Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Ramai yang salah faham dengan iklan google di blog saya. Ramai yang tak klik iklan google kerana fikir iklan iklan tersebut mengganggu dan keluar tanpa endorsement dari saya. Jadi sekarang saya maklumkan bahawa memang blog saya diletak iklan google. 

Iklan google ini seperti yang diketahui ramai, ada memberi income pada blog. Harap selepas ini, anda bolehlah klik mana mana iklan yang ada sebagai support kepada blog saya. Dengan income dari iklan iklan ini, dapat saya salurkan zakat kepada mereka yang memerlukan. 

Siapa yang telah lama follow blog saya, pasti pernah terbaca yang ibubapa saya adalah petani yang pekerjaan utama adalah menanam padi. Di luar musim, mereka melakukan pelbagai pekerjaan kampung yang lain. Antaranya ialah menangkap udang dengan menggunakan perangkap udang yang dipanggil gogoh. Di dalamnya diletakkan isi kelapa yang telah dibakar. Gogoh ini akan ditenggelamkan di sungai dengan talinya diikat pada pokok nipah. 

Keesokannya gogoh akan diangkat dan udang yang ada akan dimasukkan ke dalam baldi besar. Udang udang ini akan dijual mengikut sukatan tin susu. Udang galah mengikut bilangan ekor dan saiz. Sayalah yang ditugas untuk menjual udang udang ini di sekeliling kampung. Satu aktiviti yang amat tidak saya sukai waktu itu. 

Ada ketika, sebahagian udang, akan disimpan untuk dimasak sebagai lauk kami. Kiranya makanan mewah lah ketika itu. Bukan sahaja udang kecil biasa tapi juga udang galah yang menpunyai sepit warna biru. Di dalam sepit ini, akan ada isi yang bila ditarik berhati hati akan keluar panjang. Sangat sedap. 

Kini setelah lama di sini, sangat susah untuk mencari udang galah apalagi udang galah yang segar dan besar. Udang zaman sekarang, kepala sahaja besar tapi isi badan sangat kecil. Berbeza dengan udang galah yang saya pernah makan di zaman kanak kanak. Kalau tengok udang di dalam gambar di bawah, kita dapat lihat sepit berwarna biru hanya kecil sahaja. Pastinya tak ada isi pun. Jadi saya buang sahaja. Kalau zaman dulu, berebut rebut untuk mendapatkan sepit udang.



Tapi sebab teringin untuk menyediakan rendang udang galah dengan kacang buncis, terpaksalah juga minta Hubby mencarinya di pasar Taman Tun. Dah seminggu mencari di pasar malam dan kedai runcit tapi tak ada.  

Kalau arwah Bonda saya dulu, udang galah hanya dimasak gulai dengan batang keladi, atau goreng garam kunyit sahaja. Ada satu lagi masakan di mana udang direbus dengan air dan dimasukkan gula melaka. Manis jer rasanya. Itu jer yang saya ingat lauk pauk berasaskan udang sungai yang pernah saya makan. Belum pernah makan rendang udang galah. Atas sebab itulah nak merasa keenakan rendang udang galah yang digandingkan dengan kacang buncislah, maka hari hari dok menyebut pasal udang galah.  

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Serious sangat sedap rendang udang galah ini. Baunya sahaja sudah semacam, bau udang galah yang sangat membuatkan kita menelan air liur.  Bau udang yang sangat nostalgia pada saya. Memang betullah apa yang disarankan oleh seorang follower saya, sangat sedap rendang udang galah dengan kacang buncis ini.  

Jom ramai ramai pakat mencuba masakan rendang udang galah. Kadang kadang kita bukan tak tahu tapi kekeringan idea. Bila nampak sahaja gambar udang galah, baru terfikir yeaay dapat idea untuk masak rendang. Betul tak?

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Rendang Pedas Udang Galah

Bahan bahan:
1kg udang galah 
Secekak kacang buncis
½ kg santan pekat 
1 mangkuk kecil minyak masak 
1 sudu besar kerisik 
1 helai daun kunyit - hiris halus
1 batang serai - ketuk
1-2 sudu besar gula
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
10 biji bawang merah
6 ulas bawang putih 
2 batang serai  
1 inci lengkuas 
2 inci halia  
1 inci kunyit hidup
40 tangkai cili padi
2 sudu besar cili kering besar

Cara-cara:
Siang dan bersihkan udang. Tos dan ketepikan. 

Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar sehingga garing dan terbit minyak. 

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Masukkan santan, kerisik, gula dan garam. Kacau rata. 

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Setelah pekat dan terbit minyak, masukkan udang dan sedikit daun kunyit. Perlahankan api. 

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Masak sehingga udang betul-betul masak, masukkan kacang buncis. Kacau rata seketika dan bolehlah ditutup api.

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Sebelum dihidangkan, tabur sedikit lagi daun kunyit. 

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis

Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis


1 ulasan for "Rendang Pedas Udang Galah Dengan Kacang Buncis"

  1. tengok saja pun dah tau sedap, kak.

    Ialah, kenapa udang galah sekarang, kepala jer besar ya. Dulu sy fikir, sebab tangan kita dulu kecil, jadi kira rasa udang tu besar, haha

    BalasPadam