Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Percik Original Kelantan

Ayam Percik Original Kelantan

Mungkin tidak keterlaluan kalau saya katakan hampir semua orang Kelantan suka makan ayam percik. Ianya adalah dikira makanan mewah berbanding dengan ikan percik kerana ikan sangat murah berbanding ayam. Ayam pun jarang jarang dapat makan, apalagi ayam percik.

Masih ingat lagi dulu dulu, orang kampung akan menyediakan ayam percik yang diletak di atas pulut kuning atau dikenali sebagai pulut semangat bila ada orang orang besar datang. Yang paling saya ingat ialah ketika Tun Dr Mahathir dan isteri datang ke Kampung Badak di mana Bonda salah seorang yang diminta menyediakan pulut kuning dengan terpacak seekor ayam percik di atasnya. Kemudian mereka berarak dengan menjunjung pulut semangat tersebut mengiringi Perdana Menteri. 

Ketika itu sangat terliur melihatnya tetapi saya memang tak dapat makan pun pulut dan ayam tersebut. Ayam percik juga ada disediakan di majlis majlis kawin tetapi sangat jarang kerana selain ianya remeh untuk disediakan juga lebih mahal. Maklum ayam dipotong 4 dan setiap bekas hidangan hanya diletak 1 bahagian sahaja. Merasalah mencubit cubit sedikit sedikit seorang. Percik Kelantan terdapat 2 jenis iaitu percik merah dan percik putih. 

Saya masih ingat antara ayam percik yang sedap ialah ayam percik yang dijual Cik gu Asmat di pasar Ramadhan suatu ketika dulu. Tapi kini, beliau tidak lagi berjualan. Saya sempat juga belajar resepi beliau. Boleh klik di SINI

Resepi hari ini, saya dapat dari sahabat sejak zaman persekolahan Cik gu Roslina Majid ketika berchatting di group WhatsApp. Bahan bahan sama sahaja tetapi saya inginkan anggaran sukatan yang beliau gunakan. Saya sebenarnya tak pernah memasak lauk ini sendiri masa bujang di kampung dulu. Hanya melihat sekali sekala Bonda menyediakannya. 

Hanya setelah berkahwin dan menetap di KL, barulah belajar menyediakannya sendiri kerana teringin nak makan. Kiranya saya pun baru baru nak belajar juga. Cuma saya bolehlah rasakan jika percik itu rasanya original seperti di Kelantan atau tidak. Kuah percik melekat di ayam atau ikan kerana ianya dilumur sambil dibakar. Saya tidak pernah tahu jika dulu, ada kuah percik yang dihidangkan bersama ayam atau ikan percik. Mungkin sekarang telah dipermodenkan selari dengan peredaran masa. 

Ayam Percik Original Kelantan

Saya menyediakan 1 ekor ayam sahaja hari ini yang dipotong 4 bahagian. Bayangkan satu bahagian dah menjadi milik saya. Bahagian dada ayam bolehlah dikongsi oleh 2 orang. Jadi kalau memasak ayam percik, harus sekurangnya satu ekor ayam. Baru puas makan dan boleh meratah ratah. Makan dengan nasi putih atau pulut kuning. Memang meletop. 

Ayam Percik Original Kelantan

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Dengan melihat video, baru dapat gambaran bagaimana resepi di blog ini disediakan. Selamat mencuba...

Ayam Percik Original Kelantan

Ayam Percik Original Kelantan 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 4
½ cawan santan pekat - guna santan segar
1 batang serai ketuk - opsyenal
2-3 keping asam keping
3 sudu besar gula - kena ada lebih rasa manis
Garam
½ sudu kecil tepung beras/tepung jagung

Bahan kisar:
4 tangkai cili kering - guna 1 sudu besar cili kisar
10 biji bawang merah - kena lebih

Bahan perap:
8 biji bawang merah
1 inci halia
Garam

Cara cara:
Ayam dibuang kulit dan potong 4 dan dikelar kelar. Kemudian perap ayam dengan bahan perap yang ditumbuk/kisar halus selama 30 minit. 

Lepas tu ayam dikukus sehingga masak, baru dibakar. Mesti kukus sampai masak supaya tiada lagi darah pada tulang ayam. Sementara ayam dikukus, boleh sediakan bahan untuk kuah percik.

Ayam Percik Original Kelantan

Ayam Percik Original Kelantan

Kisar bahan kisar bersama dengan sedikit santan pekat hingga benar benar hancur. 

Tuang bahan kisar ke dalam kuali dan masak bersama santan dengan api perlahan sambil dikacau sehingga santan pekat. Masukkan asam keping, gula dan garam secukupnya. Gula dilebih supaya kuah lebih berkilat bila dilumur pada ayam yang dibakar. warna lebih cantik dan carmelised.  

Ayam Percik Original Kelantan

Jika belum cukup pekat, masukkan tepung beras yang dibancuh dengan sedikit air. 

Bila elok kepekatannya, bolehlah tutup api dan dilumur pada ayam yang sedang dibakar. Kemudian, dibalikkan dan lumur di permukaan satu lagi. Boleh buat secara berulang kali, ikut suka masing masing.

Ayam Percik Original Kelantan

Ayam Percik Original Kelantan

Nota:
Jika menyediakan ayam percik putih, tak perlu memasukkan cili kering. 

Ayam Percik Original Kelantan



2 ulasan for "Ayam Percik Original Kelantan"