Sate Goreng Resepi Turun Temurun
Assalamualaikum semua. Alhamdulillah hari ini ialah Hari Asyura yang mana kita digalakkan untuk berpuasa sunat kerana kelebihannya yang sangat besar. Antaranya ialah pengampunan dosa untuk satu tahun yang lalu. Sabda Rasulullah SAW:
"Dan berpuasa pada hari 'Asyura', sesungguhnya aku berharap kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya."
(Riwayat Muslim, No. 1162)
Hadis ini menunjukkan besarnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya dengan mengurniakan peluang untuk memperoleh keampunan melalui amalan yang mudah tetapi mempunyai ganjaran yang amat besar.
Tapi walaupun ramai yang tahu kelebihannya tapi tak ramai yang mahu melakukannya. Kita faham kerana sesungguhnya hati kita digerakkan oleh Allah. Kita pergi ke masjid, kita berpuasa, semuanya bukan kerana kita tapi kerana Allah yang menggerakkan hati kita untuk berbuat kebaikan. Itu sebab kita kena sentiasa berdoa agar diberikan jalan dan petunjuk ke jalan yang benar.
Hati kita juga mudah dibolak balik, jadi jangan memandang rendah pada orang yang belum berbuat kebaikan. Ramai jer yang dulu bertudung labuh, alih alih sekarang memakai skarf dan bermotosikal besar. Begitu juga sebaliknya. Dulu bukan main seksi tapi sekarang bertudung litup dan mendalami bidang bidang agama. OK semoga puasa kita dipermudahkan hari ini. Sekarang kita masuk pula bab resipi.
Saya belajar resepi ini dari Kak Rohana Yusoff yang merupakan resepi arwah Bonda beliau sendiri. Pernah beberapa kali makan lauk ini yang dimasak oleh Kak Rohana. Saya juga pernah beberapa kali menyediakan masakan ini terutama ketika musim perayaan.
Lauk Sate Goreng ini sangat sedap dimakan dengan nasi impit atau dengan nasi putih. Ianya memang rasa ala ala sate juga. Memang sangat kena dengan selera saya.
Sebagai rujukan untuk anak anak di masa depan, saya masak dan kongsikan resepinya di bawah ini. Selamat mencuba….
Sate Goreng Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 kg daging
1/4 kg hati
Limpa - saya tak letak
5-6 batang serai - ketuk
1 kotak santan kotak
1 keping asam keping
1 cawan kacang tanah - goreng tanpa minyak dan tumbuk
Gula
Garam
Sedikit kicap lemak manis Jalen - saya tambah
Bahan Tumbuk:
8 ulas bawang merah
1 biji bawang besar saiz sederhana
5 ulas bawang putih
2 inci halia
Sangai dan Tumbuk:
2 sudu besar ketumbar
2 sudu besar jintan putih
1 sudu besar jintan manis
Cara cara:
Perap daging, limpa dan hati dengan gula dan bahan tumbuk.
Panaskan kuali dan masukkan bahan perap. Masukkan sedikit kicap manis dan masak sehingga hampir kering airnya, masukkan serai.
Setelah kering, masukkan minyak dan goreng seketika. Masukkan santan pekat dan asam keping.
Masak sehingga pekat kering dan terbit minyak. Masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya.
Akhir sekali taburkan kacang tanah yang telah digoreng dan ditumbuk.
Sedia untuk dihidangkan dengan nasi impit atau dimakan dengan nasi putih.
Nota:
Boleh juga kacang tanah dipanggang dalam oven.









Catat Ulasan for "Sate Goreng Resepi Turun Temurun "
Add your comment