Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Masak Lemak Kuning

Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen

Hari ini hari ke7 negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara. Bagi mereka yang kaya atau yang makan gaji mungkin tidak begitu tertekan. Tapi bagi mereka yang bekerja sendiri, mempunyai syarikat sendiri, akan terkesan dengan pelaksanaan ini. 

Saya terkesan mendengar satu video berkenaan mereka yang kais pagi makan pagi yang mungkin terpaksa juga keluar rumah demi mencari sesuap nasi. Di sekeliling saya sekarang tiada, mereka yang dalam golongan ini. Atau saya tidak kenal mereka. Mereka mungkin kelaparan. Pernah tak kita merasa lapar seharian? Mungkin kita tidak tahu bagaimana rasanya bila kelaparan. 

Begitu juga video tular dari Mufti Perak yang meminta kita bersedia untuk kehilangan orang yang tersayang kerana covid 19 tidak mengenal darjat, tidak mengenal status, tidak mengenal bangsa dan juga usia. 

Saya menjadi sangat sedih kerana kita sekarang berhadapan dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Musuh yang berada di seluruh dunia. Ya Allah jauhkan kami, keluarga kami, negara kami dan seluruh manusia di muka bumi ini dari wabak virus covid 19. 

Tiada daya dan kekuatan kami, melainkan dengan pertolongan Mu jua. Walaupun mungkin dalam keadaan sihat, dengan sekelip mata sahaja seseorang boleh menjadi korban. Jadi ambillah perhatian, tinggal di rumah dan jaga kebersihan diri. Kepada yang mampu, hulurkan lah derma semampu yang mungkin kepada mereka yang kesusahan kerana langkah kawalan pergerakan ini. Sekarang kita masuk pula bab masakan hari ini iaitu Ayam Masak Lemak kuning. 

Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen

Nelly semalam ke Jaya Grocer di Emporis. Orang tak berapa ramai di situ. Mungkin sebab Jaya Grocer, harga barang barang lebih mahal dari pasaraya biasa. Tahap pemeriksaan pun ketat di mana pelanggan diberikan glove sebelum masuk. Disediakan juga hand sanitizer di pintu masuk. 

Nelly mengelap troli dengan cairan dettol sebelum menggunakannya. begitu juga dengan plastik shopping. Barangan yang dibeli dibiarkan di satu sudut dapur seketika. Itu ikut nasihat yang diberi oleh mesej yang dihantar melalui WhatsApp. Yang mana boleh ikut, kita ikut. Tak perlu nak argue. Rasa tak nak ikut pun, sukahati masing masing. 

Bila balik jer, Nelly dah request supaya memasak masak lemak gulai ayam tapi jangan buat pedas. Jadi saya gunakan hanya 3 tangkai cili api. Boleh juga ganti dengan cili kering kisar tapi sebab saya suka kuah yang berwarna kuning, jadi cili api lebih sesuai. 

Memasak ni ikut kreativiti masing masing. Tiada yang betul atau salah. Ada yang memasak dengan terus dimasukkan bahan kisar ke dalam periuk dan ada yang menumis. Hari ini, gerak hati saya untuk menumis terlebih dahulu. Nak bagi cantik, lumurkan dulu serbuk kunyit pada ayam. Ini pun opsyenal. 

Boleh klik di SINI untuk entri masak lemak kuning ayam sebelum ini. Tapi bahan yang digunakan sedikit berbeza. Saya gunakan bawang putih. Kali ini saya tidak menggunakan bawang putih.

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen

Ayam Masak Lemak Kuning

Bahan bahan:
1 ekor ayam
2 biji kentang 
300 ml santan 
½ cawan air
1 batang serai - ketuk
1 helai daun kunyit - hiris
1 keping asam keping
1 sudu kecil serbuk kunyit - opsyenal
Garam 

Bahan kisar:
4 biji bawang merah
1 inci halia
2 inci kunyit hidup

Cara cara:
Ayam dipotong kecil, dibersihkan dan tos. Lumur serbuk kunyit. Ketepikan.


Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan serai sehingga naik bau.

Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen

Masukkan ayam dan ubi kentang. Masak sehingga ayam kecut dan air ayam kering. 

Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen

Masukkan air dahulu dan kacau rata sebelum dimasukkan santan secukupnya. Nota: tujuannya supaya santan tidak berketul ketul bila terus bersentuh dengan minyak yang panas. 


Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen

Masukkan asam keping, serbuk kunyit dan garam secukupnya. Nota: serbuk kunyit untuk cantikkan warna. 

Masak sehingga kentang empuk. Reneh sehingga kuah cantik. Jika suka, boleh tabur daun kunyit yang dihiris halus.  

Ayam Masak Lemak Kuning Azie Kitchen


2 ulasan for "Ayam Masak Lemak Kuning"

  1. Aamiin, semoga semuanya Allah permudahkan.

    BalasPadam
  2. Allahu, terasa sebak bila baca coretan Kak Azie berkenaan ungkapan dari Mufti Perak. Siapa sangka,dalam tahun 2021, Almarhum kembali ke rahmatullah disebabkan COVID-19. Semoga roh Almarhum ditempatkan bersama para solihin. Amin.

    BalasPadam