Rabu, 25 Disember 2019

Rendang Daging Padang Sedap

Rendang Daging Padang Sedap

Saya ingin kongsikan satu resepi yang sangat istimewa iaitu Rendang Daging Padang yang saya sediakan sempena cuti Hari Krismas baru baru ini. Ketika menyediakan rendang ini, memang saya benar benar tengah demam dan lemah menggigil seluruh badan. 

Nasib baik Ros ada membantu saya menyediakan bahan bahan dan mengacau sehingga kering. Ketika rendang sedang dikeringkan, saya naik ke bilik dan berselimut. Ros terpaksa snap gambar dan menunjukkan pada saya jika rendang telah boleh diangkat.

Sebelum masuk bab Rendang Daging Padang, saya ingin menulis bab lain dulu. Semasa ke Bangkok hari tu di SINI, saya belum benar benar sihat. Ketika itu, saya baru 2 minggu discharged dari hospital selepas prosedur pembuangan batu karang. Tapi saya ikut juga kerana tak mahu lah ketinggalan untuk bercuti bersama sama teman teman alumni. 

Sepanjang di sana, saya memang kurang minum kerana airnya terasa tersangat payau. Lagi pulak, bila sibuk berjalan ke sana sini, boleh terlupa untuk minum. Sampai ke bilik pula, dah mengantuk dan tak minum lagi.

Dua hari selepas balik, saya mulai merasai tekak kering dan mulai batuk batuk. Saya cepat cepat ke klinik dengan harapan ianya tidak melarat. Tapi ianya tidak menjadi, kerana sakit badan saya sehingga menggigil.    

Memang demam saya kali ini, lain sekali. Tidak pernah lagi, selsema sehingga tidak dapat bangun selama 5 hari. Selera makan langsung hilang, sehari hanya mampu makan 2 sudu nasi sahaja. Itu pun kerana perlu makan sebelum makan ubat. Faktor usia juga salah satu penyebabnya. Apa apa pun, saya redha kerana ujian yang ditimpa ke atas kita adalah kerana Allah hendak menghapuskan dosa dosa kecil kita. Mudah mudahan. Aameen.  

Sekarang beralih pada bab rendang yang sangat sedap ini. Oleh kerana rendang ini disediakan ketika saya tengah tidak sihat, saya hanya sempat merekodkan separuh jalan sahaja dan terus naik tidur. Jadi tidak dapatlah kali ini untuk saya update video di dalam Azie Kitchen youtube channel.

Rendang Daging Padang Sedap

Resepi ini saya pelajari dari sepupu Puan Yarina, yang berasal dari Padang. Setiap kali ke rumah Puan Yarina, beliau akan bercerita keenakan rendang daging yang dibawa oleh sepupunya ke sini. 

Saya pula, memang pantang dengar masakan sedap, mesti nak dapatkan resepi. Jadi saya memujuk Yarina supaya menghubungi sepupu beliau di Padang. Alhamdulillah kerana sepupu beliau telah sudi menulis resepi dengan sukatan sekali.

Saya menyediakan rendang daging kali ini untuk dimakan bersama pulut kuning. Pulut kuning adalah antara masakan tradisional yang saya sangat suka makan dan juga sangat suka menyediakannya. 

Rendang ini lagi lama dipanaskan akan lagi keperangan warnanya dan lagi sedap. Jadi alang alang menyediakan rendang ini, elok dibuat banyak banyak sekali dan disimpan. 

Jom layan resepi yang saya olah di bawah ini. Memang berbaloi baloi dan tak rugi mencubanya. Selamat mencuba...


Rendang Daging Padang Sedap

Rendang Daging Padang

Bahan bahan:
1 kg daging - tanpa lemak dipotong sedikit tebal 
2 liter santan - dari 3 biji kelapa 
Garam 

Bahan kisar halus:  
10 biji bawang merah
15 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 inci lengkuas
100 gram cili kering 
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk lada sulah

Bahan lain:
2 batang serai  
4 helai daun salam
5 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit

Cara cara:
Daging dicampur dengan bahan kisar halus serta garam secukupnya. Ketepikan.

Rendang Daging Padang Sedap

Santan dimasak sehinga terbit minyaknya. Masukkan bahan bahan lain.  

Rendang Daging Padang Sedap

Setelah santan mulai kelihatan terbit minyak, masukkan daging yang telah diperap dengan bahan kisar halus tadi. Masak sehingga hampir kering. Nota: saya pindahkan ke dalam periuk Noxxa dan masak selama 30 minit. 

Rendang Daging Padang Sedap

Ketika hampir kering, besarkan api dan kacau sehingga kering. Keringkan mengikut kesesuaian selera. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. 

Nota:
Rendang akan menpunyai banyak serdak dan berminyak. Dimasak lama lama sehingga rendang bertukar warna gelap berminyak.

Jika menggunakan periuk Noxxa, selepas 30 minit, keringkan dengan mengguna setting stir fry. Jika kuatir daging terlebih lembut, boleh keluarkan daging dan keringkan hanya kuah sahaja. Daging dimasukkan semula selepas kuah hampir kering.


Add your comment