibatalkan. 

Lagi pulak, dia masih dalam musim peperiksaan semester akhir pengajian. Membiarkan mereka berada di sana dengan langkah lock down oleh kerajaan UK juga membimbangkan saya. Saya meminta dia membeli barang barang keperluan untuk kegunaan ketika lock down. Saya hanya mampu berdoa dari jauh agar mereka selamat dan wabak yang melanda seluruh dunia ini segera dapat dikawal. OK sekarang kita masuk pula bab masakan.

Nasi Goreng Simple Masa Lock Down

Nasi goreng masa lock down ni saya sediakan dengan menggunakan bahan bahan yang tersedia di dapur sahaja. Maklum ketika langkah kawalan pergerakan diumumkan, kami baru balik dari program JJCM di Pantai Timur. Itu pun nasib baik kami bershopping barang di dapur di Giant Kuala Terengganu ketika singgah makan tengahari di Restoran Matahari yang terletak bersebelahan dengan Giant. 

Di dalam peti ais memang tak ada ikan atau ayam. Jadi saya hanya menggunakan telur dan ikan bilis yang Hubby beli di Giant Kuala Terengganu. Masak nasi goreng ala ala campak juga. Tapi kita ubah lah teknik supaya hasil nasi goreng tidak sama sahaja rasanya. Bawang bawang dibiarkan bergoreng sehingga keperangan. Barulah lebih sedap seolah bawang goreng dalam nasi goreng. Telur dilebihkan supaya terasa telurnya di dalam nasi goreng. 

Jom semak bahan bahan yang saya gunakan dalam nasi goreng ini dan saya juga ada sediakan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....

Nasi Goreng Simple Masa Lock Down

Nasi Goreng Simple 

Bahan bahan:
1 mangkuk nasi putih
1 pelepah sawi
4-5 biji bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 sudu besar cili kering kisar
Sejemput ikan bilis - tumbuk
3 biji telur
Garam

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang bawang hiris sehingga naik bau.  Masukkan ikan bilis yang ditumbuk kasar. Kacau rata sehingga bilis hampir masak. 

Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili benar benar masak. Setelah cili masak, masukkan batang sawi. 

Kemudian tuang telur dan biarkan sehingga telur hampir mengeras, baru dikacau. 

Masukkan nasi dan daun sawi. Kacau rata. Akhir sekali, masukkan garam secukup rasa. Kacau rata. Bolehlah tutup api. 

Nasi Goreng Simple Masa Lock Down


Add your comment