Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Percutian Zermatt dan Gornergrat Hari: 7


Kali ini saya ingin menyambung catatan perjalanan kami di Switzerland. Sebetulnya berada di sini selama 4 hari, sangat tidak mencukupi untuk menerokai bumi Switzerland yang sangat cantik dan menakjubkan. Boleh klik entri sebelum ini di SINI.

Kami keluar chalet pukul 10 pagi untuk ke Zermatt. Zermatt adalah tempat yang harus dilawati jika bercuti di Switzerland. Untuk ke sana, kereta kami perlu menaiki keretapi pengangkut yang perjalanan dalam 11 batu dengan tambang CHF27 (RM115.00) sehala untuk satu kenderaan. 



Dari hotel kami ke stesyen keretapi yang dipanggil sebagai ferry yang akan membawa kereta kita melintasi gunung melalui terowong bawah tanah yang gelap gelita ke Station Goppenstein. 

Ketika di dalam train, pemandu dikehendaki mematikan enjin kereta dan menukarkan siaran radio pada frekuensi tertentu untuk perhubungan serta informasi semasa perjalanan. Keluar dari stesyen keretapi, kami meneruskan perjalanan lagi sebelum tiba di Matterhorn Terminal Tasch. 

Apabila tiba di Tasch, jalanraya akan mati di sini dan pemandu perlu parking kereta di kawasan yang disediakan. Zermatt adalah sebuah perkampungan car free village. Kereta awam tidak dibenarkan masuk ke pekan Zermatt. Yang ada kereta kuda atau kereta yang menggunakan kuasa bateri atau kenderaan elektrik sahaja.

Pengunjung perlu parking di Matterhorn Terminal Tasch sebelum menaiki keretapi untuk ke Zermatt. Kami meletak kenderaan di sini dan sebaik keluar dari kereta, telah terasa kesejukan yang amat sangat. Semasa Juita membeli tiket keretapi saya telah ke kaunter untuk menanyakan cuaca di puncak Gornergrat. Saya ditunjukkan TV live yang menunjukkan salji sedang turun di puncak Gornergrat. 



Dari Tasch train station kami mengambil train yang hanya memakan masa selama 10 minit sahaja. 





Sebaik turun dari keretapi, kami bergerak menuju  ke stesyen keretapi untuk naik ke puncak Gornergrat untuk melihat gunung Matterhorn. Harga tiket  untuk 4 orang ialah CHF369 bersamaan UK283 dan RM1500 untuk Zermatt terus ke Gornergrat.   




Gornergrat yang berketinggian 3089 meter adalah antara tempat yang dikatakan harus dikunjungi sekali seumur hidup. Ia nya menpunyai panorama indah dengan puncak Gunung Matterhorn yang cantik. 

Sepanjang perjalanan dalam keretapi selama 33 minit untuk ke puncak, kita dihidangkan dengan pemandangan yang cantik. Keretapi bergerak perlahan untuk memberi peluang pengunjung menikmati pemandangan indah di sepanjang perjalanan naik. Perkampungan yang terletak di lembah gunung dengan berlatarbelakangkan gunung yang memutih dengan salji menjadikan panorama yang sangat cantik. 



Gornergrat adalah ski paradise bagi orang bermain ski. Jadi sepanjang perjalanan keretapi ke kemuncak, keretapi akan berhenti mengambil dan menurunkan penumpang yang lengkap berpakaian bermain ski di setiap perhentian. Sesampai di kemuncak, mereka terus bersedia untuk meluncur turun. 

Sesampai di stesyen perhentian akhir, kami turun dari keretapi ketika salji masih lebat. Kami terpaksa berjalan dengan berhati hati kerana ais salji yang menjadikan jalan licin. Kami berjalan ke bangunan yang terletak di bahagian atas. 




Tapi saya dan Nelly terus masuk ke dalam bangunan. Masih terasa risau kalau ada masalah dengan udara nipis seperti mana yang saya alami di Mount Titlis.  Hanya Hubby dan Juita sahaja yang naik ke tempat lebih tinggi untuk bergambar. Namun begitu cuaca tidak begitu cantik, kerana salji menjadikan pemandangan Gunung Matterhorn langsung tidak kelihatan. Lagi pulak, coat yang saya pakai hari itu bukan jenis tahan salji yang basah.

Tidak lama di situ, kami berjalan ke bangunan berhadapan dengan tempat perhentian keretapi. Kami duduk duduk seketika sambil memanaskan badan dan melihat salji yang turun melalui dinding kaca. Kemudian barulah kami mengambil keretapi untuk turun ke pekan Zermatt. 



Sesampai di Pekan Zermatt, kami hanya bersiar siar di sekitar bandar untuk menikmati keindahan rekabentuk rumah papan yang berlatarbelakangkan gunung ganang yang cantik. Zermatt sangat cantik dengan keindahan pekan yang berlatar belakang gunung Matterhorn. Kami singgah ke dalam supermarket untuk mencari sedikit buah buahan untuk dimakan. Haha seronok bergambar dengan sayuran mereka yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.



Banyak juga kedai berjenama di sini seperti Rolex, Patek Phillipe dsb. Pekan ini juga sangat bersih dan kelihatan sangat tenang untuk berjalan jalan santai. Kami memilih untuk tidak tinggal di hotel di Zermatt kerana memikirkan agak susah untuk membawa bag kami yang besar menaiki kereta serta mengheretnya ke hotel. 

Setelah selesai bersiar siar, kami kembali ke stesyen keretapi untuk kembali ke Tasch dan seterusnya balik ke hotel. Sama seperti semasa ke sini, kami balik juga dengan menaiki keretapi pengangkut yang membawa kami ke stesyen berhampiran dengan homestay kami di Kandersteg. 


OK setakat ini catatan perjalanan hari ini. Balik ke bilik, saya hanya berehat sahaja. 



3 ulasan for "Percutian Zermatt dan Gornergrat Hari: 7"

  1. best baca pengembaraan kak Azie...teruja. doakan saya dan keluarga dapat ke sana satu hari nanti ya

    BalasPadam
  2. Bestnye sis...sy nie klo ade peluang nak sangat lihat negara luar...nak tgok permandangan indah2 ciptaannye...lari dari masaalah duniawi..

    BalasPadam