Rabu, 18 Disember 2019

Puding Keledek Lapis Susu

Puding Keledek Lapis Susu

Sebelum masuk bab puding keledek susu, saya ingin selitkan sedikit petikan dari Kuliah Maghrib Surau Ad Dhuha oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Karim bin Mat Saad bab Akidah. Tajuk tentang beriman kepada malaikat. Percayakan malaikat. Manusia boleh nampak malaikat. Malaikat dijadikan dari cahaya. Bukan lelaki bukan perempuan. Wajib kita beriman secara umum dan mengetahui satu persatu 10 malaikat serta tugas tugas. 

Manusia tak boleh nampak malaikat dalam bentuk asal melainkan para Nabi Nabi. Jisim atau bentuk malaikat terlalu halus sehingga tidak dapat dilihat oleh anggota panca indera. Kita kena percaya dan beriman. 

Analoginya ialah sama seperti manusia tidak dapat melihat angin walaupun angin itu ada penuh di dalam dunia dan dirasai angin yang bertiup. Satu lagi contoh ialah kita hidup dengan roh tapi kita tak dapat melihat roh. Saat mati baru manusia boleh nampak roh keluar. Itu lah ada kala mata orang mati akan memandang ke atas dan tak sempat bertutup. 

Jisim sangat halus seperti cahaya. Bila kita menyalakan lampu banyak mana sekali pun, tak ada masalah. Cahaya pasti boleh memasuki ruang di dalam bilik sebagai contoh. Sedang manusia bila seorang dah masuk, ruang akan jadi sempit dan tak muat untuk orang lain masuk bilik berkenaan. 

Manusia adalah jisim yang kasar boleh dilihat dengan mata. Jika malaikat dalam rupa jelmaan dalam jisim kasar, baru manusia dapat lihat malaikat. Malaikat jibril pernah berjumpa dengan Rasulullah dalam rupa manusia. 

Sebahagian dari mereka yang dapat melihat malaikat dalam rupa manusia. Bukan semua manusia dapat melihat malaikat tapi hanya sebahagian sahabat sahaja. Ketika malaikat turun pada Nabi dan bercakap cakap dengan Rasulullah. Ia merupakan dirinya seperti seorang sahabat Nabi bernama Dihyatul Kalsi. 

Seorang pun sahabat tak tahu bahawa ia malaikat. Setelah meninggalkan Nabi, maka Nabi mengkhabarkan bahawa ia adalah malaikat jibrail. Cara cara mengenali malaikat yang menjelma dalam jisim yang kasar. Malaikat datang hanya dalam rupa yang baik sahaja. Beriman kepada malaikat adalah salah satu rukun iman.  

Puding Keledek Lapis Susu

Sekarang kita masuk pula bab masakan. Hari ini saya kongsikan resepi puding keledek susu yang sangat sedap. Ada pelbagai rasa dengan lemak susu, manis keledek yang bersatu di dalam mulut. Hahaha. 

Untuk keledek, ikutlah pilihan masing masing. Jika suka keledek warna apa pun, asal keledek. Boleh guna keledek purple, oren dsb. Kalau dah agar agar atau puding, memang sangat nyaman dimakan ketika sejuk. Makan laju jer tak terasa pun. Resepinya pun sangat ringkas, bolehlah waktu waktu cuti ni, pakat ramai ramai mencuba resepi ini.  

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtue Channel di SINI. Selamat mencuba....

Puding Keledek Lapis Susu

Puding Keledek Lapis Susu

Bahan Lapisan Susu:
500 ml air
150 gram susu pekat manis
10 gram serbuk agar agar

Bahan Lapisan Keledek:
1000 ml air
450 gram ubi keledek rebus
150 gram gula pasir  
50 gram susu pekat manis
20 gram serbuk agar agar
½ sudu kecil garam

Cara cara:
Sediakan lapisan susu dengan memasak 500 ml air dengan serbuk agar agar sehingga hancur. Masukkan susu pekat manis dan kacau rata sehingga mendidih. Tuang ke dalam acuan yang disukai. 

Puding Keledek Lapis Susu

Sediakan pula lapisan keledek dengan mengisar ubi keledek rebus dengan sedikit air dari jumlah keseluruhan air sebanyak 1000 ml air. 

Masak baki air dari jumlah di atas dengan serbuk agar agar sehingga agar agar hancur. Masukkan gula pasir dan garam kacau lagi sehingga gula hancur. 

Puding Keledek Lapis Susu

Puding Keledek Lapis Susu

Setelah gula hancur, masukkan ubi keledek yang dikisar tadi ke dalam periuk agar agar. Masukkan susu pekat manis dan kacau rata sehingga mendidih. 

Tuang adunan keledek di atas lapisan agar agar susu dengan dituangkan secara perlahan lahan  ditepi acuan atau dilapik dengan sudu supaya tidak jatuh dan meninggalkan kesan  pada lapisan susu yang belum betul betul keras. 

Puding Keledek Lapis Susu

Sejukkan sepenuhnya sebelum boleh dipotong. Sedia untuk dihidangkan sejuk sejuk. 

Puding Keledek Lapis Susu

Add your comment