Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Goreng Azie Kitchen

Mee Goreng Azie Kitchen

Mee goreng ini adalah hasil percubaan saya selama berpuluh tahun sehingga saya mendapat mee goreng yang berkenan di hati. Saya memang suka makan mee goreng tapi sayang setiap kali memesan mee goreng di luar, jarang dapat yang memenuhi citarasa saya. 

Akhirnya mee goreng saya juga yang kena dan menepati dengan selera saya. Saya pernah merajuk ketika mengandung kerana mee saya digoreng oleh bukan orang yang saya rasa sedap dan pandai menggoreng mee di Kampung Baru. 

Masih teringat ingat mee goreng di Pasar Bachok dalam sekitar tahun 1984 di mana setiap hari saya akan membeli sebungkus mee goreng yang digoreng apabila kita memesannya. Itulah mee goreng yang paling sedap. 

Tapi sayang kerana saya pun tak tahu siapa nama kakak yang berjual di situ dan di mana dia sekarang. Keenakan dan kesedapannya akan kekal dalam memori ini. Mee gorengnya berwarna kekuningan, bukan merah seperti mee goreng saya hari ini.

Mee Goreng Azie Kitchen

Saya jarang meletak telur dalam mee berbeza dengan mee hoon goreng yang mana telur adalah bahan wajib yang mesti saya masukkan. Tapi hari ini, terasa ingin membuat sedikit kelainan, jadi saya memecahkan 2 biji telur ketika mee sedang digoreng. 

Hari ini guna sawi kerana tiada sayur Bok Choy. Sawi lebih pahit berbanding dengan Bok Choy yang lebih terasa kemanisannya. Sayur Bok Choy juga dikatakan lebih berkhasiat. 

Jom layan resepi dan cara saya menyediakan mee goreng kesukaan saya di bawah ini. Selamat mencuba... 


Mee Goreng Azie Kitchen

Mee Goreng Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 pek Mee kuning
Udang/isi ayam
2 ikat Bok Choy - hari ni guna sawi
Taugeh - opsyenal
3 tangkai cili padi merah
5 ulas bawang putih
2 - 3 sudu besar cili kisar
3 - 4 sudu besar sos cili
3 - 4 sudu besar sos tomato
Kicap lemak manis secukupnya
Garam
2 biji telur

Bahan lain:
Daun bawang/daun sup
1 tangkai cili merah
Bawang goreng
2 biji limau nipis - hiris

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili kisar garing. Tuang sedikit air dan biarkan sehingga ianya pecah minyak. 

Masukkan semua sos dan kicap. Masukkan udang/isi ayam. Kacau seketika hingga masak. 

Masukkan batang bok choy dan kacau sebelum dimasukkan mee. 

Mee Goreng Azie Kitchen

Masukkan daun sayur dan taugeh. Kacau rata. Selepas masuk mee, kena masukkan air sedikit demi sedikit jika mee tidak cukup lembut. 

Masukkan telur dan kacau rata. Saya suka meletakkan sedikit lagi sos tomato dan sos cili ketika ini supaya mee akan kelihatan berlengas dan bersalut dengan sos. 

Mee Goreng Azie Kitchen

Masukkan garam dan tabur cili merah dan cili padi. Tutup api. 

Sebelum dihidangkan, tabur daun bawang, bawang goreng dan letakkan kepingan limau nipis yang diperah sebelum dinikmati. 

Nota: 
Menggoreng mee, kena pandai mengagak air, jika terlebih mee terlembik dan jika terkurang mee akan keras. 


Catat Ulasan for "Mee Goreng Azie Kitchen "